Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya ada pergi ke sebuah surau, yang mana tiba-tiba Imam dalam surau itu menguatkan suara pada bacaan “أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ” sebelum membaca surah al-Fatihah. Saya merasa pelik sebab tidak pernah lagi saya mendengar imam yang membaca ta’awwuz dengan jahar pada solat. Mohon beri pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ta’awwudz atau isti’azah membawa maksud: Meminta perlindungan ataupun pemeliharaan. Maka seseorang yang mengucapkan kalimah ini, dia sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT agar Allah S.W.T menjaga dan memeliharanya dari sebarang gangguan dan godaan daripada syaitan yang direjam.
Ibn Kathir berkata: Isti’azah adalah meminta pertolongan iaitu aku memohon perlindungan kepada Allah tanpa selainnya daripada makhluk ciptaan-Nya daripada syaitan itu memudharatkan diriku pada agamaku atau ia memalingkan aku daripada kebenaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/16).
Hukum membaca Isti’azah sebelum membaca surah al-Fatihah adalah sunat atau istihbab sebagaimana pendapat jumhur fuqaha’ mazhab Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafie, dan juga Imam Ahmad.
Imam al-Nawawi berkata: Sesungguhnya ta’wwudz adalah mustahab (sunat) dan ia bukanlah suatu yang wajib. Ia adalah mustahab bagi sesiapa sahaja yang membaca al-Quran sama ada dia berada di dalam solat atau selainnya. Hukum membacanya dalam setiap rakaat solat adalah mustahab menurut pendapat yang sahih di sisi ashab kami. Manakala pendapat yang kedua pula menyatakan ia hanya mustahab pada rakaat yang pertama. Sekiranya seseorang itu meninggalkan membacanya pada rakaat yang pertama, maka dia membaca ta’wwudz pada rakaat kedua. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 84).
Hukum Menjaharkan Bacaan Isti’azah Sebelum Bacaan al-Fatihah dalam Solat
Dalam hal ini terdapat beberapa pendapat:
- Pendapat Pertama: Disunatkan beristi’azah secara sirr ketika dalam solat
Kebanyakan ulama’ dalam kalangan para sahabat, tabi’in, para pembaca al-Quran, dan fuqaha’ bersepakat bahawa disunatkan beristi’azah secara sirr ketika dalam solat. Antara mereka adalah khulafa’ al-Rasyidin[1], Abdullah bin Umar R.Anhuma[2], Abdullah bin Mas’ud R.A[3], dan Ibrahim al-Nakha’i. Begitu juga ia merupakan pendapat Abu Hanifah[4], Ahmad bin Hanbal[5], dan satu pendapat Imam al-Syafi’i[6] dan juga pendapat Malik dalam masalah qiyamulail[7].
- Pendapat Kedua: Menguatkan suara ketika isti’azah dalam solat adalah dibolehkan
Sebahagian ulama juga berpendapat bahawa menguatkan suara ketika isti’azah dalam solat adalah dibolehkan, dan pendapat ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah.[8] Pendapat ini juga menjadi pendapat Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Imla’. Beliau menyatakan bahawa dibolehkan isti’azah dengan suara kuat, dan jika ia diperlahankan maka, tidak memberikan apa-apa kesan.[9]
- Pendapat Ketiga: Dibolehkan untuk memilih sama ada menguatkan suara atau memperlahankan suara ketika beristi’azah dalam solat.
Sebahagian ulama memberi pilihan sama ada isti’azah dengan suara kuat atau secara perlahan dan ini juga adalah pendapat Imam al-Syafi’i. (Lihat al-Umm, 1/107; al-Majmu’, 3/324; Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/32)
Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Ibn Abi Layla menyatakan: “Isti’azah dengan suara kuat atau perlahan, kedua-duanya baik.” (Lihat al-Majmu’, 3/326)
Tarjih
Pendapat yang rajih dan yang lebih kuat berdasarkan pendapat ulama’ dalam permasalahan ini adalah isti’azah dengan suara perlahan sebelum bacaan al-Fatihah dan bukannya dengan suara kuat, kecuali dalam keadaan tertentu seperti untuk tujuan mengajar dan seumpamanya.
Al-Sarakhsi menyatakan, “Hal ini disebabkan tidak ada riwayat dari Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa baginda beristi’azah dengan suara kuat. Jika baginda melakukannya, pasti akan ada riwayat yang menceritakan secara terperinci.” (Lihat al-Mabsut, 1/13)
Ibn al-Jazari mengatakan, “Pendapat yang terpilih dalam permasalahan isti’azah dalam solat adalah menyembunyikannya. (Lihat al-Nasyr, 1/253-254).
Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Taqiyuddin Ibn Taimiyah ketika ditanya soalan ini berkata: Jika seseorang melakukannya kadang-kadang dengan tujuan untuk mengajar atau seumpamanya, maka tidak ada masalah dengan itu sebagaimana Umar bin al-Khattab R.A yang menguatkan suara ketika berdoa iftitah dalam solat untuk jangka waktu tertentu, dan seperti Ibn Umar R.Amhuma dan Abu Hurairah R.A yang kadang-kadang melakukan isti’adzah dengan suara yang kuat. Namun, jika seseorang itu secara terus-menerus mengucapkan isti’azah dengan dengan suara yang kuat, maka ia adalah bid’ah yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin. Sesungguhnya mereka tidak selalu mengucapkannya dengan suara yang kuat secara berterusan, bahkan tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW mengucapkan isti’azah dengan suara yang kuat. Wallahua’lam. (Lihat Majmu’ Fatawa, 22/404)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pendapat supaya memperlahankan suara ketika isti’azah adalam solat sebelum membaca surah al-Fatihah adalah lebih kuat. Hal ini kerana tidak ada riwayat yang menceritakan secara terperinci bahawa Nabi SAW mengucapkan isti’azah dalam solat secara kuat. Begitu juga dengan riwayat daripada Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.”
Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)
Justeru, dalam hal ini, adalah lebih utama untuk memperlahankan suara ketika beristi’azah dalam solat sebelum bacaan al-Fatihah kerana ia merupakan pendapat jumhur ulama’ yang mana hujjah mereka lebih kuat dalam hal ini kecuali sekiranya ia dikuatkan dengan tujuan untuk mengajar dan seumpamanya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
[1] Lihat al-Muhalla, 3/429; Majmu’ al-Fatawa, 22/405
[2] Riwayat Imam al-Syafi’i dalam al-Umm, 1/107 dan al-Baihaqi (2/36)
[3] Lihat al-Muhalla, 3/249
[4] Lihat al-Mabsut,1 /13; Fath al-Qadir, 1/291
[5] Lihat Masail al-Imam Ahmad, hlm. 76; al-Mughni, 3/146
[6] Lihat al-Umm, 1/107; al-Muhazzab, 1/79; al-Majmu’, 3/324
[7] Lihat al-Nasyr, 1/254
[8] Riwayat Abu Hurairah oleh Imam al-Syafi’i dalam al-Umm (1/107) dan al-Baihaqi daripada jalur Imam al-Syafi’i (2/36)
[9] Lihat al-Majmu’, 3/324, Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/32.
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H