Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Tangan kanan saya sehingga ke siku dan kaki kanan saya sehingga ke peha sudah kudung kerana kemalangan. Jadi, bolehkah saya mengangkat jari kiri semasa tahiyat akhir bagi mendapatkan sunnah tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Umumnya, di antara perkara-perkara sunat dalam solat adalah meletakkan kedua-dua belah tangan di atas dua peha pada kedua-dua duduk tasyahhud. Caranya adalah dengan meletakkan tangan kiri yang terbuka serta merapatkan jari-jari menyamai pangkal lutut manakala tangan kanan pula digenggam kecuali jari telunjuk dilepaskan tunduk pada permulaan tasyahhud. Angkat jari telunjuk ketika mengucapkan, “إلا الله” sebagai isyarat tauhid dan sunat diteruskan begitu tanpa digerak-gerakkan hingga akhir solat.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma ketika menceritakan cara duduk Rasulullah SAW, beliau berkata:
كَانَ إِذَا جَلَسَ فِى الصَّلاَةِ وَضَعَ كَفَّهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَقَبَضَ أَصَابِعَهُ كُلَّهَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الَّتِى تَلِى الإِبْهَامَ وَوَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya: “Apabila duduk ketika bersolat Baginda meletakkan tapak tangan kanannya di atas peha kanan, dan menggenggam semua jarinya serta menunjuk dengan jari telunjuk dan meletakkan tapak tangan kirinya di atas peha kiri.”
Riwayat Muslim (580)
Pada asasnya kita hendaklah mendirikan solat sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.”
Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)
Begitu juga seseorang itu diperintahkan untuk melakukan ibadah mengikut kemampuannya. Manakala apa yang tidak mampu dilakukannya tergugur daripadanya. Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868) bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Oleh itu, sepatutnya mengangkat jari telunjuk ketika mengucapkan, “إلا الله” sebagai isyarat tauhid dalam bacaan tasyahhud adalah dengan jari tangan kanan. Justeru, perkara sunat tersebut sudah gugur daripadanya kerana tempat untuk melakukannya juga sudah lagi tiada iaitu jari tangan kanan dan juga paha kanan untuk meletakkan tangan kanan.
Sekalipun begitu, kami berpendapat jika dengan menggantikannya menggunakan jari kiri iaitu mengangkat jari telunjuk kiri ketika mengucapkan, “إلا الله” sebagai isyarat tauhid dalam bacaan tasyahhud dapat membuatkannya lebih merasakan kesempurnaan solat ikut Nabi, maka tidak mengapa dia melakukannya. Mudah-mudahan tujuan dan kesungguhannya untuk mengikut seboleh mungkin cara solat Nabi SAW diganjari serta diberi pahala oleh Allah SWT.
Apatah lagi, sekiranya seseorang itu mengikuti atau melakukan suatu amalan kerana cinta dan mahu ikut Nabi SAW, dia tetap diberi pahala sebagaimana Abdullah bin Umar R.Anhuma yang sangat terkenal sebagai seorang sahabat yang akan sedaya upaya cuba buat apa yang Baginda SAW telah lakukan.
Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H