#1696: Hukum Membaca Ta’awwuz Sebelum Surah al-Fatihah dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membaca Ta’awuz sebelum bacaan surah al-Fatihah dalam solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ta’awwudz atau isti’azah membawa maksud: Meminta perlindungan ataupun pemeliharaan. Maka seseorang yang mengucapkan kalimah ini, dia sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT agar Allah S.W.T menjaga dan memeliharanya dari sebarang gangguan dan godaan daripada syaitan yang direjam.

Ibn Kathir berkata: Isti’azah adalah meminta pertolongan iaitu aku memohon perlindungan kepada Allah tanpa selainnya daripada makhluk ciptaan-Nya daripada syaitan itu memudharatkan diriku pada agamaku atau ia memalingkan aku daripada kebenaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/16).

Sighah Isti’azah Atau al-Ta’awwudz

Berikut adalah beberapa sighah atau bentuk ucapan isti’azah yang boleh untuk dilakukan:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Riwayat Al-Bukhari (1319)

Di antara lain adalah:

أَعُوذُ بِالسَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam.

Lafaz istiazah ini terdapat dalam sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Abu Dawud dalam Sunannya dalam hadith bernombor (785).

Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah bin Masúd R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَهَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada syaitan yang direjam serta permusuhan yang disebabkan darinya, takburnya ia, serta syair yang tercela.”

Riwayat Ibn Majah (808) dan Ahmad (3830). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih Ibn Majah (665)

Hukum Membaca Istiázah Sebelum Bacaan Al-Fatihah

Para fuqaha bersepakat bahawa membaca ta’awwudz sebelum membaca surah al-Fatihah adalah suatu yang thabit daripada Nabi SAW. Namun, mereka berbeza pendapat berkenaan hukum membacanya dalam permasalahan ini kepada dua pendapat:

  • Pertama: Hukum Membaca Ta’awwudz Sebelum Bacaan Al-Fatihah Adalah Wajib

Ini adalah merupakan pendapat beberapa tokoh ulama dari kalangan pembesar tabi’in seperti Imam ‘Atha’ bin Abi Rabah, Sufyan Al-Thauri, serta Imam Al-Auzai’e. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Ibn Hazm Al-Andalusi. (Lihat al-Muhalla bi al-Athar, 3/247-248).

Mereka berhujah pendapat ini dengan firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Maka apabila kamu ingin mulakan pembacaan al-Quran maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

(Surah Al-Nahl: 98)

Maka mereka berpendapat, perintah yang terdapat di dalam ayat ini menunjukkan kepada hukum wajib. Ini berdasarkan sebuah kaedah usul yang mengatakan:

 أَمْرٌ يَقْتَضِي الْوُجُوب مَا لَمْ تَأْتِ قَرِينَة تَصَرّفه عَنْ اَلْوُجُوبِ إِلَى الْإِسْتِحْبَابِ

Maksudnya: Kata perintah membawa erti wajib selama mana tidak ada qarinah (dalil) yang mengalihkannya kepada hukum selainnya daripada wajib kepada istihbab (sunat). (Lihat Taisir Usul al-Fiqh li al-Mubtadiin, 4/6)

  • Kedua: Membaca Istiázah Sebelum Membaca Al-Fatihah Adalah Sunat

Ini adalah pendapat jumhur fuqaha mazhab Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafie, dan juga Imam Ahmad.

Imam al-Tabari berkata: Firman-Nya “فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ” ini bukanlah merupakan suatu perintah yang wajib. Akan tetapi ia hanyalah pemberitahuan dan juga menyatakan hukum sunat. Ini kerana tidak ada khilaf di sisi majoriti bahawa sesiapa yang membaca al-Quran dan tidak membaca taáwwudz sebelum membacanya atau setelah membacanya maka dia sesungguhnya tidak mengabaikan suatu pun yang fardhu lagi wajib. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Quran, 17/293-294).

Imam al-Syafi’i berkata: Sekiranya seseorang itu meninggalkan (pembacaan istiázah) sama ada disebabkan lupa, jahil, atau dengan sengaja  maka dia tidak perlu mengulanginya atau melakukan sujud sahwi. Dan aku tidak suka seseorang meninggalkan (membacanya) dengan sengaja. Dan aku suka apabila dia meninggalkannya pada rakaat yang pertama, maka dia membacanya pada rakaat selainnya. Sesungguhnya yang menghalang aku untuk memerintahkan seseorang itu mengulangi pembacaan istiazah adalah kerana Nabi S.A.W  mengajarkan seorang lelaki itu apa-apa yang mencukupi buatnya di dalam solat. Dan tidak diriwayatkan bahawa baginda memerintahkan lelaki tersebut membaca ta’awwudz atau iftitah. Ini menunjukkan bahawa bacaan ta’awwudz itu adalah perbuatan yang akan merosakkan solat sekiranya ia ditinggalkan. (Lihat al-Umm, 1/208).

Imam al-Nawawi berkata: Sesungguhnya ta’wwudz adalah mustahab (sunat) dan ia bukanlah suatu yang wajib. Ia adalah mustahab bagi sesiapa sahaja yang membaca al-Quran sama ada dia berada di dalam solat atau selainnya. Hukum membacanya dalam setiap rakaat solat adalah mustahab menurut pendapat yang sahih di sisi ashab kami. Manakala pendapat yang kedua pula menyatakan ia hanya mustahab (sunat) pada rakaat yang pertama. Sekiranya seseorang itu meninggalkan membacanya pada rakaat yang pertama, maka dia membaca ta’wwudz pada rakaat kedua. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 84).

Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: Tujuan dibaca ta’awwudz pada setiap rakaat adalah untuk memisahkan di antara bacaan pada rakaat pertama dan bacaan pada rakaat yang kedua. (Lihat Ifadah al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, 1/198).

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan: Jumhur ulama’ berhujah bahawa membaca ta’awwudz sebelum al-Fatihah dalam solat adalah sunat dan bukan wajib. Hal ini berdasarkan kesepakatan para salaf tentang kesunnahannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/6)

Dalam Fatwa al-Lajnah al-Daimah, mereka ditanya berkenaan bagaimana hukum bagi seseorang yang lupa berlindung kepada Allah daripada syaitan dengan berta’awwudz dan dia teringat setelah dia menyelesaikan solat atau semasa tengah solat? Mereka menjawab: “Berlindung kepada Allah (isti’azah) adalah sunnah, jadi tidak ada kesan atau mudharat jika seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja atau kerana lupa” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 6/383)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan kepada perbincangan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama’ yang mengatakan hukum membaca ta’awwudz sebelum membaca surah al-Fatihah adalah Mustahab (sunat) sebagaimana kekuatan hujah yang digunakan oleh mereka. Hal ini kerana, jika kita meneliti riwayat hadith yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang ditegur oleh Rasulullah SAW kerana buruknya solat yang dilakukannya, maka baginda bersabda kepadanya:

إِذَا قُمتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّر ثُمَّ اقرَأ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرآنِ ثُمَّ اركَع

Maksudnya: Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka bertakbirlah kamu, kemudian bacalah apa-apa yang mudah yang telah kamu hafal daripada al-Quran, kemudian kamu ruku’.

Riwayat Al-Bukhari (6667)

Jika dilihat daripada hadith di atas, kita akan mendapati bahawa Rasulullah S.A.W tidak menyuruh lelaki tersebut untuk membaca isti’azah, yang menunjukkan bahawa membacanya tidaklah dianggap sebagai suatu yang wajib.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H