#170 Udang Bukan Lipas Laut

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan berkaitan dengan udang. Baru-baru ini telah tular dalam sosial media bahawa udang adalah sejenis lipas laut. Mereka memakan sampah di laut seperti lipas yang memakan sisa di daratan. Justeru, jika benar dakwaan bahawa udang adalah lipas laut, adakah ia haram dimakan? Mohon percerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Udang dan Pemakanannya

Udang adalah sejenis binatang yang hidup di air, berkulit keras, berkaki sepuluh dan berekor.[1] Ia berasal daripada kelas Krustasea. Krustasea ialah antara kumpulan yang besar dan pelbagai, terdiri daripada haiwan invertebrata daripada filum Arthropoda, yang pengkelasannya turut meliputi labah-labah, kala jengking dan serangga.[2] Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil sebagai shrimp atau prawn. Jika melihat dengan lebih mendalam, terdapat perbezaan antara kedua-dua istilah haiwan yang digunakan ini,[3] namun secara umumnya dalam bahasa kita ia merujuk kepada udang. Dari segi dietnya pula, udang merupakan haiwan omnivor. Ia memakan tumbuh-tumbuhan, cacing, ikan, siput, alga, kerang-kerangan yang kecil, carrion, plankton dan lain-lain.[4] Di samping itu, terdapat jenis udang yang merupakan filter feeder iaitu mengamalkan diet dengan menapis makanan dan hanya memakan mikrob-mikrob tertentu.[5] Malah ada juga jenis udang yang membantu “membersihkan” ikan dengan memakan parasit daripada insang, mulut dan sisik ikan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 22/5). Ia juga memainkan peranan penting dalam sistem rantaian makanan sebagai scavenger iaitu pencerna yang mencerna cebisan bangkai yang hadir dalam ekosistem lautan.[6] Scavenger akan memastikan ekosistem bebas daripada bangkai haiwan mati atau carrion. Ia akan mengurai atau memecahkan bahan organik ini, dan mengitarnya semula ke dalam ekosistem sebagai nutrien.[7]

Terdapat banyak spesies udang dapat ditemui, antaranya:[8]

  • Udang Kara Air Tawar[9]
  • Udang Galah[10]
  • Udang Harimau
  • Udang Ketak
  • Udang Minyak
  • dan lain-lain.

Hidupan air

Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalamnya. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150).

Secara umumnya, dinukilkan di dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (2/547-548) bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu:

  1. Spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

  1. Hidupan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini.

Bagi kategori kedua, al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, udang termasuk dalam hidupan air yang halal dimakan. Penamaannya sebagai lipas laut (sekiranya benar), langsung tidak memberi kesan kepada hakikat zatnya yang halal. Hal ini adalah sebagaimana penamaan dolphin sebagai babi air (خنزير الماء) yang merupakan salah satu daripada hidupan air dan ia dihukumkan halal serta tidak perlu kepada sembelihan sebagaimana ikan-ikan yang lain. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/263; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548). Kaedah fiqh juga ada menyatakan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Selain itu, al-Mawardi juga menolak hujah mereka yang mengharamkan babi air disebabkan oleh bandingannya dengan babi di darat.[11] Beliau menyatakan bahawa perbezaan pada tempat sekalipun mempunyai nama dan rupa yang sama memberi kesan pada hukum haiwan tersebut kerana keldai liar dan keldai peliharaan (domestik), kedua-duanya mempunyai nama yang sama dan rupa bentuk yang serupa. Namun, kedua-duanya berbeza pada hukum iaitu keldai liar halal untuk dimakan, manakala keldai peliharaan pula haram untuk dimakan kerana kedua-duanya tinggal di tempat yang berbeza sekalipun sama di atas daratan. Oleh itu, mana-mana haiwan yang berbeza tempat tinggal iaitu satu hidup di dalam air dan satu lagi hidup di atas daratan adalah lebih utama untuk dibezakan hukum ke atas kedua-duanya, sekalipun mereka berkongsi nama dan mempunyai rupa bentuk yang serupa. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/62)

Lebih-lebih lagi, Kamaluddin al-Damiri menukilkan dalam kitabnya bahawa ia merupakan haiwan yang dimakan oleh orang ramai[12] dan daripada kenyataan tersebut dapat difahami bahawa udang sejak asalnya lagi tidak dianggap sebagai haiwan yang jijik.

Kesimpulannya

Udang termasuk dalam hidupan air yang halal dimakan dan tidak perlu disembelih serta bangkainya juga adalah halal sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh nas. Penamaannya sebagai lipas laut (sekiranya benar), langsung tidak memberi kesan kepada hakikat zatnya yang halal kerana hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 04/01/2022 bersamaan 01 Jamadil Akhir 1443H

[1] Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=udang. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/crustaceans/. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[3] Lihat https://a-z-animals.com/blog/prawns-vs-shrimp-main-differences-explained/. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[4] Lihat https://a-z-animals.com/animals/prawn/  dan https://a-z-animals.com/animals/shrimp/. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[5] Lihat https://www.thepatriots.asia/udang-adalah-lipas-laut/. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[6] Lihat https://www.thepatriots.asia/udang-adalah-lipas-laut/. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[7] Lihat https://www.nationalgeographic.org/encyclopedia/scavenger/#:~:text=Scavengers%20play%20an%20important%20role,Some%20birds%20are%20scavengers. Diakses pada 25 Oktober 2021.

[8] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Udang. Diakses pada 4 Januari 2022.

[9] Lihat https://agromalaysia.my/2020/07/20/kenali-spesies-udang-kara-air-tawar/. Diakses pada 4 Januari 2022.

[10] Lihat https://www.umpan.com.my/info-spesies-profil-udang-galah/. Diakses pada 4 Januari 2022.

[11] Hal ini adalah sebagaimana pendapat ketiga yang dinukilkan oleh al-Nawawi dalam kitabnya iaitu dengan melihat haiwan yang seumpamanya di daratan seperti lembu dan kambing, maka ia juga adalah halal untuk dimakan. Sekiranya haiwan seumpamanya di daratan tidak halal dimakan, maka ia juga adalah haram untuk dimakan seperti babi air dan anjing laut. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/34).

[12] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/621-622.