Soalan :
Assalamualaikum Datuk Seri. Saya ingin bertanya berkenaan dengan ketidakpastian saya terhadap solat saya. Apabila sedang bersolat tiba-tiba saya terkucil tanpa saya sedar. Bagaimanakah keadaan solat saya atau apakah yang saya perlu lakukan pada ketika itu?
Jawapan :
Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.
Taharah (suci) terbahagi kepada dua : Suci daripada hadas dan suci daripada najis.Ia merupakan syarat sah solat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar bahawa nabi Muhammad SAW bersabda :
لَا تُقْبَلُ صَدَقَةٌ مِنْ غُلُولٍ وَلَا صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُور
Maksudnya: Allah SWT tidak menerima sedekah dari ghulul(mengambil harta rampasan perang sebelum dibahagikan) dan tidak menerima solat (seorang hamba yang dilakukan)tanpa bersuci.
Riwayat Ahmad (4728).Hadis ini dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad,7/148
Perkara yang membatalkan Solat
Perkara yang membatalkan solat adalah tidak suci daripada hadas seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya: Tidak diterima Allah SWT akan solat seseorang itu apabila ia berhadas sehingga ia berwuduk.
Riwayat al-Bukhari (6954)
Imam al-Nawawi menyatakan “Sesuatu yang keluar daripada qubul dan dubur adalah perkara yang membatalkan wuduk. Sama ada najis, kencing, angin, ulat, muntah darah batu-batu dan lain-lain dan ini tidak dibezakan antara jarang berlaku atau kebiasaannya. (Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 2/4)
Selain itu, perkara yang membatalkan solat adalah berhadas sebelum memberi salam yang pertama. Ini seperti yang diterangkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa tidak ada perbezaan sekiranya ia berhadas secara sengaja atau terlupa, ini kerana hilangnya salah satu daripada syarat solat iaitu bersuci daripada hadas sebelum sempurna daripada melakukan setiap rukun solat. Adapun sekiranya berhadas selepas memberi salam yang pertama sebelum salam yang kedua maka sah solatnya. Ini merupakan ijma’ para fuqha’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/169)
Di dalam perkara ini, Dr Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya di antaranya adalah: Meninggalkan salah satu daripada syarat solat. Seperti bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Apabila hilang salah satu daripada syarat ini maka batallah solatnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/333)
Begitu juga disyaratkan supaya suci badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu daripada segala najis. Firman Allah SWT:
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
(Surah Al-Muddatthir: 4)
Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat.(Lihat Taysir Al-Karim Al-Rahman Fi Tafsir Al-Kalam Al-Mannan, 2/132)
Imam Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa: Mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. (Mestilah juga suci) pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. Tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat.(Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:402)
Imam Al-Ramli menyebut jika seseorang itu solat dalam keadaan tubuh, pakaian atau tempat solatnya bernajis dan tidak mengetahuinya ketika permulaan solat kemudian setelah selesai baru dia tahu yang pada pakaian, tubuh atau tempatnya itu ada najis, maka dia wajib mengganti mengulangi semula solatnya menurut Al-Qaul Al-Jadid. Ini kerana bersuci adalah perkara yang wajib ianya tidak gugur dengan memberi alasan tidak tahu. Beliau menyebut lagi sekiranya dia tahu ada najis pada pakainnya kemudian terlupa maka wajib baginya untuk mengulangi semula solatnya disebabkan dia telah cuai untuk bersuci. (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj, 5/24).
Al-Khatib Al-Syarbini juga menyatakan bahawa sekiranya dia tahu pada pakaiannya ada najis, kemudian dia terlupa. Kemudian dia teringat sama ada semasa solat atau selepas, maka batal lah solatnya dan perlu diulangi semula. (Rujuk Mughni Al-Muhtaj Fi Ma’rifati Ma’ani Alfaz Al-Minhaj, 1/194).
Menjawab persoalan di atas kami nyatakan bahawa solat tersebut telah terbatal kerana hilangnya salah satu daripada syarat sah solat iaitu suci daripada hadas dan wajib di qadha kembali solat tersebut selepas mengatahuinya.Ini kerana Allah SWT tidak menerima solat seseorang itu melainkan ia dikerjakan dalam keadaan suci.Namun, sekiranya dia solat dalam keadaan dia tidak mengatahui dia berada dalam keadaan berhadas maka, tidaklah berdosa baginya.
Imam al-Nawawi menyatakan: Sama ada dia mengetahui hadasnya atau jahil (tidak tahu) atau terlupa tetapi jika dia menunaikan solat kerana dia tidak tahu dia berada di dalam keadaan berhadas, maka tidak ada dosa baginya. Sebaliknya, jika dia mengetahui bahawa dia berada di dalam keadaan hadas dan mengetahui larangan solat dalam keadaan berhadas, maka yang demikian dia telah melakukan dosa besar tetapi tidak sampai tahap orang yang kafir menurut pandangan kami (mazhab syafie), kecuali jika dia menyatakan bahawa hal itu diperbolehkan. Abu Hanifah menyatakan bahawa dia telah kufur kerana mempermainkan agama. (Lihat Majmu’ Syarah Muhazzab, m/s 79)
Marilah kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahua’lam.
Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H