#1706: Bersanding dalam Majlis Persaraan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Masa kahwin naik pelamin haramkan. Tetapi masa ‘pencen’ boleh ka atau tidak boleh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya perkataan pelamin adalah merujuk kepada tempat pengantin bersanding sebagaimana yang didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat.[1] Amalan bersanding ini dianggap sebagai kemuncak majlis perkahwinan dalam adat resam kahwin Melayu. Bersanding adalah acara terpenting dan sekali seumur hidup bagi sepasang pengantin. Majlis perkahwinan tidak dikira lengkap jika kedua-dua mempelai tidak disandingkan di atas pelamin. Di atas pelamin itu ada kerusi yang dihias cantik.[2]

Namun, kini sudah menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat kita, di mana dalam kebanyakan majlis persaraan seperti majlis persaraan guru, guru yang diraikan itu akan disarungkan dengan selempang dan diminta duduk di atas kerusi seakan-akan pelamin.

Sebelum kami menjawab soalan yang diajukan, di sana terdapat kaedah menyebutkan:

الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya:Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”

Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan.

Begitu juga dalam soal ucapan hormat. Ada orang memulakan ucapan hormatnya  dengan perkataan ini, dan ada orang yang lain memulakan ucapan hormatnya dengan perkataan yang lain. Misalnya, orang ini memulakan ucapan hormatnya dengan mengucapkan, “Selamat pagi,” sedangkan orang yang lain dengan perkataan lain. Maka, kami katakan hal tersebut adalah diharuskan kerana ia termasuk dalam perkara adat. Oleh sebab itu, firman Allah SWT:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Maksudnya:Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).

(Surah al-Nisa’: 86)

Akan tetapi kata katakan, ucapan hormat yang paling baik dan sempurna sebagaimana dalam syarak ialah “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Begitu juga sebahagian orang (ketika berjumpa) cukup dengan hanya berjabat tangan, manakala sebahagian yang lain pula saling berpelukan. Begitu juga sebahagian orang (ketika berjumpa) saling melagakan hidup antara satu sama lain, dan sebahagian yang lain pula saling melagakan pipi antara satu sama lain. Semua ini adalah adat yang mana hukumnya adalah diharuskan melainkan terdapatnya dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.

Jika adat itu adanya penyerupaan dengan kaum wanita, maka kita katakan bahawa ia adalah tidak boleh untuk kaum lelaki kerana Nabi SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan juga kaum wanita yang menyerupai lelaki. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).

Selain daripada itu, Muhammad Husain al-Jizani dalam kitabnya, Dirasah wa Tahqiq Qa’idah: al-Aslu fi al-‘Ibadat al-Man‘u (hlm. 47) ada menukilkan perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menyatakan, hukum asal dalam perkara ibadat ialah al-Tauqif. Oleh itu, tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Jika tidak, kita akan termasuk dalam makna firman Allah SWT:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ

Maksudnya:Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

(Surah al-Syura: 21)

Manakala bagi perkara adat pula, hukum asalnya adalah dimaafkan, maka janganlah dilarang daripadnya melainkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Jika tidak, kita akan termasuk dalam makna firman Allah SWT:

قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا

Maksudnya:Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): ‘Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?’

(Surah Yunus: 59)

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan bagi orang yang bersara atau pencen untuk naik ke atas pelamin kerana ia termasuk dalam perkara-perkara adat dalam masyarakat kita. Akan tetapi keharusan tersebut terikat dengan dhawabit dan syarat-syarat sebagaimana berikut:

  • Tidak mengandungi perkara yang dilarang seperti pendedahan aurat, pencampuran antara lelaki dan perempuan secara tidak terkawal, tabarruj bagi perempuan dan seumpamanya.
  • Menjaga kesopanan.
  • Bersederhana dan tidak berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pelamin. Diakses pada 25 Mei 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bersanding. Diakses pada 25 Mei 2023.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H