#1745: Ganti Puasa Kerana Kesilapan Memeriksa dan Mengira Kiraan Haid

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. Saya baru tahu tentang cara pengiraan haid yang betul dah cara untuk cek darah berhenti selepas Ramadhan hari itu. Jadi, saya ingin bertanya, adakah saya perlu mengganti puasa saya sebab saya merasakan saya tersilap kira hari haid saya dan mandi wajib terlalu awal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Dan puasa itu tidak diwajibkan melainkan ke atas orang yang berkemampuan, sihat dan bermukim, adapun bagi orang bermusafir dan sakit yang kuat yang mana sekiranya mereka berpuasa boleh mendatangkan kesusahan, maka harus baginya untuk berbuka, dan ke atas mereka untuk mengganti puasa (yang telah ditinggalkan) pada waktu lain, kerana sakit dan musafir yang jauh perjalanan itu boleh mendatangkan kesusahan dan kesusahan itu boleh membawa kemudahan ”. (Lihat Tafsir al-Munir, 2/133).

Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali/warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menceritakan:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ:‏ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ‏.‏ قَالَ: نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Baginda SAW menjawab: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1184)

Imam al-Munawi berkata: “Hak Allah yang mesti bagi kamu terdiri daripada perkara yang fardhu dan lainnya. Maka Allah lebih berhak kita tunaikan termasuk masalah iman, taat dan menunaikan kewajipan.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/70)

Ganti Puasa Kerana Kesilapan Memeriksa dan Mengira Tempoh Haid

Berdasarkan persoalan di atas, atas kesilapan saudari mengira dan memeriksa haid, maka saudari perlu menggantikan puasa saudari kerana telah meninggalkan kewajipan saudari.  Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah SWT jadikan bagi wanita sebagaimana hadith riwayat Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).” 

Riwayat Muslim (335)

Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Ashab kami (ulama Syafi’iyyah) berkata bahawa setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaat solat sunat tawaf.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/26)

Walaupun begitu, alangkah baiknya jika saudari atau puan yang dapat membezakan waktu yang dianggap sebagai tersilap untuk diqadha’kannya kerana ia berasaskan kaedah:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H