Soalan:
Assalamualaikum ustaz, nenek saya baru meninggal dunia pada bulan Ramadan yang lalu, saya sempat meminta maaf padanya semasa beliau sedang tenat sambil beliau menggenggam tangan saya. Setelah nenek saya meninggal,saya sering dibelenggu dengan rasa bersalah kerana pernah memarahi beliau semasa hidup, terfikir dan tertanya-tanya apakah beliau sudah memaafkan kesalahan-kesalahan saya. Bolehkah ustaz berikan sedikit nasihat bagaimana saya dapat kawal diri saya untuk tidak terlalu berfikir tentang hal tersebut. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”
Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa setiap manusia pasti akan melakukan dosa dan sebaik-baik orang adalah mereka yang mengakui kesalahannya dan bertaubat. Saudara sempat memohon maaf kepada nenek saudara dan beliau juga sebelum pergi menghembuskan nafas yang terakhir, menggenggam erat tangan saudara. Maka, dari situ secara zahirnya menunjukkan bahawa sebenarnya beliau amat menyayangi saudara sebagai cucunya dan beliau sudah memaafkan saudara. Maka, janganlah saudara menyalahkan diri saudara lagi, sebaliknya selalulah kirim doa untuknya, sedekahkan al-fatihah dan seumpamanya. Semoga dengan sedikit nasihat ini, ia dapat membantu saudara untuk menjalani hidup dengan lebih tenteram dan harmoni insyaAllah. Perbanyakkanlah istighfar, membaca al-Quran, hadiri majlis ilmu, moga-moga dengan cara ini hati saudara lebih tenang. Firman Allah SWT:
اَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ ۗ
Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Surah al-Rad (28)
Kami juga sarankan supaya sedekah bagi pihaknya di samping tunaikan beberapa cita-cita yang terkait dengan ibadat yang jika sekiranya dia masih hidup, dia mahu melakukannya. Sebagai contoh, mewakafkan sebahagian hartanya pada jalan Allah, sedekah ke masjid atau surau, membantu fakir miskin dan orang-orang yang susah.
Kita akhiri dengan sama-sama kita berdoa dan beristighfar:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H