Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, mohon pencerahan berkaitan hukum perbuatan berikut. Saudara saya jatuh motor, patah tulang, dapat cuti mengajar. Dalam tempoh penyembuhan tersebut dia boleh berjoging, berenang dan buat aktiviti riadah tersebut dengan elok. Selang beberapa tempoh dia kembali berjumpa doktor, masih dapat MC kerana tulangnya belum bercantum, situasi yang sama juga, walaupun belum sembuh dia mampu buat aktiviti riadah yang saya nyatakan tadi. Dia tidak kembali bekerja atas alasan MCnya masih ada. Kerja-kerjanya perlu ditanggung oleh rakan sejawat yang lain. Apakah hukumnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat pBaginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan di sini bahawa dalam alam pekerjaan, seseorang itu perlu menjalankan amanah dengan sewajarnya. Sebagaimana firman Allah SWT:
Dalam pada itu, seseorang akan lebih mengetahui keadaan dirinya. Maka, di sini kami nasihatkan agar masing-masing menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Janganlah kita berlaku helah atau mengambil kesempatan dalam bekerja. Hal ini kerana dikhuatiri rezeki atau gaji yang kita perolehi tidak berkat. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
Surah al-Baqarah (168)
Begitu juga, jauhilah mengumpat atau membicarakan aib orang lain (ghibah). Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Justeru itu, kami nyatakan di sini bahawa dalam bekerja, jalankanlah amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Hal ini kerana dengan bersikap amanah, jujur, bertanggungjawab dan menjaga adab sesama rakan sekerja dan seumpamanya, ia akan menjadikan suasana di tempat kerja lebih harmoni tanpa ada pertelingkahan di antara rakan sekerja. Kami akhiri dengan sabda Rasulullah SAW:
مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Tiada seorang pun yang memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada jerih payah tangannya sendiri. Dan tidaklah seseorang itu memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya dan hamba-hambanya melainkan ia dikira sebagai sedekah.”
Riwayat Ibn Majah (2138) dan Ahmad (17190). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (5660)
Kami akhiri dengan memesan kepada diri yang dha’if ini serta rakan-rakan semua supaya dapat melaksanakan tugas dengan seterbaiknya. Kalau ini menjadi pegangan dan moto kehidupan, maka sudah tentu keberhasilan dan produktiviti akan meningkat, di samping kurniaan keberkatan daripada Allah kepada orang seumpama ini.
Marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H