Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum produk suplemen kesihatan yang mengandungi ekstrak plasenta biri-biri? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, plasenta ialah organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim (membekalkan makanan, termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan juga mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu). Ia juga dipanggil sebagai tembuni dan uri.[1]
Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, plasenta merupakan organ yang menghubungkan janin kepada ibu. Ia memindahkan oksigen dan nutrien kepada janin daripada ibu dan bahan buangan janin kepada ibu. Penggunaan plasenta mempunyai sejarah yang panjang dalam bidang perubatan tradisional. Terdapat bahan rujukan di mana plasenta biri-biri yang dikeringkan digunakan sebagai ubat tradisional di Nigeria untuk membantu proses melahirkan anak. Ekstrak plasenta biri-biri dikategorikan sebagai bahan aktif suplemen kesihatan di Malaysia. Oleh itu, produk yang mengandungi ekstrak plasenta biri-biri dalam bentuk dos farmaseutikal, perlu berdaftar dengan PBKD sebelum dijual atau digunakan di Malaysia.
Setakat ini, tuntutan yang dibenarkan bagi produk berdaftar yang mengandungi ekstrak plasenta biri-biri adalah ‘digunakan sebagai suplemen kesihatan’ sahaja. Spesies biri-biri yang paling biasa digunakan sebagai sumber plasenta adalah Artiodactyla Ruminata Bovidae Ovis Aries. Spesies ini juga diketahui sebagai biri-biri domestik.
Menurut Portal Rasmi MyHealth lagi, di antara faedah kesihatan mengambil produk plasenta adalah kerana terdapat protein plasenta, protein hidrolisis, lipid, enzim dan nutrien lain dalam plasenta. Nutrien-nutrien ini terlibat dalam pelbagai proses metabolik. Walaupun terdapat banyak tuntutan kesihatan yang dituntut oleh pengilang produk plasenta, tetapi tiada bukti klinikal yang mencukupi untuk menyokong tuntutan-tuntutan tersebut. Oleh itu, tiada tuntutan terapeutik selain daripada suplemen kesihatan dibenarkan untuk produk plasenta berdaftar.[2]
Hukum Supplemen yang Mengandungi Ekstrak Plasenta Biri-biri
Berkenaan dengan plasenta ini, Syeikh Qalyubi dalam hasyiahnya menyebutkan, tembuni (uri) yang dinamakan sebagai al-khalas (tembuni kecil) hukumnya seperti anggota (anak) kerana ia terpisah daripada anak tersebut. Maka ia sebahagian daripadanya. Adapun tembuni yang di dalamnya anak (pembalut anak) maka ia bukan sebahagian daripada ibu dan bukan juga sebahagian daripada anak. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/395). Begitu juga dalam Hasyiah al-Bujairimi (1/101) dinyatakan, tembuni (uri) yang membaluti anak maka ia dihukumkan sebagai suci (jika berasal) daripada manusia, dan najis selain daripadanya.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah[3] pernah ditanya berkenaan hukum menggunakan plasenta janin khinzir, kambing dan kuda dalam perubatan dan kosmetik, yang mana sebahagiannya digunakan untuk sapuan luaran dan sebahagiannya lagi digunakan dimakan melalui mulut?
Mereka menjawab, tidak mengapa menggunakan plasenta janin haiwan yang dagingnya halal dimakan seperti kambing dan kuda, serta perkara tersebut bertujuan untuk perubatan, kosmetik dan kegunaan lain yang dibenarkan, dengan syarat plasenta itu berasal daripada janin yang ibunya telah disembelih secara syar‘i. Hal ini kerana ia adalah sebahagian daripada haiwan yang suci yang boleh dimakan dagingnya, maka dibenarkan untuk mengambil manfaat dengannya jika ia bebas daripada darah.
Sebagaimana diharuskan juga perkara tersebut dalam mazhab Maliki jika ia diambil daripada daripada haiwan yang halal dimakan ketika masih hidup. Syeikh al-Hattab al-Maliki menyebutkan, adapun al-masyimah (tembuni) ialah pembalut atau pelindung kepada anak yang dilahirkan; dan Ibn Rusyd menghukumkannya sebagai suci sebagaimana daging unta yang disembelih. (Lihat Mawahib al-Jalil, 1/88). Begitu juga Imam al-Dusuqi al-Maliki juga ada menyebutkan bahawa pada al-masyimah (tembuni) iaitu pembalut atau pelingdung kepada anak yang dilahrirkan ada tiga pendapat. Pendapat yang ketiga menyatakan bahawa ia mengikut hukum anak itu. Jika anak itu halal untuk dimakan, maka ia juga boleh dimakan, dan sekiranya anak itu tidak halal dimakan, maka ia juga tidak boleh dimakan. (Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Syeikh al-Dardir wa Hasyiah al-Dusuqi, 2/114).
Justeru, jika ia dikira suci dan boleh untuk mengambil manfaat daripadanya, maka dibolehkan juga untuk menggunakannya bagi tujuan rawatan sama ada di dalam badan mahupun luar badan. Begitu juga dibolehkan untuk jual beli dan memperdagangkannya serta dengan apa yang termasuk dalam pembuatannya.
Adapun jika plasenta itu diambil daripada haiwan yang tidak disembelih secara syar‘i atau daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya, maka ia adalah bangkai dan najis. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
ما قُطِعَ منَ البَهيمةِ وَهيَ حيَّةٌ فَهوَ ميتَةٌ
Maksudnya: “Apa-apa bahagian yang dipotong daripada haiwan ternakan dalam keadaan ia masih hidup, maka ia ialah bangkai.”
Riwayat al-Tirmizi (1480); Abu Daud (2858); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Daud (2858) menilainya sebagai hasan.
Syeikh al-Islam Zakariya al-Ansari menjelaskan, bahagian yang terpotong daripada haiwan yang masih hidup dan juga tembuninya (ketika masih hidup) adalah sebagaimana hukum bangkai haiwan yang hidup itu dari segi kesucian dan kenajisannya. Justeru, tangan yang terpotong daripada manusia (yang masih hidup) dihukumkan sebagai suci, manakala kaki yang terpotong daripada lembu (yang masih hidup) dihukumkan sebagai najis, begitulah juga halnya pada tembuni; tembuni manusia dan tembuni selain manusia (iaitu daripada haiwan). (Lihat Asna al-Matalib, 1/11).
Sekiranya plasenta itu adalah najis, maka dibolehkan untuk menggunakannya bagi tujuan perubatan dan bukannya semata-mata kosmetik jika tidak ada ubat lain yang boleh digunakan yang mengambil tempatnya (iaitu penggantinya) dalam keadaan darurat (terdesak). Tidak kira ubat itu digunakan pada bahagian luar badan mahupun dalam badan. Syeikh al-Syarwani menyebutkan, berubat dengan sesuatu yang najis adalah dibolehkan ketika tiadanya ubat lain yang boleh mengambil tempatnya bagi menggantikannya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/296).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa produk suplemen kesihatan yang mengandungi ekstrak plasenta biri-biri adalah diharuskan jika menggunakan plasenta janin haiwan yang dagingnya halal dimakan seperti kambing dan kuda, serta perkara tersebut bertujuan untuk perubatan, kosmetik dan kegunaan lain yang dibenarkan, dengan syarat plasenta itu berasal daripada janin yang ibunya telah disembelih secara syar‘i.
Namun, jika plasenta itu diambil daripada haiwan yang tidak disembelih secara syar‘i atau haiwan yang tidak halal dagingnya untuk dimakan, maka tidak boleh menggunakannya kerana ia dikira sebagai najis melainkan dalam keadaan darurat (terdesak), di mana tidak ada ubat lain yang boleh menggantikannya. Maka ketika itu, diharuskan untuk menggunakannya. Ini bertepatan dengan kaedah:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: “Keadaan dharurat (terdesak) boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85).
Akan tetapi kaedah ini terikat dengan kaedah lain yang menyebutkan:
الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا
Maksudnya: “Keadaan dharurat (terdesak) hanya diambil cukup sekadar yang perlu sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).
Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihatkan agar menyemak terlebih dahulu produk yang mengandungi ekstrak plasenta biri-biri sama ada produk itu berdaftar atau tidak. Ini kerana produk yang berdaftar lebih terjamin dari segi keselamatan dan tidak membahayakan kesihatan. Apatah lagi dikhuatiri produk yang tidak berdaftar mengandungi hormon seperti testosteron, estrogen dan progesteron yang boleh membahayakan kesihatan jika diambil tanpa pengawasan.
Bagi membuat semakan bagi produk tersebut, bolehlah melayari laman web BPFK di www.bpfk.gov.my dan menyemak sama ada produk itu berdaftar melalui enjin carian ‘Product Search’. Pangkalan data ini mengandungi data bagi produk-produk yang berdaftar dengan PBKD sejak tahun 1985 dan notifikasi produk kosmetik. Pengguna boleh menggunakan product search dengan menyemak nombor pendaftaran produk, nama produk, pemegang pendaftaran produk atau nama pengilang. Jika produk tersebut berdaftar dengan PBKD, maklumat produk akan disenaraikan. Sekiranya produk tersebut tidak berdaftar, hasil carian akan menunjukkan ‘No Record’ dan anda adalah dinasihatkan untuk tidak mengambil produk tersebut. Ini disebabkan keselamatan dan kualiti produk tersebut belum dinilai dan ia mungkin menimbulkan risiko yang boleh mengancam kesihatan pengguna.[4]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=plasenta. Diakses pada 25 Mei 2023.
[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/plasenta-biri-biri/. Diakses pada 25 Mei 2023.
[3] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2797. Diakses pada 25 Mei 2023.
[4] Lihat http://www.myhealth.gov.my/plasenta-biri-biri/. Diakses pada 25 Mei 2023.
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H