Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan untuk kita melaknat individu yang melakukan maksiat dalam kalangan orang Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi laknat. Dari segi bahasa, laknat bermaksud jauh dan tercampak (daripada sebarang kebaikan). Manakala dari segi syarak, ia bermaksud jauh dan tercampak daripada rahmat Allah. (Lihat Mu‘jam al-Manahi al-Lafziyyah, hlm. 456).
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din (3/123) mendefinisikan ‘laknat’ sebagai suatu ibarat tentang keadaan orang yang terhalau dan dijauhkan dari Allah SWT. Kemudian beliau menyebutkan, perbuatan melaknat itu tidak dibolehkan melainkan ke atas individu yang berkelakuan dengan sifat yang menjauhkan dirinya daripada Allah Azza wa Jalla, yakni orang yang bersifat dengan kekufuran, dan kezaliman, seperti halnya seseorang mengucapkan, “Semoga laknat Allah ke atas orang yang zalim dan ke atas orang kafir.”
Perkataan “Laknat” terdapat di dalam al-Quran dan hadith. Di dalam al-Quran, terdapat banyak tempat Allah melaknat Iblis dan juga Syaitan. Di antaranya firman Allah SWT:
وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
Maksudnya: “Sesungguhnya ke atasmu (Iblis) laknat sehingga ke hari kiamat.”
(Surah al-Hijr: 35)
Begitu juga firman Allah SWT dalam ayat lain:
لَعَنَهُ اللهُ وَقَالَ لَأتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَفْرُوضا
Maksudnya: “(Dia Iblis) yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku).”
(Surah al-Nisa’: 118)
Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, asal bagi perkataan laknat adalah menjauhkan. Manakala dari sudut uruf pula laknat bererti menjauhkan yang disertai dengan penghinaan dan kemurkaan. Maka melaknat Iblis secara ta‘yin (khusus) adalah harus dan demikian juga ke atas setiap golongan kafir yang telah mati seperti Firaun, Haman, dan Abu Jahal. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/331).
Manakala di dalam hadith pula, terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW juga pernah melaknat syaitan. Ini sebagaimana riwayat Abu al-Darda’ R.A, katanya:
قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَمِعْنَاهُ يَقُولُ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ. ثُمَّ قَالَ: أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ ثَلاَثًا. وَبَسَطَ يَدَهُ كَأَنَّهُ يَتَنَاوَلُ شَيْئًا فَلَمَّا فَرَغَ مِنَ الصَّلاَةِ قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ سَمِعْنَاكَ تَقُولُ فِي الصَّلاَةِ شَيْئًا لَمْ نَسْمَعْكَ تَقُولُهُ قَبْلَ ذَلِكَ وَرَأَيْنَاكَ بَسَطْتَ يَدَكَ. قَالَ: إِنَّ عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ جَاءَ بِشِهَابٍ مِنْ نَارٍ لِيَجْعَلَهُ فِي وَجْهِي فَقُلْتُ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ قُلْتُ: أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ التَّامَّةِ فَلَمْ يَسْتَأْخِرْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَرَدْتُ أَخْذَهُ وَاللَّهِ لَوْلاَ دَعْوَةُ أَخِينَا سُلَيْمَانَ لأَصْبَحَ مُوثَقًا يَلْعَبُ بِهِ وِلْدَانُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berdiri (untuk menunaikan solat) lalu kami mendengar Baginda mengucapkan: ‘Aku mohon perlindungan Allah daripadamu.’ Kemudian kami mendengar Baginda menyebut: ‘Aku melaknat kamu dengan laknat Allah,’ sebanyak tiga kali. Lalu Baginda membentangkan tangannya seperti dia sedang mengambil sesuatu. Maka sebaik sahaja selesai solat kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, kami telah mendengar kamu menyebut di dalam solat sesuatu perkataan yang tidak pernah kami dengarinya sebelum ini dan kami melihat kamu bentangkan tanganmu.’ Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Sesungguhnya musuh Allah Iblis telah datang dengan api dari neraka untuk dia campakkan ke wajahku. Maka aku katakan: Aku mohon perlindungan Allah daripada kamu sebanyak tiga kali. Kemudian aku katakan: Aku melaknat kamu dengan laknat Allah yang sepenuhnya. Maka sedikit pun ia tidak berpaling. Kemudian aku ingin mengambilnya (menangkapnya). Demi Allah jika tidak disebabkan doa saudara kami Sulaiman, nescaya ia sudah menjadi bahan mainan kanak-kanak di Madinah.’”
Riwayat Muslim (542)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, hukum asal pada melaknat orang Islam yang lain ialah haram. Ini berdalilkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”
(Surah al-Ahzab: 58)
Daripada Thabit bin al-Dhahhak R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَعَنَ مُؤْمِنًا فَهُوَ كَقَتْلِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang melaknat orang beriman (dosanya) sama seperti membunuhnya.”
Riwayat al-Bukhari (6047) dan Muslim (110)
Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سِبَابُ الـمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
Maksudnya: “Mencela orang Islam itu adalah perbuatan fasik, sedangkan membunuhnya adalah kekufuran.”
Riwayat al-Bukhari (48) dan Muslim (64)
Dalam isu ini, Imam al-Nawawi menyatakan, telah berlaku ijma‘ larangan melaknat seseorang Muslim yang terpelihara maruahnya. (Lihat al-Azkar, hlm. 331). Manakala dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (2/54), beliau mengatakan pelakunya digelar fasiq. Adapun implikasi membunuh seorang Muslim; apakah kafir hakiki atau bukan? Maka yang benar di sisi ahli ilmu adalah bukan, yakni tidak merujuk kepada kekufuran yang mengeluarkan seseorang daripada Islam, melainkan jika dia telah beriktikad bahawa membunuh itu adalah halal. Kekufuran dalam hadith tersebut memiliki beberapa tafsiran ulama. Antaranya ialah:
- Hukum kafir orang yang menghalalkan darah orang Islam yang lain;
- Kufur terhadap tanggungjawab ihsan, nikmat Allah dan persaudaran seislam;
- Kufur daripada sudut betapa celaka dan malangnya perbuatan mencaci;
- Kufur daripada sudut menyerupai perangai orang kafir yang memusuhi Islam.
Seterusnya, berkenaan hal ini, ia terbahagi kepada dua keadaan. Keadaan pertama, melaknat orang-orang fasiq secara umum. Keadaan kedua, melaknat orang-orang fasiq secara spesifik kepada individu tertentu.
Hukum melaknat orang Islam yang fasiq
Hukum melaknat orang-orang fasiq secara umum, tanpa dispesifikkan kepada individu adalah diharuskan dalam Syarak. Dalilnya ialah firman Allah SWT:
وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَه وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”
(Surah al-Nisa’: 93)
Begitu juga dalil daripada sunnah Rasulullah SAW. Daripada ‘Aun bin Abu Juhaifah, daripada ayahnya bahawa:
لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الوَاشِمَةَ وَالـمُسْتَوْشِمَةَ، وَآكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ، وَنَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَكَسْبِ البَغِيِّ، وَلَعَنَ الـمُصَوِّرِينَ
Maksudnya: “Nabi SAW melaknat wanita yang mentatu dan wanita yang minta ditatu, orang yang memakan riba dan memberinya, dan melarang daripada mengambil hasil jualan anjing, gaji pelacur, dan melaknat golongan yang melukis dan mengukir berhala.”
Riwayat al-Bukhari (5347)
Begitu juga, perkara ini dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah (hlm.192) bahawa diharuskan untuk melaknat orang yang bersifat dengan salah satu daripada sifat berikut secara umum, seperti laknat Allah ke atas orang-orang kafir, ahli bidaah, orang fasik, atau secara lebih spesifik (tetapi bukan individual seperti nama) seperti laknat Allah ke atas penganut Yahudi, Khawarij, Qadariah, Rawafidhah, ahli zindiq, orang zalim dan pemakan riba.
Selain itu, Ibn Muflih juga ada menyebutkan, dibolehkan untuk melaknat golongan kafir secara umum. Dalam erti kata lain, melaknat ke atas golongan kafir ataupun pelaku-pelaku maksiat dalam bentuk umum seperti ucapan, “Laknat Allah ke atas golongan Yahudi dan Nasrani.” Ataupun ucapan seperti: “Laknat Allah ke atas golongan kafir, orang fasiq, atau orang-orang zalim.” Begitu juga seperti melaknat ke atas peminum arak atau para pencuri. Maka semua perkataan laknat yang ditujukan kepada umum sebegini adalah dibolehkan. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/203).
Hukum melaknat orang Islam yang fasiq secara individu (spesifik)
Manakala jika laknat itu dispesifikkan kepada individu, atas dasar kefasikan yang dilakukan, maka hukumnya adalah diharuskan oleh sebahagian ulama. Manakala sebahagian yang lain berpendapat ia adalah diharamkan.
Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (hlm. 332) menyatakan, adapun melaknat seseorang manusia secara individu yang berkelakuan atau disifatkan dengan salah satu daripada perbuatan maksiat, maka berdasarkan apa yang zahir daripada hadith-hadith, hukumnya tidaklah diharamkan. Al-Ghazali mengisyaratkan bahawa melaknat adalah diharamkan sekalipun ke atas orang yang zalim melainkan individu yang telah dinaskan sebagai mati dalam keadaan kufur seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Firaun, Haman dan sesiapa yang menyerupai mereka.
Selain daripada itu, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari (12/76) menyebutkan, guru kami (syeikh kami), al-Imam al-Bulqini telah berhujah dengan keharusan melaknat seseorang secara individu berdasarkan hadith yang warid berkenaan wanita yang apabila dipanggil suaminya ke katil tetapi dia enggan maka malaikat melaknatnya sehingga Subuh. Hadith ini ada dalam kitab al-Sahih. Sebahagian ulama telah bertawaqquf mengenainya, kerana dalam kes hadith itu, pelaknatnya ialah para malaikat, maka mereka bertawaqquf dalam beristidlal tentang keharusan mengikut jejak langkah malaikat dalam hal tersebut, dan dalam menerima pendapat yang mengharuskan itu kerana khabar itu tidak menyebut nama perempuan tersebut. Pendapat yang diucapkan oleh guru kami adalah lebih kuat kerana malaikat itu maksum, dan meniru makhluk yang maksum adalah disyariatkan. Maka, memang wujud perbahasan tentang keharusan melaknat individu secara individual.
Manakala di antara ulama yang berpendapat ia adalah dilarang, ialah Ibn Hajar al-Haitami. Beliau menyebutkan, adapun melaknat seseorang (fasiq) secara individu; jika orang itu masih hidup maka diharamkan melaknatnya secara mutlak, melainkan jika diketahui matinya dalam keadaan kafir, seperti iblis. Begitu juga, (diharamkan melaknat) orang yang tidak diketahui matinya atas kekufuran sekalipun dia seorang kafir ketika itu. Ini kerana mungkin sahaja dia masuk Islam kemudian mati dalam keadaan dekat di sisi Allah SWT; maka bagaimana dia boleh dihukum dengan keadaannya yang terlaknat, dijauhkan dan dihalau dari rahmat Allah? Maka tidak boleh menghukum orang dengan melihat kepada kekufuran ketika itu. Benar, diharuskan untuk berkata laknat Allah ke atasnya, jika (jelas dia) mati atas kekafiran. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 192).
Tambahan lagi, Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya yang lain menyatakan, tidak ada satu pun tujuan kita yang bersifat syar‘i yang membenarkan kita untuk melaknat Muslim pada asalnya. Kemudian di antara tempat yang diharamkan adalah melaknat secara khusus (spesifik kepada individu tertentu). Tidak boleh melaknat secara spesifik individu tertentu sekalipun dia merupakan seorang yang fasiq. (Lihat al-Zawajir, 2/60).
Di samping itu, Ibn ‘Abidin daripada kalangan ulama mazhab Hanafi turut menyebutkan, tidak dibolehkan untuk melaknat secara mu‘ayyan (ditentukan individu) yang kita tidak tahu matinya di dalam kekufuran sekalipun dia merupakan seorang fasiq. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 3/416).
Begitu juga Ibn al-‘Arabi daripada kalangan ulama mazhab Maliki menyatakan, adapun orang yang melakukan maksiat maka secara khususnya tidak boleh untuk melaknatnya secara sepakat para ulama. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/50).
Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan, adapun apa yang dinukilkan daripada Imam Ahmad maka berdasarkan nas-nas yang sabit daripada anaknya Soleh apabila ditanyakan kepada Imam Ahmad: “Adakah kamu tidak melaknat Yazid?” Maka Imam Ahmad menjawab: “Sejak bila pula kamu pernah melihat bahawa bapamu ini melaknat seseorang?” Demikian juga Imam Ahmad apabila disebutkan berkenaan Hajjaj dan juga beberapa orang zalim maka Imam Ahmad berkata: “Ketahuilah, laknat Allah ke atas orang-orang zalim.” Beliau tidak suka untuk melaknat secara khusus (spesifik kepada individu tertentu). (Lihat Minhaj al-Sunnah, 4/573).
Dalil Larangan Melaknat Orang Fasiq
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَجُلاً، عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم كَانَ اسْمُهُ عَبْدَ اللَّهِ، وَكَانَ يُلَقَّبُ حِمَارًا، وَكَانَ يُضْحِكُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، وَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم قَدْ جَلَدَهُ فِي الشَّرَابِ، فَأُتِيَ بِهِ يَوْمًا فَأَمَرَ بِهِ فَجُلِدَ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ اللَّهُمَّ الْعَنْهُ مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم “ لاَ تَلْعَنُوهُ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ أَنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang bernama Abdullah. Dia digelar sebagai himar dan menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Nabi SAW pernah menyebatnya disebabkan dia peminum arak. Maka suatu hari dia dihadapkan ke hadapan Nabi lalu Baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang lelaki pun berkata: ‘Ya Allah, laknatlah dia. Berulang kali dia melakukan hal yang sama.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Janganlah kamu melaknatnya. Demi Allah tidak aku ketahui melainkan dia ini mencintai Allah dan Rasul-Nya.’”
Riwayat al-Bukhari (678)
Berdasarkan hadith di atas, sekalipun lelaki tersebut merupakan seorang yang melakukan maksiat secara berulang kali yang menyebabkan dia boleh tergolong dalam kalangan orang fasiq, pun begitu Rasulullah SAW tetap melarang orang ramai daripada melaknat lelalaki tersebut. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ketika mengulas berkenaan hadith ini menyebutkan, Nabi SAW melarang lelaki ini dilaknat secara khusus (spesifik) yang mana dia merupakan seorang yang banyak meminum arak disebabkan lelaki itu mencintai Allah dan Rasul. Dalam keadaan Baginda melaknat peminum arak secara mutlak. Maka hal ini menunjukkan keharusan melaknat peminum arak secara mutlak manakala tidak boleh untuk dilaknat secara spesifik (khusus kepada individu tertentu) kepada orang yang mencintai Allah dan Rasul. (Lihat Minhaj al-Sunnah, 4/569).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat perbuatan melaknat kepada pelaku maksiat secara spesifik kepada individu tertentu hendaklah dihindari serta dijauhi. Hal ini kerana sifat banyak melaknat bukanlah ciri orang-orang soleh. Apatah lagi kita tidak mengetahui hakikat sebenar kesudahan orang tersebut kerana boleh jadi pengakhirannya adalah lebih baik daripada kita. Justeru, bagaimanakah kita boleh melaknat orang-orang tersebut?
Atas sebab itulah, Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya bahawa melaknat orang secara individu itu terdapat bahaya, kerana setiap individu itu berubah-ubah pada keadaan masing-masing, melainkan mereka yang dijelaskan keadaannya oleh Rasulullah SAW kerana Baginda dibenarkan untuk mengetahui siapa yang mati atas jalan kekafiran. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/124).
Sebaliknya, mengikut sunnah Nabi digalakkan untuk sentiasa memperbanyakkan doa kebaikan kepada pelaku-pelaku maksiat supaya mereka berhenti daripada melakukan maksiat dan tidak mengulanginya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H