#1754: Lafaz Talak Kerana Terpaksa

Soalan :

Assalamualaikum. Adakah jatuh talak saya selepas saya dipaksa untuk menceraikannya. Untuk memuaskan hatinya, saya menyatakan untuk melepaskannya dan saya akan melepaskannya nanti dan memberitahu padanya supaya anggap saya dah lepaskannya sekiranya dia ingin kemana-mana.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala.Sabda Nabi Muhammad SAW :

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) 

 

Menjawab persoalan di atas,kami nyatakan kayu ukur sekiranya seseorang itu betul-betul berada dalam paksaan :

  1. Orang yang memaksa mempunyai kekuatan dan mampu menguasai orang yang dipaksa
  2. Merasa terancam sekiranya permintaan tidak dipenuhi dan dalam  masa yang sama tidak mampu untuk melawan atau melarikan diri.
  3. Memudaratkan orang yang dipaksa dengan ancaman bunuh, penderaan, merampas harta dan sebagainya.

Kami dapat menyatakan bahawa tidak jatuh talak sekiranya seseorang itu dipaksa sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT :

إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: “Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.”

(Surah al-Nahl: 106)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : “ayat ini menunjukkan bahawa perkataan yang diucapkan dengan terpaksa dalam talak tidak dikira  dan tidak ada hukum syarak yang dikenakan kepada orang yang dipaksa.Jika seseorang tidak dihukum kerana perkataan kufur yang diucapkan dengan terpaksa, maka pada perkara yang lain juga tidak akan dikenakan hukuman”. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.450).Ini juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengampuni kesalahan umatku: Kelupaan mereka dan perbuatan yang dilakukan kerana paksaan.”

Riwayat Ibn Majah (2035)

Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Syafi’e, dan Hanbali.

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan : tidak jatuh talak kerana dipaksa. Talak jika diucapkan beserta dengan niat dan pilihannya sendiri maka jatuhlah talak ke atasnya dan jika seseorang melafazkannya kerana terpaksa maka ia tidak dikira dan talak tersebut terbatal.(Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 4/470)

Perceraian terjadi dari setiap orang yang baligh, berakal dan kerana pilihan sendiri.Tidak terjadinya penceraian dari orang yang dipaksa, orang yang mabuk yang tidak menyadari apa yang dikatakannya, atau orang yang marah yang tidak tahu apa yang dikatakannya. Selain itu, Perceraian juga tidak terjadi dari orang yang salah, lalai, lupa, gila, dan sejenisnya.” (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah, 3/111)

Kami katakan dipaksa dibahagi kepada dua; pertama, ikrah mulji’ (الْإِكْرَاهُ الْمُلْجِئ) dan ikrah ghairu mulji’ (الْإِكْرَاهُ غَيْر الْمُلْجِئ). Jika sekiranya ikrah hanya biasa-biasa, maka tidak boleh dia menceraikan isteri. Tetapi jika ikrah membawa kepada ancaman nyawa dan badan, dan berat, maka itu baru dikira.

Dalam kes ini ia bergantung kepada keadaan suami. Sekiranya suami melafazkan dalam keadaan terancam yang membahayakan nyawa atau anggotanya dan dalam keadaan terpaksa, maka hukum talak tersebut tidak terjatuh dan sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat seorang itu dikira sebagai orang yang dipaksa maka ia berbalik kepada lafaz dan niat suami.

Kami berpandangan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah  satu usaha untuk membuktikan adakah telah jatuh talak ataupun tidak.

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H