#1719: Kalam Allah Bukan Seperti Kalam Makhluk

Soalan :

Assalamualaikum datuk, ada perkara yang mengganggu fikiran saya, tapi saya menafikan perkara tersebut cuma saya ingin menambah ilmu iaitu berkenaan sifat Allah yang mana sifat Allah tidak sama dengan makhluk, itu pegangan saya. Al-Quran merupakan kalam Allah, iaitu kata-kata Allah, bagaimana kata-kata Allah ini berbeza dengan sifat makhluk iaitu juga berkata kata? Mohon pencerahan.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan mengenali Allah SWT adalah kerana daripadanya terbina Rukun Iman. Ia juga adalah hikmah dalam penciptaan sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Mengetahui kewujudan Allah SWT adalah membenarkan kewujudan-Nya tidak sebagaimana kelompok al-Dahriyyah al-Mu’attilah yang menyatakan bahawa alam ini wujud tanpa pencipta. Firman Allah SWT:

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Maksudnya: “Dan mereka berkata: ‘Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman.’ Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.”

(Surah al-Jathiyah: 24)

 

Kewajipan Mengenal Allah SWT

Seorang Muslim wajib untuk mengenal Allah. Mengenal Allah bahkan menjadi kewajipan pertama yang harus dilakukannya sebelum menjalankan kewajiban Islam lainnya. Imam al-Baihaqi menghimpunkan beberapa ayat al-Quran yang berkaitan dengan perkara ini. Antaranya:

Firman Allah SWT:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

(Surah Muhammad: 19)

Firman Allah SWT:

فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَوْلَاكُمْ

Maksudnya: “Maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu.”

(Surah Hud: 14)

Firman Allah SWT:

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran).”

(Surah al-Baqarah: 136)

Dengan ayat-ayat ini, wajib untuk kita mengenal-Nya, mengiktiraf-Nya dan bersaksi dengan-Nya sebagaimana dinyatakan-Nya. (Lihat al-I’tiqad wa al-Hidayah ila Sabil al-Rasyad, hlm, 19).

 

Kembali kepada persoalan di atas, Allah berbicara dengan kata-kata yang benar, Dia berbicara pada bila-bila,bagaimana, dan apa sahaja yang dikehendaki  dengan cara yang layak dan sifat kesempurnaan padanNYA .Dengan ini, sifat berbicara adalah sifat zat Allah, dan juga sifat Fi’liah, kerana pada hakikatnya itu adalah sifat zat bagi Allah.

Ha ini seleras dengan firman Allah SWT :

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya : Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat

(Surah al-Syura:11) 

Dalil yang menyatakan sifat al-Kalam adalah seperti berikut:

  1. Firman Allah SWT:

وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا

Maksudnya:  “Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan). 

(Surah al-Nisa’: 164)

 Abu Hayyan ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan, ini adalah perkhabaran tentang Allah yang memuliakan Musa dengan kata-kata-Nya, dan Dia menguatkan dengan sumber yang menunjukkan bahawa perbuatan itu terjadi secara nyata, bukan secara metafora. (Lihat al-Bahr al-Muhit,4/139).

  1. Firman Allah SWT:

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَى لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ

Maksudnya: “Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya.”

(Surah al-A‘raf: 143)

Al-Qurtubi berkata: (Dan ketika Musa datang pada waktu yang telah Kami tetapkan) iaitu pada waktu yang dijanjikan. (Dan Tuhan-Nya berbicara) dengan mendengarkan perkataan-Nya tanpa perantaraan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi,7/278).

Daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يقولُ اللَّهُ: يا آدَمُ، فيَقولُ: لَبَّيْكَ وسَعْدَيْكَ، فيُنادَى بصَوْتٍ إنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكَ أنْ تُخْرِجَ مِن ذُرِّيَّتِكَ بَعْثًا إلى النَّار

Maksudnya: “Allah berfirman: ‘Wahai Adam!’ Maka Adam menjawab: ‘Labbaik (aku memenuhi panggilan-Mu) dan Sa’dayk (aku senang dengan kehendak-Mu).’ Kemudian diserukan dengan suara: ‘Sesungguhnya Allah memerintahkanmu untuk mengeluarkan keturunanmu dari neraka.’”

Riwayat al-Bukhari (6929)

Kepercayaan Ahlus Sunnah wal Jama‘ah bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang Dia ucapkan dengan kebenaran, bukan makhluk, bermula daripada-Nya dan kembali kepada-Nya. Yang dimaksudkan dengan ‘bermula daripada-Nya adalah yang berbicara ialah Allah SWT. Manakala yang dimaksudkan (وإليه يعود) kembali kepada-Nya terdapat dua tafsiran:

Pertama: Ia (al-Quran) diangkat, seperti yang disebutkan dalam beberapa riwayat, bahawa di malam tertentu al-Quran diangkat, sehingga pada pagi hari tidak ada al-Quran di tangan manusia, tidak ada dalam dada mereka, dan tidak ada dalam mushaf mereka, Allah yang mengangkatnya.

Kedua: Al-Quran kembali kepada Allah sebagai sifatnya; ertinya, tidak ada yang dapat disifatkan denganya kecuali Allah. Yang berbicara dalam al-Quran adalah Allah, dan Dialah yang disifatkan dengan kata-kata tersebut.

Al-Tahawi berkata: Al-Quran adalah kalam Allah. Allah menurunkannya kepada Rasul-Nya sebagai wahyu. Para Mukmin beriman  dan meyakini bahawa al-Quran adalah kalam Allah dengan hakikatnya, bukan makhluk seperti perkataan makhluk-makhluk lain. Barangsiapa yang mendengarnya dan mendakwa bahawa itu adalah perkataan manusia, maka ia jatuh kafir. (Lihat Syarh al-Aqidah al-Tahawiyyah, hlm.108).

Al-Quran menurut Imam Ahmad dan para Imam-Imam yang lain ialah merupakan kata-kata yang disampaikan dan dilafaz oleh Allah  SWT dengan bahasa Arab dan dengan suaraNYA sendiri. Dia berbicara dengan Musa dengan suaranya sendiri yang tidak menyerupai suara makhluk lainnya. Namun, ketika kita membaca Al-Quran, kita membacanya dengan suara kita  yang tidak menyerupai suara Allah. (Lihat Majmu’ah al-Rasail Wal Masail,3/76)

Imam Bukhari ada menyatakan tentang Kalam Allah Al-Quran :

الْكَلَامُ كَلَامُ الْبَارِئِ، وَالصَّوْتُ صَوْتُ الْقَارِئِ

Maksudnya: “Kata-kata adalah kata-kata Pencipta, dan suara adalah suara pembaca.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H