#1769: Golongan Yang Dapat Memberi Syafaat

Soalan :

Boleh Dato Dr Zul memberi penghuraian ringkas berkenaan syafa’at dan siapakah yang layak memberi syafaa’t untuk pemahaman masyarakat umum?

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Definisi Syafaa’t

Syafaa’t dari sudut bahasa adalah lawan bagi witir iaitu menjadikan sesuatu yang ganjil kepada genap. Manakala dari sudut istilah pula adalah menjadi perantara bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolak mudharat iaitu pemberi syafaa’t akan memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaa’t atau menolak mudharat untuknya. Dalam erti kata lain, syafaa’t juga bermaksud memohon perlindungan bagi orang lain. (Lihat, Mukhtasar al-fiqh al-Islami, 1/767)

Pembahagian Syafaa’t

Syafaa’t pada hari Kiamat terbahagi kepada dua secara umumnya:

  • Syafaa’t khusus

Syafaa’t khusus yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia termasuk syafaa’t al-‘Uzhma (terbesar) yang terjadi pada hari Kiamat kelak. Hal ini, dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.

(Surah al-Isra’:79)

  • Syafaa’t umum

Allah mengizinkan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh untuk memberikan syafaa’t kepada orang-orang yang diperkenankan untuk diberikan syafaa’t. Syafaa’t ini diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, nabi-nabi yang lain, orang-orang yang jujur, para syuhada’ serta orang-orang soleh. Contohnya mereka akan memberikan syafaa’t kepada penghuni Neraka daripada kalangan orang-orang beriman agar mereka keluar dari Neraka.

Kembali kepada persoalan di atas golongan yang dapat memberi syafaa’t adalah seperti berikut :

  1. Para Nabi dan Solihin

Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din : “Ketahuilah bahawa jika benar ada golongan mukmin yang akan masuk neraka, maka Allah Taala dengan keutamaan-Nya menerima syafaa’t para nabi dan orang-orang yang soleh, bahkan syafaa’t ulama dan orang-orang yang berbakti serta semua yang memiliki kedudukan dan perlakuan baik di sisi Allah Taala, maka mereka akan memiliki syafaa’t terhadap keluarga, sanak saudara, teman-teman, dan kenalan mereka.(Lihat Ihya Ulum al-Din,4/526)

Syafaa’t Nabi Muhammad SAW

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

Maksudnya: “Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaa’t dan dibenarkan  memberi syafaa’t.” 

Riwayat Muslim (2278)

Imam al-Nawawi mengatakan hadith ini menunjukkan bahawa kelebihan atau kemuliaan Nabi SAW berbanding makhluk-makhluk yang lain. Ini kerana, mengikut mazhab ahli sunnah anak-anak Adam lebih mulia daripada malaikat dan Nabi SAW adalah yang paling mulia di antara anak-anak Adam yang lain dan juga selain daripada anak Adam. [Lihat: al-Minhaj: 38/15]

  1.   Hafiz al-Quran

Daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا ، فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ ؟ فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا ، فَهُوَ فِي صُعُودٍ ، مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al_Qur’an)”.

Riwayat Ahmad, 38/42, no. Hadith 22950] al-Hafiz Ibn Hajar menilai hadith ini sebagai hasan dalam al-Mathalib al-‘Aliyah, 14/324

  1. Anak-anak yang meninggal pada usia Kecil

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada salah seorang wanita ansar :

لَا يَمُوتُ لِإِحْدَاكُنَّ ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ فَتَحْتَسِبَهُ، إِلَّا دَخَلَتِ الْجَنَّةَ» فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: أَوِ اثْنَيْنِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: أَوِ اثْنَيْنِ

Maksudnya: “Tidaklah ada daripada kamu seorang perempuan yang mati tiga orang anaknya, maka kamu mengharapkan keampunan ke atas anaknya serta menghadapinya dengan sabar. Demikian itu, kamu akan memasuki syurga. Seorang perempuan telah bertanya “ sekiranya dua orang ?” sabda Rasulullah SAW lagi: “walaupun 2 orang”. 

Riwayat Muslim (151)

Berdasarkan ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang diberikan, ini menunujukkan bahawa kanak-kanak yang meninggal sebelum baligh mampu memberi syafaa’t kepada kedua ibubapanya tetapi apa yang kita perlu faham bahawa Allah SWT mampu memberi syafaa’t kepada siapa yang Dia kehendaki.

  1. Orang Yang Mati Syahid 

للشَّهيدِ عندَ اللهِ ستُّ خصالٍ يُغفَرُ لَهُ في أوَّلِ دَفعةٍ من دمِهِ، ويَرى مقعدَهُ منَ الجنَّةِ، ويُجارُ من عذابِ القبرِ، ويأمنُ منَ الفزعِ الأَكْبرِ، ويُحلّى حُلَّةَ الإيمانِ، ويزوَّجُ منَ الحورِ العينِ ويُشفَّعُ في سبعينَ إنسانًا من أقاربِهِ

Maksudnya: “Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya didalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar dan merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya”.

Riwayat Tarmizi (1663)

  1.                 Al-Quran

kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaa’t ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaa’t kepada sesiapa yang membacanya.

Riwayat Muslim (804)

Al-Nawawi menyatakan bahawa pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan menjadikan pahala Al-Quran ini sebagai sesuatu yang berdiri sendiri dan akan datang sebagai syafaa’t bagi para pembacanya. Ia akan menolong mereka di hadapan Allah swt.(Lihat Syarh Riyadh al-Solihin,4/637)

Syafaa’t tidak akan berlaku kecuali dengan tiga syarat:

  1. Allah SWT mengizinkan kepada pemberi syafaa’t untuk memberi syafaa’t
  2. Allah meredhai pemberi syafaa’t
  3. Allah meredhai orang yang mendapat syafaa’t tersebut.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمَاوَاتِ لَا تُغْنِي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا إِلَّا مِن بَعْدِ أَن يَأْذَنَ اللَّهُ لِمَن يَشَاءُ وَيَرْضَىٰ

Maksudnya: “Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaa’t mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhai-Nya.”

(Surah al-Najm: 26)

يَوْمَئِذٍ لا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ الرَّحْمَنُ وَرَضِيَ لَهُ قَوْلاً

Maksudnya: “Pada hari itu, tidak berfaedah syafaa’t (dari dan kepada sesiapa pun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai perkataannya.

(Surah Taha:109)

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يَشْفَعُونَ إِلا لِمَنِ ارْتَضَى وَهُمْ مِنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ

Maksudnya: “Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaa’t melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azab-Nya.”

(Surah al-Anbiya:28)

Wallahua’lam

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H