#1767: Haiwan Betina Sebagai Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah haiwan betina dijadikan sebagai haiwan korban? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, disyaratkan pada haiwan korban untuk terdiri daripada jenis bahimah al-An‘am (binatang ternakan). Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.

(Surah al-Hajj: 34) 

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Selain daripada itu, Imam al-Baghawi juga ada menyatakan, lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama.  Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Selain itu, terdapat juga syarat-syarat lain yang perlu dititikberatkan dan diberi perhatian, agar korban yang dilakukan dikira sah. Ringkasnya, disyaratkan bagi haiwan korban tersebut tidak kurang daripada umur minimum, dan ia adalah berbeza-beza mengikut jenisnya. Bagi umur lembu yang hendak dijadikan sebagai korban disyaratkan tidak kurang daripada dua tahun dan telah masuk tahun ketiga. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481; al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Begitu juga binatang korban tersebut juga tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu, tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah diqiaskan kepada kempat-empat kecacatan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/234).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Syirazi menyebutkan bahawa boleh menjadikan haiwan jantan atau betina sebagai korban berdasarkan kepada riwayat daripada Ummu Kurz, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

عَنِ الْغُلَامِ شَاتَانِ، وَعَنِ الجَارِيَةِ شَاةٌ، لَا يَضُرُّكُمْ ذُكْرَانًا كُنَّ أَوْ إِنَاثًا

Maksudnya:Dua ekor kambing untuk anak laki-laki dan satu ekor untuk anak perempuan. Begitu juga tidak menjadi masalah bagi kamu, sama ada kambing tersebut jantan atau betina.

Riwayat Ahmad (27139) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (4530)

Sekiranya perkara tersebut dibolehkan dalam aqiqah berdasarkan hadith ini, maka ia juga dibolehkan dalam korban kerana daging haiwan jantan lebih baik (sedap) dan daging haiwan betina lebih lembap. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/433)

Tambahan pula, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi, para ulama telah menyatakan ijma‘ bahawa korban sah dilakukan dengan haiwan jantan dan haiwan betina. Namun, mereka berselisih pendapat tentang mana yang lebih baik. Pendapat yang sahih, yang dinaskan mengenainya oleh Imam al-Syafi‘i dalam (Mukhtasar) al-Buwaiti dan pendapat ini juga diputuskan oleh ramai ulama bahawa haiwan jantan lebih baik (afdhal) daripada haiwan betina (sebagai haiwan korban).

Selain itu, terdapat juga nas lain bagi Imam al-Syafi‘i yang menyatakan bahawa haiwan betina lebih baik (afdhal). Ada dalam kalangan ashab yang menyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i tidak bermaksud untuk mengutamakan haiwan betina dalam korban, tetapi beliau bermaksud untuk mengutamakan haiwan betina dalam membayar denda berburu (جَزَاءُ الصَّيْدِ) jika dia mahu menilainya bagi mengeluarkan makanan kerana haiwan betina lebih banyak. Ada juga dalam kalangan mereka (para ashab) yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan ialah haiwan betina yang belum lagi melahirkan anak lebih baik daripada haiwan jantan yang banyak mengeluarkan mani (bagi mengawan). Namun, jika di sana terdapatnya haiwan jantan yang belum lagi mengeluarkan mani (bagi mengawan) dan haiwan betina yang belum lagi melahirkan anak, maka haiwan jantan tersebut adalah lebih baik (untuk dijadikan sebagai korban) berbanding haiwan betina itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/397).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sah korban yang dilakukan sama ada dengan haiwan jantan mahupun betina, apabila ia memenuhi syarat-syarat sebagai haiwan korban iaitu terdiri daripada bahimah al-an‘am (haiwan ternakan), selamat daripada kecacatan atau aib yang mengurangkan dagingnya, dan cukup umurnya sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 23 Zulkaedah 1444H