#1762: Ibu Bapa Mengongkong Hidup Anak

Soalan:

Apa hukum jika seseorang yang telah dewasa dan sempurna akalnya. Namun, mempunyai ibu bapa yang mengongkong anaknya dengan tidak mengizinkan anaknya keluar rumah/melancong walaupun anak sudah dewasa untuk melakukan perkara tersebut. Adakah derhaka anak tersebut jika dia mengingkari kongkongan itu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan secara asasnya jika sekiranya arahan ibubapa itu bukan ke arah maksiat/ menyuruh melakukan sesuatu yang diharamkan oleh syarak, maka wajib sebagai anak kita mengikutinya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

Surah Luqman (15)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, jika kedua orang tuamu memaksa kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/402)

 

Justeru itu, di sini kami kemukakan nasihat buat si anak dan juga kepada kedua ibu bapanya: 

Nasihat Buat si Anak 

Sebagaimana kita ketahui, sebagai anak wajib untuk kita mentaati ibu bapa selagi mana perkara itu bukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT misalnya menyuruh tinggal solat, puasa, mencuri, murtad, minum arak dan seumpamanya. Maka ketika itu, anak boleh membantah atau mengingkari arahan ibu bapanya sebagai mana yang disebutkan dalam ayat di atas.

Namun, dalam isu ini, kami berpandangan jika sekiranya kongkongan tersebut disebabkan ibu bapa saudara khuatir akan perkara-perkara buruk yang berlaku seperti pergaulan bebas, terjebak perkara yang kurang baik (arak, dadah dan seumpama) dan sebagainya, maka sebaiknya kita sebagai anak mentaati mereka. Meskipun begitu, tidak kami nafikan sebagai seorang manusia, sudah pasti mahukan kebebasan untuk mengenali dunia luar, bersosial dengan masyarakat, mencari ilmu, mengembara untuk mendapatkan ilham dan seumpamanya. Oleh itu, kami sarankan cuba berbincang dengan ibu bapa saudara dengan baik dan terangkan kepadanya satu persatu agar mereka memahami hasrat saudara. Firman Allah SWT:


وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Surah al-Isra’ (23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

 

Nasihat kepada ibu bapa

Sebagai ibu bapa, sudah pasti kita mahu yang terbaik buat si anak. Anak-anak merupakan anugerah oleh Allah SWT kepada pasangan yang dikehendakiNya. Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

Surah al-Syura (49)

Membaca sirah dan sejarah salafussoleh bagaimana anak-anak mereka dilatih untuk menjadi pemberani dan sanggup menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi. Justeru, tidak hairan anak-anak mereka merantau ke negeri yang jauh dalam menuntut ilmu atau mencari pekerjaan. Tradisi seperti ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Dan inilah, yang menghasilkan nilai tambah kepada anak dalam mengenali erti sebuah kehidupan. Akhirnya, merekalah yang layak digelar fata iaitu pemuda yang hakiki. Benarlah kata pujangga, di mana dikatakan al-Hajjaj bersyair:

كُنِ ابنَ مَنْ شِئْتَ وَاكْتَسِب أَدَبًا يُغنيكَ مَحْمُودُهُ عَنِ النَّسَبِ

إِنَّ الْفَتَى مَنْ يَقُولُ هَا أَنَا ذَا لَيْسَ الفَتَى منْ يَقُولُ كَانَ أَبِي

Jadilah anak siapa yang kamu suka dan berakhlaklah,

Kepujiannya melepaskanmu dari mulia nasab,

Orang muda itu adalah yang mengucapkan, ‘ini adalah aku’,

Bukanlah orang muda itu yang mengucapkan, ‘Ini adalah ayah aku’..”

(Lihat Masyariq al-Anwar, 4/347)

Justeru, wahai ibu bapa, latihlah anak-anak agar berani untuk berdikari dan memahami erti sebuah kehidupan, asam garamnya, dan tipu daya serta muslihatnya. Apabila mereka keluar dari rumah amka pengalaman dan khibrah sebuah kehidupan akan mereka kuasai walaupun pada peringkat awal mungkin mereka dibuli, ditipu dan dilemahkan kerana belum mengenali lagi sepak terajang sebuah kehidupan. 

Sikap ibu bapa yang ingingkan anak-anak berjaya dalam kehidupan sewajarnya menggalakkannya untuk mencari sebanyak mungkin pengalaman, pengetahuan, dan tajribah al-Hayah. Ini amat berguna untuknya pada usianya yang mendatang. 

Apabila kita lihat anak kita melakukan sesuatu perkara yang kurang baik, pastinya kita akan menegurnya. Namun demikian, apabila anak sudah dewasa, sebaiknya kita melayani mereka sepertimana orang dewasa. Berikan mereka kebebasan selagi mana ia tidak melanggar syarak, untuk melayari liku-liku kehidupan ini, agar mereka mempelajarinya dan memperolehi pengalaman. Sebagaimana kata Saidina Umar R.A:

لَاعِبْ ابْنَكَ سَبْعًا وَأَدِّبْهُ سَبْعًا وَآخِهُ سَبْعًا ثُمَّ أَلْقِ حَبْلَهُ عَلَى غَارِبِهِ

Maksudnya: “Bermainlah dengan anak kamu pada 7 tahun (pertama), dan didiklah mereka adab pada 7 tahun (kedua), dan jadilah sahabat mereka pada 7 tahun (ketiga). Kemudian lepaskanlah kekangannya (biarkan dia bebas membuat pilihan sendiri).”

Akhir kalam, semoga Allah SWT permudahkan urusan saudara dan melembutkan hati ibu bapa saudara. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H