#178 Talak Ketika Marah

Soalan

Adakah jatuh talak ketika dilafazkan dalam keadaan terlalu marah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Imam al-Baijuri menyatakan, Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat. Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak ada dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263).

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya : Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169).

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (4/163-166), talak yang dilafazkan secara sarih (jelas, seperti cerai dan talak) dan ditujukan kepada isteri, oleh suami, adalah jatuh meskipun dilafazkan tanpa niat. Pengecualian diletakkan pada enam keadaan:

  • Orang yang tidur
  • Orang yang gila
  • Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  • Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  • Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  • Dipaksa dan mabuk bukan kerana maksiat

Bagi  keadaan yang keenam, sandaran nabawiyyah yang digunakan adalah hadis Rasulullah SAW:

لَا طَلَاقَ وَلَا عَتَاقَ فِي إِغْلَاقٍ

Maksudnya: “Tidak berlaku talak dan pembebasan hamba yang dilakukan dalam keadaan Ighlaq.”

Riwayat Abu Dawud (2193)

Imam al-Syaukani menyatakan di dalam Nail al-Autar (6/279): “Maksud ‘fi ighlaq’… para ulama al-gharib (pakar dalam istilah-istilah yang sulit) menafsirkannya sebagai paksaan. Ini diriwayatkan daripada Ibn Qutaibah, al-Khattabi, Ibn Sayyid dan selain mereka. Dikatakan maksudnya ialah gila tetap al-Mutarrizi mengecualikannya. Dikatakan juga maksudnya adalah marah. Inilah yang terdapat dalam Sunan Abi Daud, satu riwayat daripada Ibn al-A`rabi dan tafsiran Imam Ahmad. Akan tetapi Ibn Sayyid mengkritik: “Kalau begitu tidak akan pernah berlaku talak kerana seseorang itu tidak mentalakkan melainkan dalam keadaan marah.” Berkata Abu Ubaidah: Ighlaq itu penyempitan.”

Justeru dalam mazhab al-Syafi’i, talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah. Namun kami juga cenderung juga kepada pendapat jika marah itu sifatnya melampau sehingga hilang akal dan perasaan, seperti orang gila, maka tidak jatuh talak, namun harus dirujuk kepada pakar untuk menilainya. Bagi kedua-dua keadaan, memandangkan lafaz itu disebut secara sarih, hendaklah isteri atau suami itu wajib segera merujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah setempat bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai kerana urusan talak ini adalah urusan yang serius berkait dengan tujuan Syariah iaitu penjagaan nasab, keluarga dan keturunan.

Semoga Allah memelihara kita daripada bermudah-mudah dan bermain-main dalam isu talak.

Wallahua`lam.

Bertarikh 4 Januari 2022 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1443 H