#1763: Mengucap Selamat Hari Raya Kepada Bukan Islam

Soalan :

Assalamualaikum YB Datuk, bagaimanakah caranya jika saya ingin mengucapkan ucapan raya kepada rakan-rakan saya yang bukan beragama islam? Terima kasih Datuk.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya’: 107)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan :Nabi Muhammad SAW  merupakan rahmat yang khusus bagi orang-orang yang beriman. Ibnu Abbas berkata: Ini adalah rahmat yang umum bagi orang yang beriman dan tidak beriman.Bagi orang-orang yang beriman ia merupakan rahmat bagi mereka di dunia dan di akhirat.Manakala,bagi yang tidak beriman ia juga merupakan rahmat bagi mereka di dunia dengan menunda seksaan ke atas mereka.

Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan. Ini berdasarkan dengan dalil yang umum dan jelas:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 83)

Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/174)

Dalam masa yang sama, Islam juga mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: 

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. “

(Surah al-Nahl: 106)

Berbalik kepada persoalan di atas, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: 

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Nisa: 86)

Kesimpulan

Setelah meneliti pandangan para ulama kami berpandangan  dibolehkan mengucap selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Di sini kami sertakan keputusan Majlis fatwa Kebangsaan berkenaan dengan isu ini.

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal EhwalUgama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukanIslam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucap tersebut

Wallahua’lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H