#1757: Mencuri untuk Bersedekah dan Melakukan Kebaikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mencuri harta untuk diberikan kepada orang miskin yang memerlukan, atau untuk melakukan sumbangan kebaikan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‏ وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 42)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: “Maksudnya adalah, janganlah kamu semua mencampur adukkan antara kebenaran dan kebatilan, serta kejujuran dan kebohongan.” Abu al-‘Aliyah berkata: “Janganlah mencampur adukkan kebenaran dan kebatilan, dan lakukanlah kebaikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/125)

Hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا

Maksudnya: “Bahawa Allah itu baik (bersih), tidak menerima melainkan yang baik (bersih).”

Riwayat Muslim (1015) dan al-Tirmizi (2989)

Lafaz Tayyib dalam hadith ini  bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535)

Dalam menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh melakukan amalan ibadah dengan jalan-jalan yang haram, kerana ia bertentangan sama sekali. Tujuan yang baik tidak dapat menghalalkan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah SWT.

Selain itu, dalam melakukan kebaikan juga, hendaklah dilakukan dengan menggunakan cara yang baik juga. Hal ini bertepatan dengan kaedah mengenai tujuan (al-maqasid) dan kaedah untuk mencapainya (wasilah), yang menyebut:

الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام الْمَقَاصِد

Maksudnya: “Wasilah-wasilah itu mengambil hukum-hakam maqasid.”

Maka ini membawa erti, suatu wasilah yang membawa kepada perkara-perkara yang diperintahkan maka ia juga dalam masa yang sama turut diperintahkan. Manakala wasilah yang membawa kepada perkara-perkara yang dilarang, ia juga turut dilarang.

Syeikh Muhammad bin Husin al-Jizani menukilkan dari Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di yang menyebut: “Wasilah-wasilah itu mengikut hukum bagi maqasid. Maka sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib. Manakala perkara sunat yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu, maka perkara tersebut juga menjadi sunat. Jalan-jalan yang membawa kepada perkara yang haram dan makruh mengikut hukum yang sama. Dan wasilah kepada perkara yang mubah (harus) maka hukumnya adalah harus.” (Lihat Ma’alim Usul al-Fiqh oleh Syeikh Muhammad bin Husin Al-Jizani, hlm. 297)

Justeru, dalam memperoleh satu tujuan yang baik, maka umat Islam tidak dibolehkan untuk menggunakan cara yang tidak baik. Hal ini termasuk perbuatan mencuri untuk diberikan sebagai sedekah, atau melakukan untuk kebaikan-kebaikan yang lain hasil daripada mencuri itu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H