#1770: Agihan Daging Korban

Soalan:     

Assalamualaikum wbt. Bolehkah ustaz jelaskan secara ringkas cara yang betul untuk mengagihkan daging korban, berapa kadar yang wajib disedekahkan dan berapa kadar yang boleh dimakan dan lain-lain? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, memakan daging korban hendaklah dibezakan di antara korban tersebut merupakan korban sunat, korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban. Jika ia adalah korban sunat maka dibolehkan baginya untuk memakan daripada daging korban itu berdasarkan kaedah qiyas ke atas al-Hady (الهَدْيُ). Firman Allah SWT mengenainya:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ

Maksudnya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu.

(Surah al-Hajj: 36)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikannya untuk kita (yakni manusia), dan bagi manusia pula, dia boleh memilih untuk memakannya atau meninggalkannya. Akan tetapi dia disunatkan untuk memakan sebahagian daripada daging korban sunat tersebut. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya:Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta dengan tangannya, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali untuk menyembelih haiwan yang berbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.”

Riwayat Muslim (1218)

Walau bagaimanapun, tidak diwajibkan untuknya memakan sebahagian daripada daging haiwan korban itu, bahkan sebaliknya dia diharuskan untuk mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain berdasarkan ayat yang telah disebutkan di atas.

Justeru, cara pengagihan daging korban boleh dibahagikan kepada beberapa cara, di antaranya:

  • Disunatkan bagi orang yang melakukan korban untuk memakan 1/3 daripada daging korban tersebut (mengambilnya) dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
  • Atau, orang yang melakukan korban boleh mengambil 1/3 daripada daging korban, mengagihkan 1/3 daripadanya kepada golongan fakir miskin, dan 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya atau selainnya — seperti saudara-mara atau jiran-tetangga. Akan tetapi jika dia menyedekahkan 2/3 daripadanya kepada golongan fakir miskin adalah lebih baik (afdhal). Dan diharuskan juga untuk dia mengagihkan kadar daging korban yang disedekahkan itu kepada seorang miskin.
  • Namun cara yang paling baik (afdhal) ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana perbuatan menyedekahkan keseluruhan daging tersebut adalah lebih dekat dengan sifat taqwa kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut pula sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Kemudian, jika haiwan korban tersebut merupakan korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia tidak boleh memakan sebahagian daripada dagingnya sebagaimana al-Hady (الهَدْيُ) yang dinazarkan dan wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin. Jika sekiranya seseorang itu telah memakan daripadanya, hendaklah dia mengeluarkan sejumlah wang mengikut kadar yang telah dimakannya tersebut. Selain itu, tidak perlu untuk dia menyembelih lagi haiwan yang lain sebagai ganti kepada bahagian yang telah dimakan tersebut.  (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/484-485).

Begitu juga dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/235) dinyatakan bahawa jika korban wajib, sama ada kerana korban nazar atau korban binatang yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, ia tidak boleh digunakan (dimakan) oleh orang yang berkorban dan mereka yang di bawah tanggungannya. Mereka yang memakannya hendaklah menggantikannya atau membayar nilai.

Jika korban sunat, harus bagi orang yang melakukan korban untuk makan sedikit daripada daging korban yang dikehendakinya sebagai mengambil berkat dan selebihnya disedekahkan. Dia juga boleh makan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada orang fakir dan 1/3 bahagian lagi dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangganya sekalipun mereka kaya. Akan tetapi mereka yang kaya tidak boleh menjualnya kerana pemberian korban itu sebagai hadiah untuk dimakan. Sementara daging yang disedekahkan kepada orang fakir telah menjadi hak miliknya. Dia boleh makan atau melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya. Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Hajj: 36)

Orang yang melakukan korban boleh menyedekahkan kulit binatang korbannya atau mengambil manfaatnya, tetapi tidak boleh menjualnya atau diberi kepada penyembelih sebagai upah menyembelih. Ini kerana perbuatan demikian adalah kecacatan yang merosakkan korbannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ بَاعَ جِلْدَ أُضْحِيَتِهِ فَلاَ أُضْحِيَةَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, tidak sempurna korbannya.                                                                      

Riwayat al-Hakim (3514); al-Baihaqi (19708); al-Dailami dalam al-Firdaus (5509).[1]

Begitu juga terdapat hadith sahih yang melarang daripada memberi upah kepada penyembelih daripada bahagian korban itu. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib R.A, beliau menceritakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ علَى بُدْنِهِ وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkannya untuk menguruskan unta-unta sembelihannya, dan membahagikan semuanya termasuk daging dan kulitnya serta apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Begitu juga, tidak boleh memberikan sesuatu apa pun (daripada sembelihan korban itu) kepada penyembelihnya (sebagai upah).”

Riwayat al-Bukhari (1717) dan Muslim (1317)

Manakala di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan daripada Ali bin Abu Talib R.A yang menyebut: “Kami memberikan upah kepada penyembelih daripada (harta) kami sendiri.”

Dalam menjelaskan hadith di atas, Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian haiwan korban kepada tukang sembelih dan inilah mazhab kami — yakni mazhab Syafi‘i. Ini juga merupakan pendapat ‘Ath’, al-Nakha‘i, Malik, Ahmad, Ishaq. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/65).

Justeru, jelas bahawa upah hendaklah diberikan menggunakan harta daripada pemilik korban sendiri dan bukannya daripada bahagian korban. Sekiranya tukang sembelih itu sendiri termasuk daripada kalangan fakir miskin, maka pemberian daging korban kepadanya dibolehkan atas dasar dirinya sebagai seorang fakir miskin di samping upah menyembelih yang diberikan bukan daripada bahagian korban.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Al-Munziri dalam al-Targhib dan al-Tarhib (2/161) menyebutkan, dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Abdullah bin ‘Ayyasy al-Qutbani al-Misri dan dia diperselisihi. Manakala al-Suyuti menilainya dalam al-Jami‘ al-Saghir (8535) sebagai sahih. Begitu juga al-Albani menilainya dalam Sahih al-Jami‘ (6118) dan Sahih al-Targhib (1088) sebagai hasan.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H