Soalan:
Assalamualaikum Dato’ seri. Saya suka dengar ceramah agama, kadang-kadang saya akan dengar pakai earphone bluetooth. Saya pernah terfikir boleh ke kalau saya masuk dalam bilik air sambil dengar ceramah agama menggunakan earphone bluetooth tapi telefon di luar, sebab dalam ceramah ustaz atau ustazah akan sebut nama Allah, membaca hadith nabi atau potongan ayat Al-Quran? Mohon pencerahan, terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Majlis Ilmu merupakan majlis yang mendapat rahmah dan sakinah daripada Allah SWT. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Tidaklah sesuatu kaum yang duduk mengingati Allah ‘Azza wa Jalla, kecuali para malaikat mengelilingi mereka, rahmat Allah meliputi mereka, ketenangan turun kepada mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat yang ada di sisi-Nya.”
Riwayat Muslim (2700)
Pertamanya, kami ucapkan tahniah kepada saudara kerana sentiasa tekun mendengar pengisian agama dan rohani dalam menambah ilmu saudara. Semoga saudara beristiqamah untuk sentiasa menuntut ilmu yang memberikan manfaat kepada saudara dan juga orang lain.
Berbalik kepada persoalan saudara, kami katakan bahawa perbuatan saudara mendengar pengisian agama melalui earphone bluetooth adalah tidak menjadi masalah. Hal ini kerana saudara tidak menyebut apa-apa perkataan yang mulia tersebut ketika berada di dalam bilik air.
Selain itu, para ulama’ zaman dahulu sangat menghargai masa sehinggakan ketika berada di dalam tandas pun, mereka akan cuba mendengar pengisian ilmu. Abu Abdullah bin Al-Qayyim berkata: Saudara kepada syeikh kami Abd al-Rahman bin Abd al-Halim bin Taimiyah menyampaikan kepadaku, daripada bapanya, beliau berkata: “Datuk saya, Majd al-Din Abu al-Barakat, ketika masuk ke tandas, dia akan berkata kepadaku: “Bacalah buku ini dan kuatkanlah suaramu agar aku boleh mendengar bacaan kamu.”
Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Ini menunjukkan keinginan beliau yang kuat dalam mencari ilmu, meraihnya, dan menjaga waktunya.(Lihat Qimah al-Zaman ‘inda al-Ulama’, hlm. 68; Raudhah al-Muhibbin, hlm. 70)
Imam Abu Hatim al-Razi dan anaknya Abd al-Rahman yang mana Abd al-Rahman ditanya tentang seberapa banyak beliau mendengarkan hadith daripada bapanya, dan seberapa banyak beliau bertanya kepada bapanya tentang hadith-hadith dan para perawinya. Beliau menjawab:
“Ayahku ketika makan, aku bacakan hadith padanya, ketika berjalan aku bacakan padanya, ketika masuk ke tandas, aku bacakan padanya, bahkan ketika masuk ke dalam rumah untuk mencari sesuatu, aku bacakan padanya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 13/251).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin ketika ditanya soalan sebegini berkata: Tidak ada masalah dalam hal ini, seseorang itu dibolehkan untuk meletakkan alat perakam suara atau alat untuk mendengar audio di luar bilik air sambil mendengarkannya. Dikatakan bahwa seorang ulama terkenal, iaitu Datuk kepada Ibnu Taimiyah pernah memerintahkan seseorang untuk membacakan padanya dengan suara yang kuat ketika beliau berada di dalam tandas sebagai cara untuk menghargai waktu. Namun, hal ini merupakan hal yang jarang terjadi kerana bukan dalam sangkaan aku bahawa semua ulama melakukannya perkara tersebut secara berterusan. Kemungkinan mereka melakukannya jika mereka ingin mempelajari atau memeriksa dan mentahqiq suatu masalah tertentu. Meskipun begitu, dalam hal ini aku mengatakan bahawa hal ini dibolehkan, namun lebih baik untuk tidak melakukannya. Mengapa? Kerana jika seseorang itu mendengar hadith atau perbincangan yang menarik perhatiannya, dia mungkin akan memanjangkan waktu duduk di dalam tandas disebabkan oleh tertariknya dia dengan apa yang dia dengar. Mungkin dia akan duduk selama satu atau dua jam.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perbuatan masuk ke dalam bilik air sambil dengar ceramah agama menggunakan earphone bluetooth dalam keadaan telefon atau alat yang mengeluarkan suara itu berada di luar adalah tidak menjadi masalah, namun begitu, kami nasihatkan supaya perbuatan ini tidak dilakukan secara berterusan. Hal ini kerana sepatutnya perbuatan mendengar ilmu yang bermanfaat itu seharusnya dilakukan dalam keadaan yang lebih selesa berbanding dengan mendengarnya di dalam tandas.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H