#1749: Berkahwin dengan Anak Perempuan Tiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seorang lelaki yang bernikah dengan seorang wanita. Tidak lama kemudian, mereka bercerai. Lalu kemudian lelaki itu ingin bernikah pula dengan anak kepada wanita yang telah dicerainya itu (yakni anak tirinya)? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kita dapat fahami bahawa status anak perempuan dengan si lelaki itu ialah anak tirinya.

Justeru, kami nyatakan bahawa diharamkan secara ta’bid (selama-lamanya) ke atas seorang lelaki untuk berkahwin dengan anak perempuan tirinya, jika dia sudah menyetubuhi isterinya. Pengharaman ini tetap berlaku sekalipun isteri berkenaan sudah meninggal dunia atau diceraikan.

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan (diharamkankan juga berkahwin dengan) anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).”

(Surah al-Nisa’: 23)

Ibn Kathir berkata: Yang dimaksud dengan ‘الرَّبِيْبَةُ’ adalah anak tiri perempuan. Dia tidak menjadi mahram bagi seseorang, kecuali setelah dia (bapanya) bersetubuh dengan ibu daripada anak perempuan tersebut. Dan jika dia menceraikan ibu daripada anak tiri perempuan itu sebelum bersetubuh dengannya, maka dia boleh menikahi anak perempuan si ibu tersebut. Daripada sini, muncul kaedah, “Persetubuhan yang telah dilakukan terhadap para wanita, menjadikan mahram terhadap anak-anak perempuannya.”

Oleh itu, ayat di atas menjadi ketetapan mengenai kemahraman anak tiri, apabila seseorang telah bersetubuh dengan ibu anak tiri tersebut. Sebagai firman Allah SWT, ‘مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ’ (dari isteri-isteri yang kamu telah campuri). Ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa jika seseorang belum menyetubuhi wanita, maka anak perempuan wanita tadi tidak menjadi mahram baginya. Dengan kata lain, tidak ada larangan dan tidak berdosa ketika seseorang menikahi anak tirinya itu.

Menurut jumhur ulama’, anak tiri perempuan itu tidak menjadi mahram bagi seorang lelaki hanya kerana melakukan akad nikah dengan ibu anak itu. Berlakunya kemahraman itu kerana adanya persetubuhan dengan ibunya. Berbeza halnya dengan si ibu. Sesungguhnya dia secara langsung menjadi mahram bagi lelaki tadi setelah lelaki itu melakukan akad nikah dengan anak perempuannya, meskipun belum bersetubuh dengannya. Demikianlah menurut empat ulama mazhab, tujuh ahli fiqh (fuqaha’ al-sab’ah) dan majoriti ahli fiqh sama ada dahulu mahupun sekarang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/241)

Selain itu, kaedah menyebut:

العَقْدُ عَلَى الْبَنَاتِ يَحْرُمُ الأُمَّهَاتِ وَالدُّخُولُ بالأُمَّهَاتِ يَحْرُمُ الْبَنَاتِ

Maksudnya: “Akad (nikah) dengan anak-anak perempuan mengharamkan ibu-ibu. Dan bersetubuh dengan ibu-ibu mengharamkan anak-anak perempuan.”

Maka berdasarkan hal di atas, dapat difahami bahawa diharamkan secara ta’bid (selama-lamanya) ke atas seorang lelaki untuk berkahwin dengan anak perempuan tirinya, jika dia sudah menyetubuhi ibu anak perempuan tersebut. Namun, jika dia belum bersetubuh dengan ibunya, maka dia boleh menikahi anak perempuan tirinya itu.

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H