#1688: Fadhilat dan Kelebihan Melakukan Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Setiap kali tiba hari raya Aidil Adha, saya selalu tengok ramai yang buat korban, walaupun ada setengahnya kurang mampu. Benarkah jika kita buat korban, ada kelebihan tertentu yg kita akan dapat? Harap Dr. dapat jelaskan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah korban termasuk dalam syiar-syiar agama Allah yang sewajarnya dibesarkan dan diagungkan. Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ  فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ  كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Hajj: 36)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)

Sebenarnya terlalu banyak kelebihan berkorban. Antara yang jelas dan nyata adalah mendapat pahala di sisi Allah SWT dan juga boleh mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam dan pertolongan.

Selain itu, terdapat beberapa buah hadith yang membicarakan tentang keutamaan melaksanakan ibadat korban. Antaranya:

Pertama:  Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidaklah pada hari Nahar (Aidil Adha) manusia beramal suatu amalan yang lebih dicintai oleh Allah daripada mengalirkan darah daripada haiwan korban. Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kuku haiwan korban itu. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum titisan darah itu jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493), Ibn Majah (3126), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19015); Syu’ab al-Iman (7333) dan Ibn Hibban dalam al-Majruhin (2/411). Imam al-Tirmizi menghukumkan hadith ini sebagai hasan gharib.

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya Aidiladha adalah dengan mengalirkan darah haiwan korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61)

Status hadith ini menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ kerana ada yang melihat hadith ini sebagai dhaif dan sebagainya. Akan tetapi, al-Mubarakfuri menilai hadith ini sebagai hasan sebagaimana yang dinyatakan ketika mensyarahkan hadith ini.

Kedua:  Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Imran R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada puterinya, Fatimah R.Anha:

يَا فَاطِمَةُ قوْمِي فَاشْهَديِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ، وَقُولِي: إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، فَقَالَ عِمْرَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَكَ وَلِأَهْلِ بَيْتِكَ خَاصَّةً، فَأَهْلُ ذَلِكَ أَنْتُمْ، أَمْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang kamu lakukan. Katakanlah: “Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” Lalu ‘Imran bertanya: “Wahai Rasulullah, ini khusus hanya untuk kamu dan ahli keluarga kamu sahajakah –  kerana ahli dalam perkara ini adalah kamu (keluarga Rasulullah SAW) –  atau ia juga untuk umat Islam keseluruhannya?” Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan, ia untuk umat Islam keseluruhannya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (3/247); al-Mu’jam al-Kabir (18/200) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5/239). Ibn al-Mulaqqin menghukumkan hadith ini sebagai dhaif.

Berdasarkan hadith di atas, kita dapat memahami bahawa antara kelebihan orang yang melaksanakan ibadah korban adalah dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT sehingga diumpamakan dosa dengan setiap titisan darah yang mengalir keluar daripada binatang korban tersebut.

Ketiga:  Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ هُنَّ عَلَيَّ فَرَائِضُ ، وَهُنَّ لَكُمْ تَطَوُّعٌ : الْوَتْرُ، وَالنَّحْرُ، وَصَلَاةُ الضُّحَى

Maksudnya: “Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat (sukarela) bagi kamu: (Iaitu) solat Witir, sembelihan (ibadat korban) dan solat Dhuha.”

Riwayat Ahmad (2050) dan al-Daraqutni (2/21), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Sughra (1406) dan al-Sunan al-Kubra (4635). Syeikh Syu’aib al-Arna’out menghukumkan hadith ini sebagai dha’if.

Justeru, berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, amat digalakkan untuk kita melakukan ibadah korban. Selain itu, ia juga merupakan suatu perbuatan taqarrub yang ditentukan waktunya, dengan menyebut Hari Raya Korban.

Akhir kalam, mudah-mudahan Allah SWT memurahkan rezeki kita agar kita dapat melaksanakan ibadah korban ini pada setiap kali tibanya hari raya Aidiladha. Amin.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H