#1735: Hukum Aktiviti Paranormal/Cari Hantu

Soalan:

Apakah hukum buat content cari hantu/paranormal? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidaada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Surah Al-Baqarah (1-2) 

Syeikh Mustafa al-Maraghi menyebut bahawa beriman dengan perkara yang ghaib ialah percaya bahawa adanya kewujudan di sebalik alam yang nyata yang mana ianya dipandu dengan dalil dan akal yang waras. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 1/35)

Begitu juga Allah menceritakan akan kewujudan syaitan yang sentiasa menjadi musuh nombor satu kepada manusia. Firman Allah SWT:

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ  

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”

Surah al-‘Araf (27)

Tohir Ibn ‘Asyur menyebut bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Sekalipun kita tidak boleh melihat mereka, itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang, tidak bermakna kita boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak. (Lihat Tahrir Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 3/26).

Di dalam Islam antara perkara ghaib yang wajib kita imani adalah kewujudan jin dan syaitan. Namun, dari sudut penyerupaan, Syeikh Sulaiman al-Asyqar menyatakan bahawa kadangkala syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara was-was akan tetapi ia juga boleh datang menyerupai manusia. Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik. (Lihat Silsilah al-‘Aqidah : Alam al-Syayatin wa al-Jinn, hlm 91).

Berbalik kepada soalan di atas, kami nasihatkan agar sebaiknya janganlah melakukan perkara-perkara sedemikian dan buatlah perkara yang lebih bermanfaat seperti membaca al-Quran, hadiri majlis ilmu, bersukan dan seumpamanya. Membuat perkara yang berunsur mistik secara berlebihan dikhuatiri akan membawa kepada kesyirikan, ketahyulan dan khurafat. Semoga Allah memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat. 

Wallahu’alam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H