#1744: Garis Panduan Bagi Mengelakkan Wanita Bertabarruj

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak tanya berkenaan dengan wanita bertabarrujj pada masa kini. Apa garis panduan untuk mengetahui yang kita ni tak tergolong dengan berfesyen secara berlebih lebihan. Dari segi pakaian, style tudung? Make-up atau macam mana? Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan yang bukan mahramnya adalah satu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini adalah berdasarkan firman-Nya:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa wajibnya menutup aurat dari pandangan manusia adalah ijma’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/119)

Dalil wajibnya menurut aurat daripada pandangan yang bukan mahram juga dapat difahami daripada firman Allah SWT:

قُل لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur: 30-31)

Syeikh al-Sa’di menafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 566)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا. وَأَشَار إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.

Riwayat Abu Dawud (4104). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud menyatakan hadith ini bertaraf Hasan li Ghairih.

Imam al-Nawawi berkata: Aurat wanita Muslimah juga disepakati oleh ulama Syafi’iyah adalah seluruh badan kecuali wajah dan kedua telapak tangan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/122; Minhaj al-Talibin, 1/188).

Tabarruj (Hiasan) Bagi Wanita

Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.

Di antara hak seorang wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya. Firman Allah SWT :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”

(Surah al-A’raf : 32)

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)

Selain itu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian juga bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)

Firman Allah SWT :

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

(Surah al-Ahzab : 33)

Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki adalah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6)

Begitu juga, Imam al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) lelaki. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320 )

Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarruj sebagaimana yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan : 

“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)

Maka, kita ketahui bahawa perbuatan bertabarruj itu adalah merupakan kebiasaan wanita jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. Adapun, memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi, maka ia tidak mengapa.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan kepada persoalan di atas, kami simpulkan berkenaan garis panduan  bagi mengelakkan seorang wanita itu tergolong dengan tabarruj berfesyen secara berlebih lebihan kepada beberapa poin:

  • Pakaian wanita tersebut menutup aurat, tidak ketak, tidak menyerupai pakaian orang kafir.
  • Pakaian wanita tersebut tidak pelik daripada adat dan masyarakat sehingga menarik perhatian orang lain. Pakaian jenis ini disebut sebagai syuhrah. Maksud pakaian syuhrah  ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya  atau bentuknya yang mampu untuk meraih pandangan manusia lain untuk melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai. (Lihat Nail al-Autar, 2/131)
  • Tidak mengapa bagi seorang wanita itu untuk memakai alat-alat solek yang lain semasa berada di luar rumah dengan syarat tidak berlebihan dan memakai sekadar keperluannya sahaja serta tidak bertabarruj. Selain itu, perkara tersebut harus selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Lebih-lebih lagi, apabila dia memakai alat-alat solek atau seumpamanya itu dengan sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi. Hal ini kerana Islam sangat mengambil berat soal kekemasan, kebersihan dan kecantikkan.
  • Seorang wanita muslimah itu dibolehkan untuk bertabarruj dan berlebihan dalam berhias hanya kepada suaminya sahaja dan tidak boleh kepada selainnya.  

Kami akhiri dengan kata-kata Sayyid Qutb sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana: “Perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semulajadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semulajadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain darinya (suaminya).” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H