#1773: Bacaan Ketika Rukuk dan Sujud; Wajib atau Sunat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah bacaan zikir semasa rukuk dan sujud itu wajib dan batalkah solat seseorang yang meninggalkannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya kita hendaklah mendirikan solat sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, ulama mazhab Syafi‘i telah memasukkan bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud sebagai sunat hai’ah. Sunat hai’ah ialah sunat-sunat solat yang sekiranya ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/147; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/427).

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan juga bahawa caranya adalah dengan berkata, سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ وَبِحَمدِهِ sebanyak tiga kali setelah rukuk dengan sempurna, dan begitu juga berkata, سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِه sebanyak tiga kali setelah sujud dengan sempurna. Demikianlah sekurang-kurangnya bilangan tasbih yang sempurna namun jika bilangannya ditambah lebih daripada tiga kali adalah lebih baik. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/147-154).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menyebutkan, bacaan tasbih, seluruh zikir-zikir dalam rukuk dan sujud, ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”, dan bertakbir pada selain takbiratul ihram, semua perkara tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Jika seseorang meninggalkannya (tidak membacanya), maka tidak berdosa dan solatnya masih dikira sah, tidak kira dia meninggalkannya dengan sengaja mahupun disebabkan terlupa. Akan tetapi dihukumkan sebagai makruh meninggalkannya secara sengaja. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama. Malah, al-Syeikh Abu Hamid menyatakan, ia merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. Begitu juga pengarang al-Hawi juga ada menyebutkan, ia adalah mazhab fuqaha keseluruhannya.

Namun, Ishaq bin Rahawaih berpendapat, bacaan tasbih adalah wajib. Jika ditinggalkan dengan sengaja, batal solatnya. Akan tetapi jika terlupa (tidak sengaja), tidak batal solatnya. Selain itu, Daud pula berpendapat, ia adalah wajib secara mutlak. Begitu juga al-Khattabi telah memberi isyarat dalam Ma‘alim al-Sunan bahawa ia adalah pendapat yang dipilihnya (dirajihkannya). Imam Ahmad menyebutkan, ucapan tasbih dalam rukuk, sujud, ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ”, bacaan duduk antara dua sujud, dan seluruh takbir adalah wajib. Jika dia meninggalkan satu daripadanya secara sengaja maka batal solatnya. Jika dia terlupa maka tidak batal solatnya tetapi dia hendaklah sujud sahwi untuk menggantikannya. Namun, terdapat riwayat lain daripada Imam Ahmad bahawa beliau berpendapat, ia adalah sunat sebagaimana pendapat jumhur ulama.

Mereka yang mewajibkannya berdalilkan dengan hadith ‘Uqbah bin ‘Amir yang menyebutkan berkenaan zikir-zikir rukuk dan Nabi SAW melakukannya. Begitu juga dengan hadith, Nabi SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Begitu juga berdasarkan kepada kaedah qias iaitu dengan mengqiaskannya kepada bacaan (Surah al-Fatihah). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa apabila turun ayat, فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ maka Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ

Maksudnya:Jadikanlah (bacalah) ia dalam rukuk kamu.”

Apabila turun ayat, “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى” maka Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

‏ اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُمْ ‏

Maksudnya:Jadikanlah (bacalah) ia dalam sujud kamu.”

Riwayat Abu Daud (887)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan, memadai tasbih sekali sahaja, kerana Nabi SAW memerintahkan dengan tasbih daripada hadith ‘Uqbah dan tidak menyebut bilangan. Justeru, ia menunjukkan bahawa cukup dengan sekurang-kurang sekali. (Lihat al-Mughni, 1/297).

Manakala Imam al-Syafi‘i dan jumhur ulama (yang berpegang ia adalah sunat) berhujah berdasarkan kepada hadith al-Musi’ Salatahu (المُسِئُ صَلَاتَهُ). Hal ini kerana Nabi SAW telah mengajarkan kepadanya perkara-perkara wajib dalam solat dan tidak pula mengajarkan kepadanya zikir-zikir ini. Sedangkan Baginda mengajarkan kepadanya takbiratul ihram dan bacaan al-Fatihah. Jika zikir-zikir ini wajib, sudah tentu Baginda akan mengajarkannya kepada lelaki tersebut. Apatah lagi, zikir-zikir ini sudah tentu lebih patut atau utama untuk diajarkan jika ia adalah wajib kerana ia dibaca secara perlahan dan sembunyi. Jika rukuk dan sujud tidak diajarkan bersama dengan penampakan keduanya, maka ini adalah lebih utama. Adapun hadith-hadith yang menyebutkan tentang zikir-zikir ini, dapat difahami bahawa hukumnya adalah sunat berdasarkan kaedah menghimpunkan antara beberapa dalil. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414-415).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa bacaan rukuk dan sujud termasuk dalam perkara-perkara sunat hai’ah. Apabila seseorang itu meninggalkannya sama ada secara sengaja mahupun terlupa, maka hal itu tidak menyebabkan solatnya terbatal dan dia juga tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi. Akan tetapi meninggalkannya dengan sengaja dihukumkan sebagai makruh, namun solatnya tetap dikira sah. Hal ini kerana dia telah terlepas daripada mendapat ganjaran dan kelebihannya.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ia termasuk dalam khilaf muktabar dalam kalangan ulama. Maka, sebaik-baiknya ia tidak ditinggalkan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, sebagai jalan keluar daripada mereka yang mewajibkannya. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H