#1774: Wanita Bersendirian dalam Lif Bersama Lelaki Ajnabi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan. Saya tinggal di kawasan kondominium dan rumah saya di tingkat 15. Kadang-kadang bila menaiki lif, ada lelaki lain bukan mahram yang menaiki lif bersama saya. Adakah ia dibenarkan? Kalau saya belum lagi masuk, biasanya saya akan menunggu lif yang lain, kalau di dalamnya sudah ada seorang lelaki sahaja bagi mengelakkan dikira termasuk dalam perbuatan berdua-duaan. Betulkah tindakan saya tu? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ الـمـَـوْتُ

Maksudnya:Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita-wanita. Seorang lelaki Ansar berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu dengan al-Hamwu (iaitu kaum kerabat suami yang halal dinikahi seperti ipar duai)?’ Baginda menjawab: “Al-Hamwu ialah kematian.”

Riwayat al-Bukhari (5232)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ. فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً، وَاكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: ارْجِعْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ

Maksudnya:Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya. Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu.’

Riwayat al-Bukhari (5233); Muslim (1341)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. Sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut di situ sama seperti tiada. Selain itu, ulama-ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tiada beza dalam pengharaman khalwat — antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah — sama ada khalwat itu berlaku ketika solat atau selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan larangan berdua-duaan antara lelaki dan wanita ajnabiyyah merupakan kesepakatan para ulama. Akan tetapi para ulama berbeza pendapat adakah keperluan adanya mahram ini boleh digantikan dengan bukan mahram yang lain, contohnya seperti adanya sekumpulan wanita-wanita yang dipercayai? Pendapat yang sahih ialah ia adalah dibolehkan kerana kurangnya fitnah dan tohmah dalam hal tersebut. Manakala al-Qaffal tetap berpendapat bahawa mesti ada juga mahram. Begitu juga halnya dengan sekumpulan wanita yang dipercayai dalam permusafiran menunaikan haji, mestilah ada mahram bersama salah seorang daripada mereka. Ini diperkuatkan lagi dengan nas Imam al-Syafi‘i  bahawa tidak boleh seorang lelaki mendirikan solat bersama kaum wanita melainkan bersama-sama salah seorang wanita itu mahramnya. (Lihat Fath al-Bari, 4/77).

Antara hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah adalah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam dan menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya:Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa syaitan ada bersama kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu, lalu membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan bahawa sekiranya seorang wanita dan lelaki ajnabi (asing) tinggal di dalam satu rumah tetapi secara berasingan di dalam dua bilik (yang berbeza) atau seorang di tingkat atas manakala seorang lagi di tingkat bawah atau seorang di dalam rumah manakala seorang lagi di dalam bilik, maka disyaratkan kedua-dua mereka tidak berkongsi fasiliti (kemudahan) yang ada seperti dapur, tandas, perigi (tempat mandi), jalan laluan, ruangan atas bumbung, atau tangga. Sekiranya mereka berkongsi salah satu daripada fasiliti-fasiliti yang telah disebutkan, maka diharamkan tinggal bersama kerana ia boleh membawa kepada khalwat yang diharamkan. Demikian juga (hukumnya haram), sekiranya kesemua fasiliti tadi telah diasingkan (tidak berkongsi), namun pintu antara kedua-duanya tidak ditutup atau dikunci, atau ditutup akan tetapi ia menjadi jalan laluan salah seorang ke atas yang lain atau pintu tempat tinggal salah seorang daripada keduanya berada di dalam tempat tinggal yang seorang lagi. Adapun larangan berkongsi jalan laluan, terangkat apabila ada bersamanya mahram. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/106-107).

Walau bagaimanapun, para fuqaha ada menyebutkan beberapa pengecualian serta keadaan yang dibenarkan bagi seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita ajnabiyyah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa dikecualikan daripada isu ini (berdua-duaan dengan bukan mahram) kesemua tempat-tempat yang terdapat padanya darurat seperti seseorang lelaki menjumpai seorang perempuan yang sesat di jalanan atau seumpamanya, maka diharuskan kepadanya untuk menemani wanita itu. Bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal itu sekiranya dia risaukan keselamatan wanita itu apabila ditinggalkan bersendirian. Dalam situasi ini, tiada khilaf padanya dan berdalilkan dengan hadith Aisyah R.Anha mengenai peristiwa al-Ifk. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109).

Selain daripada itu, para ulama juga telah meletakkan garis panduan dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama. Mengenai hal ini, al-Syibramalisi dan ‘Abd al-Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa garis penentuan khalwat yang dilarang adalah ke atas perhimpunan (antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram) yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (yakni fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan atau pertemuan tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat — yang dilarang. (Lihat Hasyiah Nihayah al-Muhtaj, 7/163; Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 8/269).

Begitu juga Abu Said al-Khadimi menyebutkan, seorang lelaki tidak dibenarkan bercakap dengan seorang wanita ajnabiyyah tanpa sebarang keperluan kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah. Akan tetapi sekiranya ada keperluan seperti penyaksian, jual beli atau berdakwah, maka ia adalah diharuskan — yakni dibenarkan. (Lihat Bariqah Mahmudiyah, 4/7). Demikian juga, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa dibolehkan bagi lelaki memberi salam kepada wanita atau sebaliknya, dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah — yakni tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 11/33).

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, sekiranya seorang perempuan masuk ke dalam masjid yang mana di dalamnya ada seorang lelaki, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat yang dilarang kerana masjid merupakan tempat yang sentiasa dimasuki oleh setiap orang, dan perkara ini hanya dibenarkan pada masjid yang menjadi laluan orang ramai serta tidak terputus orang yang keluar masuk pada adat kebiasaannya. Demikianlah juga hukumnya, apa yang menyerupainya seperti jalan atau selainnya — yang terdiri daripada tempat-tempat awam yang lain — yang menjadi laluan orang ramai, berbeza dengan tempat-tempat yang tidak menjadi laluan orang ramai — yakni terpencil dan sunyi. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 8/269-270).

Oleh itu, dapat difahami bahawa parameter pertemuan antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan adalah selamat dan jauh daripada fitnah — yakni tidak menimbulkan curiga. Oleh sebab itu, mereka mensyaratkan pertemuan itu berlaku di tempat-tempat awam yang menjadi laluan orang ramai dan adanya keperluan. Jika pertemuan itu tanpa ada sebarang keperluan yang dibenarkan oleh syarak maka ia juga boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka sekalipun berlaku di tempat awam. Apatah lagi jika ia berlaku di tempat-tempat yang sunyi dan terpencil, maka ia adalah lebih-lebih lagi haram dan dilarang.

Selain itu, di sana juga ada kelonggaran yang diberikan iaitu boleh bersendiri bagi seorang lelaki yang thiqah (dipercayai) bersama dua orang perempuan yang thiqah (atau lebih) yang mana perempuan berkenaan dihormati oleh lelaki itu dan bukan sebaliknya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/107).

Sekalipun begitu, ia tetap juga kembali kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama iaitu mesti selamat daripada timbulnya fitnah, tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat — setelah mengambil kira situasi dan waqi‘ Malaysia — bahawa dalam hal seorang wanita menaiki lif secara bersendirian bersama seorang lelaki ajnabi hendaklah dilihat kepada situasi berikut:

  • Jika lif tersebut sentiasa menjadi laluan orang ramai, dilengkapi sistem keselamatan, terjamin keselamatan diri serta jauh daripada fitnah (dalam erti kata lain tidak menimbulkan perasaan curiga dan syak wasangka), maka tidak mengapa atau harus untuk seorang wanita itu menaiki lif sekalipun bersamanya seorang lelaki bukan mahram dengan syarat kedua-duanya mesti menundukkan pandangan dan menjaga batas-batas di dalam agama.
  • Namun, jika lif tersebut berada di tempat yang sunyi atau tidak menjadi laluan utama orang ramai, di samping tidak terjamin keselamatan diri dan harta (kerana tidak ada kawalan keselamatan melalui cctv dan seumpamanya) atau boleh menimbulkan fitnah (syak wasangka dan perasaan curiga), maka kami berpendapat, dalam situasi ini, seorang wanita itu tidak boleh menaiki lif secara bersendirian bersama seorang lelaki ajnabi. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Walau bagaimanapun, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan bahawa sekiranya dapat dielakkan daripada menaiki lif secara berdua-duaan adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah. Bahkan ia lebih menjamin maruah dan keselamatan diri. Sekurang-kurangnya biarlah ada bersama seorang perempuan lain atau lebih, ataupun sekumpulan lelaki yang dipercayai, supaya kita dapat mengelakkan diri daripada termasuk di dalam larangan berkhalwat yang dilarang oleh agama.

Justeru, tindakan saudari dengan tidak menaiki lif yang tiba lalu menunggu lif yang lain kerana di dalamnya hanya ada seorang lelaki sahaja (yang bukan mahram) bagi tujuan mengelakkan berdua-duaan dengannya adalah suatu tindakan yang terpuji serta wajar dicontohi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H