#1709: Berkahwin Dengan Orang Yang Tidak Lengkap Solat Fardhu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, jika ada seorang lelaki menyampaikan niat untuk bernikah dengan saya setelah kami mengenali lebih 6 bulan. Namun beliau berterus terang pada saya yang solat 5 waktunya masih belum mencukupi. Kadang-kadang ada yang masih lopong waktunya.

Yang menjadi persoalan pada saya, adakah saya patut terus menolak kerana bagi pendapat saya jika 5 waktu beliau tak mampu jaga bagaimana pula kelak bila kami berkahwin, bagaimana pula dia nak bimbing saya dan keluarga?

Namun saya ada nampak beliau ada berusaha untuk memperbaiki diri hari ke hari. Hubungan dengan keluarga dan orang sekelilingnya juga baik. Tanggungjawab lain kepada ibunya seperti memberi nafkah, menjaga makan pakai, sakit juga baik memandangkan beliau anak lelaki sulung, tidak berkira malah mudah membantu kawan-kawan yang perlukan pertolongan. Saya berbelah bahagi sama ada saya perlu tolak atau meneruskan niat beliau untuk bernikah dengan saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Perkahwinan adalah satu akad yang suci, ia diibaratkan sebagai satu ikatan yang kuat (مِيثَاقاً غَلِيظًا). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang berat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 21)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi meyebutkan ketika menafsirkan (مِيثَاقاً غَلِيظًا) bahawa dengan ikatan perkahwinan ini, akan dihalalkan bagi wanita perkara-perkara yang tidak pernah dihalalkan baginya melainkan dengan ikatan ini. Hal yang demikian kerana termasuklah dalam ikatan ini keharusan melihat aurat, yang mana ia merupakan perkara yang berat (غَلِيظٌ). Jika sekiranya perkahwinan itu bukanlah satu ikatan yang berat, maka Allah SWT tidak akan menghalalkan melihat aurat. Kerana itulah Allah SWT menyebutkan (وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ), ifdha’ (إِفْضَاءٌ) yang bermaksud pendedahan (kerana dibenarkan mendedahkan aura tantara suami isteri).[1]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa tiada akad yang setanding dengan akad perkahwinan. Sesungguhnya akad yang paling berat dan paling berisiko adalah akad perkahwinan. Hal ini kerana ia membawa banyak tanggungjawab seperti sahnya hubungan mahram, hubungan kekeluargaan, kewajipan nafkah, dan banyak tanggungjawab lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim: Surah al-Nisa’, 1/161)

Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita cara yang terbaik untuk memilih pasangan, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ: لِمَالِهَا، وَلِحَسَبِهَا، وَجَمَالِهَا، وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung.”

Riwayat Al-Bukhari (5090) dan Muslim (1466)

Namun bukanlah bermakna mereka yang mungkin kurang hebat ilmu pengetahuan agamanya, atau masih memperbaiki agamanya tidak sesuai untuk dijadikan pasangan hidup. Jika dia seorang muslim yang betul-betul bertanggungjawab pada setiap perkara yang menjadi keutamaannya, seperti mengeratkan hubungan silaturrahim dengan orang sekelilingnya atau seorang yang ringan tulang dan suka membantu, pasti dia juga akan berusaha untuk sentiasa menjaga tanggungjawabnya dengan Allah SWT.

Usaha seseorang tersebut memperbaiki agamanya merupakan sikap yang terpuji, seperti berusaha melengkapkan solat fardhu lima waktu pada setiap hari. Ini kerana solat merupakan salah satu rukun islam. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإسْلاَمُ عَلى خَمْسٍ: شَهادَةِ أنْ لاَ إلَهَ إلّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وإقامِ الصَّلاَةِ، وإيتاءِ الزَّكاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضانَ

Maksudnya: “Islam itu terbina atas lima perkara: ‘Penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji, dan berpuasa Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Kami menyarankan agar sentiasa menasihati pasangan kita untuk menyempurnakan solat lima waktu pada setiap hari. Hal ini kerana terdapat banyak ancaman terhadap mereka yang meningggalkan solat fardhu dengan sengaja. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang syirik dan kafir, iaitu meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (82)

Imam al-Nawawi juga ada membahaskan permasalahan hukum mereka yang meninggalkan solat. Beliau memperincikan masalah ini, maka kami simpulkannya dan membahagikannya kepada 3 keadaan:

  • Jika seseorang tersebut meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya, atau dia menunaikan solat tetapi mengingkari kewajipannya, dia dihukumkan murtad dan jatuh kafir berdasarkan persepakatan ulama’.

Hal ini sekiranya dia telah lama memeluk islam dan tinggal di dalam komuniti orang islam.

  • Jika dia baru saja memeluk islam atau tinggal berjauhan dari komuniti orang islam (yang mampu mengajarnya hukum agama), maka dia tidaklah dihukumkan sebagai murtad sekiranya dia menafikan kewajipan solat. Akan tetapi wajib diajarkan kepadanya bahawa solat fardhu itu wajib ditunaikan.

(Lihat al­-Majmu‘, 3/14)

Dapat difahami bahawa wajib hukumnya bagi seseorang menceritakan kepada pasangannya yang meninggalkan solat tentang hukum solat fardhu.

Sekiranya diyakini bahawa dengan perkahwinan tersebut, si isteri dapat membimbingnya dalam menyempurnakan tuntutan agama, maka ia sangatlah digalakkan. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَزَقَهُ اللهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ

Maksudnya: “Siapa yang Allah rezekikan padanya isteri yang solehah, maka sebenarnya Allah telah membantunya pada separuh agamanya.”

Riwayat al-Hakim (2681) dan al-Baihaqi (5487) di dalam Syu‘ab al-Iman. Al-Albani menghukum hadith ini (1916) bertaraf Hasan li Ghairih di dalam Sahih al-Taghrib.

Saranan kami jika bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan, mulakan untuk sentiasa mengajak si suami melazimi solat berjemaah di masjid dan menghadiri majlis-majlis ilmu yang terdapat di sana. Jika di rumah, berikan galakan kepadanya untuk mengimamkan solat supaya dia sentiasa meningkat semangatnya untuk menyempurnakan solat fardhu.

Wallahua‘lam

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=MCNayNyS7Iw.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H