#1730: Ejaan Nama Allah

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. Saya mohon pencerahan berkenaan sebutan dan ejaan Allah. Baru-baru ini saya ada melihat satu video YouTube berkenaan sebutan dan ejaan Allah SWT. Adakah betul apa yang dibincangkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

اِنَّنِيْٓ اَنَا اللّٰهُ لَآ اِلٰهَ اِلَّآ اَنَا۠ فَاعْبُدْنِيْۙ وَاَقِمِ الصَّلٰوةَ لِذِكْرِيْ

Maksudnya: “Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingat Aku.” 

                                                                                                                                 (Surah Taha: 14)

Kalimah Allah merupakan ungkapan lafaz al-Jalalah (لَفْظُ الجَلَالَةِ) yakni lafaz yang Agung. Nama ini hanya layak digunakan oleh Allah SWT sahaja dan tidak ada seorang pun dari makhluk-Nya yang boleh menggunakan nama ini.

Para ulama berbeza pandangan, apakah lafz al-jalalah (الله) itu musytaq (kata pecahan) atau ghairu musytaq (bukan kata pecahan). Namun, yang sahihnya adalah pandangan yang dipilih oleh Ibn al-Qayyim dalam Syarh al-Asma’ al-Husna (hlm. 68): Lafaz tersebut adalah musytaq, iaitu pecahan daripada lafaz (إِلَــهٌ), tetapi dengan makna (مَأْلُوْهٌ), yakni atas wazan (فِعَـالٌ) dengan makna (مَفْعُوْلٌ). Hal ini sama halnya dengan wazan perkataan (كِتَــابٌ), tetapi dengan makna (مَكْتُوْبٌ) (yang ditulis).

Justeru, makna lafaz Allah (الله) ialah:

الله : ِاسْمٌ لِلذَّاتِ الْوَاجِبِ الْوُجُوْدِ الْمَعْبُوْدُ بِحَقِّ

Maksudnya: “Allah ialah nama bagi Zat yang wajib wujud-Nya (pasti ada), yang berhak disembah.” (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 1/47)

Berbalik kepada soalan yang di atas, kami nyatakan dalam isu ini kita perlu fahami  bahawa nama Allah bersifat sima’i (dieja melalui pendengaran). Maka, atas sebab itu, ia dieja dengan “Allah” (الله) mengikut sebutan dan pendengaran. Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H