#1703: Mengambil Suntikan Vaksin di Siang Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah batal puasa jika mengambil suntikan vaksin antibodi pada siang hari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadan.”

Riwayat BukharI (8)

Dalam menjawab isu pembatalan puasa, para ulama telah menjelaskan bahawa antara perkara yang boleh membatalkan puasa ialah apabila seseorang memasukkan sesuatu ke dalam tubuh badannya melalui rongga yang terbuka misalnya hidung dan mulut. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

مِنَ الْمُفْطِرَاتِ دُخُولُ شَيْءٍ فِي جَوْفِهِ – وَقَدْ ضَبَطُوا الدَّاخِلَ الْمُفْطِرَ بِالْعَيْنِ الْوَاصِلَةِ – الظَّاهِرُ إِلَى الْبَاطِنِ فِي مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ

Maksudnya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masukkan sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan sesuatu yang masuk ke dalam al-Jauf (rongga) membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar berpuasa.” (Lihat Raudah al-Talibin, 2/356)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum mengambil vaksin antibodi di siang Ramadhan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka.

Berkenaan isu vaksin/ suntikan ini, saudara boleh juga merujuk kepada isu-isu dibawah sebagai maklumat lanjut berkenaan suntikan:

#1135: Menerima Suntikan Ketika Puasa[1]

#1005: Orang Berpuasa Mengambil Suntikan Insulin[2]

#1146: Suntikan Liraglutide Semasa Berpuasa[3]

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

للَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/33575-2/

[2] https://maktabahalbakri.com/1005-orang-berpuasa-mengambil-suntikan-insulin/

[3] https://maktabahalbakri.com/suntikan-liraglutide-semasa-berpuasa/

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H