Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Semoga Allah kurniakan rahmat-Nya ke atas Datuk sekeluarga. Saya ada soalan mengenai claim. Dalam syarikat saya bekerja, antara benefit yang ditawarkan adalah kos bersalin. Syarikat isteri saya bekerja juga menawarkan benefit kos bersalin. Soalan saya, contoh jika kos bersalin RM 5000. Boleh kah saya claim syarikat saya RM 5000 dan isteri saya claim syarikat dia RM 5000?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”
(Surah al-Nisa’: 29)
Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa kesatuan umat Islam serta saling bertanggungjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting. Umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Dalam menjawab persoalan di atas, perlu dilihat terlebih dahulu keadaan terma yang sebenar. Adakah di dalam terma itu menyebut bahawa jika seseorang telah claim di sini, maka tidak boleh claim lagi di tempat lain? Maka, jika wujud terma sebegitu, maka perbuatan tersebut adalah tidak dibolehkan.
Sekiranya tiada terma sebegitu, maka kami katakan ia adalah dibolehkan. Dalam situasi kos yang disebut di atas, memang betul bayaran yang dibuat adalah RM 5000 untuk kos bersalin. Namun, jika diteliti, akan terdapat juga kos-kos lain yang turut terlibat yang tidak dikira seperti kos pengangkutan dan sebagainya.
Seterusnya, perlu juga dilihat, apakah jenis claim tersebut. Adakah ia sebagai satu hadiah. Maka jika ia sebagai hadiah, maka tidak ada masalah untuk mengambilnya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H