Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya pada datuk. Adakah boleh “العَلِيِّ الْعَظِيْمِ” dibuat zikir harian? Atau dilarang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”
(Surah al-Ahzab: 41-42)
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)
Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)
Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396)
Berdasarkan persoalan di atas, kemungkinan zikir yang dimaksudkan saudara yang bertanya ialah zikir hauqalah, iaitu:
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيّ الْعَظِيم
Maksudnya: “Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang maha tinggi lagi maha agung.”
Justeru, antara fadhilat zikir hauqalah ini ialah:
Pertama: Sebagai pintu syurga
Daripada Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ ؟ قُلْتُ: بَلَى. قَالَ : لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Adakah kamu mahu aku tunjukkan kepadamu pintu dari pintu-pintu syurga?” Beliau bertanya: “Apakah itu?” Sabda Rasulullah SAW: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.
Riwayat al-Tirmizi (3581), Ahmad (21996), dan al-Nasaie di dalam Sunan al-Kubra (10189). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut di dalam kitabnya Takhrij al-Musnad (1438) menyatakan hadith ini Hasan li ghairih.
Kedua: Sebagai tanaman syurga
Daripada Abu Ayub al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW pada malam di Isra’kan telah melintasi Ibrahim AS dan Ibrahim AS berkata kepada Baginda SAW:
مُرْ أُمَّتَكَ فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ، فَإِنَّ تُرْبَتَهَا طَيِّبَةٌ، وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ قَالَ: وَمَا غِرَاسُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ “
Maksudnya: Perintahkanlah umatmu dan perbanyakkan dari tanaman syurga kerana tanahnya baik dan tempatnya luas. Tanya Baginda SAW : “Apakah tanaman syurga?” Jawabnya: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.
Hadith riwayat Ahmad (23552) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (648). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid (10/100) menyatakan Rijal hadith ini semuanya sahih kecuali Abdulllah bin Abd al-Rahman bin Abdullah bin Umar bin al-Khattab, dia adalah thiqah yang tidak dibincangkan oleh sesiapapun dan Ibn Hibban menthiqahkannya.
Ketiga: Sebagai penghapus dosa
Daripada Abdullah bin Amr, katanya : Rasulullah SAW bersabda:
مَا عَلَى الأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، إِلَّا كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
Maksudnya: Tidak ada sesiapapun di Bumi ini apabila dia berkata, Tiada Tuhan selain Allah dan Allah maha besar dan “‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’” kecuali diampunkan kesalahan-kesalahannya walaupun ianya sebanyak buih di lautan.
Hadith riwayat al-Tirmizi (6460), al-Nasaie di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124) dan Ahmad (6479). Pengarang kitab Sahih al-Jami’ (6536) menilai hadith ini sebagai hasan.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Aku pernah mendengar Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Disebut di dalam satu riwayat athar dalam bab ini iaitulah: “Bahawa para malaikat ketika mana diperintahkan memikul ‘Arasy mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, bagaimanakah kami mampu memikul ‘Arasy-Mu ini?” Lalu Allah berfirman: “Ucapkanlah لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ اْلعَلِيِّ الْعَظِيْمِ. Apabila para malaikat itu mengucapkannya, mereka mampu memikulnya.” (Lihat al-Mustadrak ‘ala Majmu al-Fatawa, 1/158)
Beliau berkata lagi: “Kalimah al-hauqalah ini memiliki kesan yang hebat dalam menghadapi keperitan, menanggung kesukaran, menemui para pemerintah dan orang yang dibimbangi kejahatannya dan menempuh keperitan.” (Lihat al-Wabil al-Sayyib, hlm. 187)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa zikir “hil aliyil adzim” merupakan zikir yang tidak lengkap sebagaimana yang disebutkan oleh nas. Justeru, jika saudara ingin mengamalkan zikir tersebut, saudara perlu melafazkan zikir tersebut dengan lafaz yang penuh, iaitu:
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيّ الْعَظِيم
Maksudnya: “Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang maha tinggi lagi maha agung.”
Selain itu, kami katakan bahawa zikir yang terbaik untuk di amalkan oleh saudara dan kita semua adalah zikir yang ma’thur daripada al-Quran dan al-Hadith. Berkenaan dengan zikir yang ma’thur ini yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan salafussoleh, kami dapati ramai para ulama telah mengkaryakan karya yang baik berkenaan dengan zikir dan juga doa Rasulullah SAW termasuklah kitab-kitab hadith bermula dari Sahih Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Muwatta’ Imam Malik dan lain-lain lagi.
Antara kitab khusus berkenaan dengan zikir ini ialah:
- Al-Azkar oleh Imam al-Nawawi
- Hisn al-Muslim oleh al-Qahtani
- ‘Amalu al-Yaumi wa al-Lailah oleh al-Nasa’i dan lain-lain.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita lazimi zikir dan kita basahi lidah kita dengan zikir dengan sebanyak-banyaknya. Cukuplah sebuah hadith Rasulullah SAW menyebut yang memberi semangat kepada kita untuk zikir. Daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟ قَالُوا: بَلَى. قَالَ : ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى.
Maksudnya: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan perak. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung leher kamu. Para sahabat berkata: “Ya (kami ingin mengetahuinya wahai Rasulullah!)” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Ta’ala.”
Riwayat al-Tirmizi (3377), Ibn Majah (3790), Ahmad (21702), Imam Malik dalam al-Muwatta’ (524), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1825) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1872). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sanadnya sahih.
Kami berdoa kepada Allah SWT semoga kita semua menjadi ahli zikir, syukur dan baik ibadat:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Semoga lidah kita sentiasa zikrullah dan mati kita dalam keadaan zikrullah. Amin.
Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H