#1768: Memberitahu Aib Sebelum Berkahwin

Soalan:

Assalamualaikum, adakah dibolehkan untuk memberitahu aib yang berkaitan dengan tujuan nikah sebelum meneruskan pernikahan? Contohnya, penyakit keturunan, keadaan nafsu syahwat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.”

 Riwayat Muslim (3386)

Imam al-Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadith yang dikemukakan di atas. Hadith tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/154)

Hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- « أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا ». قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِى أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا ».

Maksudnya: “Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak menarik hatimu.”

Riwayat Muslim (3550)

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:

انْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا

Maksudnya: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”

Riwayat al-Tirmizi (1087)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Humaid al-Sa’idi RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا إِذَا كَانَ إِنَّمَا يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِخِطْبَتِهِ وَإِنْ كَانَتْ لَا تَعْلَمُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.”

Riwayat Ahmad  (23602)

Seorang perempuan juga berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas perkahwinan. Hal ini adalah kerana perempuan juga tertarik hati dengan lelaki, sepertimana lelaki tertarik hati dengan perempuan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/529)

Berdasarkan nas di atas, wujudnya pemerhatian khas kepada bakal pengantin sama ada lelaki atau wanita dengan pelbagai tujuan. Antaranya, keserasian, kebaikan, atau kekurangan yang sudah dimaklumi terlebih dahulu sebelum berlakunya akad nikah tanpa adanya perasaan ditipu. 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan memberitahu aib/ kekurangan kepada pasangan sebelum meneruskan pernikahan adalah suatu perkara yang sewajarnya. Hal ini kerana dengan cara itu, ia dapat mengelakkan konflik rumahtangga setelah bernikah. Perkara akan menjadi lebih rumit apabila aib tersebut diketahui selepas nikah, kerana si isteri boleh meminta fasakh di Mahkamah, sepertimana di bawah Seksyen 52 (Lihat Akta Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984). Oleh sebab itu, dengan cara ini sedikit sebanyak ia boleh memelihara keharmonian rumahtangga dan bakal isteri akan lebih memahami kerana bakal suaminya sudah menceritakan perkara yang sebenar.

Berkenaan isu perkahwinan juga, saudara boleh merujuk ke artikel berikut untuk maklumat lanjut: #1535: Perkahwinan atau Ibadah Haji?[1]

Kami juga ingin menyeru agar memperbanyakkan doa-doa yang baik, dan salah satu doa yang boleh kita amalkan bersama, agar dikurniakan pasangan yang baik ialah seperti yang diajarkan al-Quran:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.  

[1] https://maktabahalbakri.com/1535-perkahwinan-atau-ibadah-haji/     

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H