Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, sekolah anak saya baru-baru ini ada membuat aktiviti senaman aerobik. Pihak sekolah memasang lagu Cupid oleh kumpulan penyanyi dari Korea, Fifty Fifty. Mohon pandangan, adakah boleh sebenarnya menyanyikan lagu sebegini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Inisiatif pihak sekolah untuk mengadakan aktiviti senaman di sekolah sangatlah baik. Hal ini kerana syara‘ sangat mengutamakan sudut kesihatan bagi orang islam, oleh itu terdapat banyak dalil yang menekankan tentang kesihatan
Antaranya galakan untuk menjaga kebersihkan diri kerana ia menjurus kepada kesihatan fizikal. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: “Dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
(Surah al-Taubah: 108)
Kesihatan fizikal juga boleh dikecapi jika seseorang itu berada dalam keadaan sihat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
المؤْمِنُ القَوِيُّ، خَيْرٌ وأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Maksudnya: “Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.”
Riwayat Muslim (2664) dan Ibn Majah (79)
Senaman Aerobik Diiringi Lagu
Senaman aerobik menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka merujuk kepada senaman yang penuh bertenaga berbentuk tarian bertujuan meningkatkan bekalan oksigen dalam darah serta memperkuat jantung dan paru-paru, dan ia kebiasaannya diiringi dengan muzik yang rancak.
Hukum asal bagi senaman yang berbentuk tarian adalah dibolehkan kerana tidak ada dalil syara‘ yang melarangnya. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الإِنْسَانِ وَتَصَرُّفَاتِهِ الحُرِّيَّةُ وَالْإِبَاحَةُ
Maksudnya: “Asal pada manusia dan tingkah lakunya ialah kebebasan dan keharusan”.
(Lihat Ma‘lamah Zayid, 3/165)
Terdapat juga kaedah lainnya menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”
(Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm.60)
Akan tetapi, keharusan tersebut boleh berubah kepada haram sekiranya terdapat perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘ seperti memakai pakaian yang ketat, percampuran antara lelaki dan perempuan, atau menyebabkan seseorang itu lalai.
Pakaian yang ketat pada hakikatnya tidaklah menutup aurat, ini berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang, Baginda bersabda:
وَنِسَاءٌ كَاسِياتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ
Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.”
Riwayat Muslim (2128)
Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni ketika menafsirkan maksud (كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ) dalam hadith di atas berkata:
كَاسِيَاتٌ فِي الصُّورَةِ عَارِيَاتٌ فِي الحَقِيقَةِ، لِأَنَّهُنَّ يَلْبَسْنَ مَلَابِسَ لَا تَسْتُرُ جَسَدًا، وَلَا تُخْفِي عَوْرَةً، وَالغَرَضُ مِنَ اللِّبَاسِ السِّتْرُ، فَإِذَا لَمْ يَسْتُرُ اللِّبَاسُ كَانَ صَاحِبُهُ عَارِيًا
Maksudnya: “Kelihatan berpakaian namun hakikatnya bertelanjang, kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi (bentuk) badan dan menyembunyikan aurat. Sedangkan tujuan berpakaian adalah menutupi (aurat), jika sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang.”
(Lihat Tafsir Rawai‘ al-Bayan, 2/385)
Manakala percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah jelas ditegah kerana ia boleh mebawa kepada zina. Allah SWT melarang daripada mendekati zina seperti di dalam firman-Nya:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Sekiranya senaman aerobik tersebut diiringi lagu, perlu diteliti terlebih dahulu isi kandungan lagu tersebut.
Antara keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 berkenaan lagu adalah:
- Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
- Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram.
- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
Memahami kandungan lagu tersebut terlebih dahulu adalah penting bagi memastikan tiada sebarang unsur lucah, khurafat, syirik, megarut dan tidak ada akhlak. Sekiranya terdapat unsur-unsur yang disebutkan, maka hukumnya adalah haram.
Wallahua‘lam
Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H