Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jual beli organ manusia? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum derma organ. Ada yang tidak bersetuju dan ada juga dalam kalangan mereka yang mengharuskannya. Kami telah menjawabnya dalam artikel kami, #23: Derma Organ dan Tisu.[1] Ringkasnya, dalam artikel tersebut kami, kami berpendapat bahawa hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan, berpandukan kepada syarat-syarat yang telah digariskan. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi, Dr. Ahmad Sharafuddin, Dr. Rauf al-Shalabi dan ramai lagi. Selain itu juga, institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi, Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia menghukumkan ia harus dengan syarat-syarat yang telah digariskan.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, menjual anggota badan atau organ manusia adalah diharamkan. Dr. Uthman al-Khamis menyatakan, pemindahan organ adalah tidak dibenarkan sekiranya memudaratkan pendermanya atau berlakunya jual beli — Dalam erti kata lain, ia dibenarkan jika tidak memudaratkan pendermanya dan bukannya dengan jual beli.[2]
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Zira‘ah al-A‘dha’ fi Dhau’ al-Syari‘ah al-Islamiyyah (hlm. 50-51) menyebutkan bahawa perlu diingatkan di sini bahawa apabila kita mengatakan harus menderma anggota, tidaklah bermakna boleh menjualnya. Hal ini kerana jual beli sebagaimana yang ditakrifkan oleh para fuqaha ialah “Tukar-menukar harta dalam keadaan redha meredhai.” Sedangkan tubuh badan manusia bukanlah harta sehingga boleh dimasukkan dalam urusan tukar-menukar dan tawar-menawar yang akhirnya menyebabkan jasad manusia menjadi barangan perniagaan yang boleh dijual beli. Malangnya, perkara ini telah berlaku di beberapa buah negara miskin yang mana terdapat peniaga-peniaga gelap yang kerjanya membeli anggota-anggota badan orang miskin untuk kepentingan orang-orang kaya. Perniagaan hina seumpama ini telah didalangi oleh (MAFIA) baru yang menyaingi (MAFIA) dadah.
Dalam hadith qudsi yang sahih yang diriwayatkan oleh Nabi SAW daripada Tuhannya ‘Azza wa Jalla, bahawa Allah berfirman:
ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ: رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ، وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ، وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ
Maksudnya: “Tiga golongan, di mana Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat; orang yang memberi (membuat perjanjian) atas nama-Ku kemudian dia khianat, orang yang menjual orang yang merdeka lalu memakan hasil jualannya dan orang yang mengupah pekerja lalu menyuruh untuk menyempurnakan pekerjaannya, tetapi tidak membayar upahnya.”
Riwayat al-Bukhari (2227); Ahmad (8692); Ibn Majah (2442)
Maka, hadith di atas telah memasukkan orang yang memakan hasil jualan orang yang merdeka dalam dosa besar ini. Demikianlah juga seumpamanya menjual sebahagian daripada tubuhnya — iaitu organ.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi lagi, akan tetapi sekiranya orang yang didermakan anggota badan membayar sejumlah wang atau harta kepada yang menderma anggota tanpa sebarang syarat dan kadar tertentu sebagai hadiah dan sumbangan pertolongan daripadanya, maka hal itu adalah diharuskan. Bahkan ia adalah akhlak yang terpuji dan mulia.
Keadaan ini samalah seperti si pemiutang membayar hutangnya dengan kadar yang lebih daripada kadar yang dipinjamnya tanpa didahului oleh sebarang syarat. Ini adalah harus di sisi syarak bahkan dipuji. Perkara ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang mana Baginda telah membayar dengan sesuatu yang lebih baik daripada yang dipinjamnya. Baginda SAW bersabda:
إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dalam menunaikan janjinya (hutang).”[3]
Riwayat al-Bukhari (2305) dan Muslim (1601)
Kesimpulannya
Isu penjualan organ menjadi ketara apabila terdapat jurang antara golongan kaya dan miskin. Salah satu cara utk mendapat duit dengan mudah, adalah dengan menjual sebahagian organ kepada orang kaya yang memerlukan untuk kehidupan mereka seperti buah pinggang. Kisah dan cerita seperti ini di balik takbir atau pasaran gelap amat ketara. Justeru, Syeikh al-Sya‘rawi amat tegas dalam isu ini ketika mengharamkan tabarru‘ anggota kepada seseorang. Ini lebih kepada isu Sadd al-Zari‘ah yang membawa kepada terbuka dan terdedahnya penjualan organ.
Oleh itu, kami menegaskannya sekali lagi bahawa menjual organ badan manusia hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa besar. Inilah juga alasan kuat yang dikemukakan oleh golongan ulama yang berpendapat haram pendermaan organ. Oleh yang demikian, sesiapa yang menderma organ badan hendaklah mengikhlaskan diri dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan derma organ, bolehlah merujuk kepada e-buku kami dalam laman rasmi Maktabah al-Bakri[4] yang bertajuk: “Pemindahan & Pendermaan Organ dalam Islam.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/derma-organ-dan-tisu/.
[2] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=V4l2r0jXbs4. Diakses pada 9 Ogos 2022.
[3] Menunaikan janji atau hak seseorang ke atasnya
[4] https://maktabahalbakri.com/
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H