#1782: Mendaki Gunung Everest

Soalan:

Apakah hukumnya seseorang pendaki Islam mendaki Gunung Everest sedangkan  semua tahu yang apabila seseorang mendaki gunung tersebut, mereka akan balik sama ada masih hidup ataupun meninggal dunia? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: “Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Hasyr (24)

Allah SWT memperlihatkan kebesaran dan keagunganNya di dalam al-Quran dengan memberikan gambaran sekiranya al-Quran itu diturunkan ke atas sebuah gunung, nescaya akan hancur gunung tersebut disebabkan takutkannya Allah SWT. Firman Allah SWT:

لَوۡ أَنزَلۡنَا هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٖ لَّرَأَيۡتَهُۥ خَٰشِعٗا مُّتَصَدِّعٗا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”

Surah al-Hasyr (21)

Mutakhir ini, saya dikunjungi oleh ramai sahabat-sahabat termasuklah semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, seorang yang mendaki gunung dengan begitu tegar. Banyak gunung0gunung di nusantara terutamanya di Malaysia telah beliau daki. Salah seorangnya Encik Haizan Runsah yang telah membuat catatan pendakian di Kinabalu, Rinjani, Fansipan dan Annpurna Base Camp. Antara syarat penting bagi pendaki sebarang gunung adalah mereka perlu memohon permit mendaki gunung. Ini adalah penting demi tujuan keselamatan pendaki. Setiap negeri atau negara mempunyai proses memohon permit mendaki yang berbeza dan ada juga tempat yang meletakkan syarat tahap kesihatan bagi pendaki untuk memastikan keselamatan pendaki.

Pengenalan Gunung Everest

Gunung Everest merupakan gunung yang tertinggi di dunia dengan ketinggian setinggi 8850 meter. Gunung Everest terletak di banjaran gunung Himalaya. Everest adalah gunung tertinggi di bumi (diukur dari paras laut). Gunung Everest mempunyai dua laluan mendaki, rabung tenggara dari Nepal dan rabung barat laut dari Tibet. Dari keduanya, rabung tenggara adalah lebih mudah secara teknikal dan merupakan laluan yang paling selalu dilalui. Di catatkan, Mohandas Nagappan (M. Nagappan) dan Magendran Moorthy (M. Magendran) merupakan warga Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 1997. (Lihat Wikipedia Ensiklopedia)[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan antara cara untuk melihat keagungan dan kebesaran Allah SWT adalah dengan mengembara dan mengambil teladan dari pengembaraan tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT:

قُلۡ سِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأٓخِرَةَۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ

Maksudnya: “Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Surah al-‘Ankabut (20)

Justeru itu, kami berpendapat hukum mendaki gunung Everest adalah harus dan dibenarkan. Namun, kami tegaskan di sini bagi pihak yang terlibat, persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal perlu dilakukan agar misi mendaki itu dapat dilaksanakan dengan selamat. Begitu juga, kami nasihatkan agar ia ditemani oleh mereka yang berpengalaman bagi menyertai ekspedisi ini supaya ia dapat mengurangkan risiko kecederaan dan seumpamanya. 

Kami juga menyatakan, mendaki gunung Everest bukanlah berdasar cuba-cubaan tanpa persediaan yang rapi. Ini kerana data menunjukkan terlalu ramai yang telah meninggal dunia semasa mendaki atau menuruni gunung Everest. Justeru, tanpa persediaan, boleh dianggap seperti membunuh diri atau menempah maut dan membinasakan diri, sedangkan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Adab-adab ketika bermusafir turut perlu dijaga agar permusafiran ini mencapai tujuannya yakni melihat kebesaran Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي وَمِنَ الْغَرَقِ وَالْحَرْقِ وَالْهَرَمِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ يَتَخَبَّطَنِي الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ أَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada musibah keruntuhan bangunan (ke atas diriku). Aku berlindung dengan-Mu daripada bencana jatuh dari tempat yang tinggi. Aku berlindung dengan-Mu daripada bencana banjir lemas, kebakaran dan keburukan pada usia terlalu tua. Aku berlindung dengan-Mu daripada tipu daya dan gangguan syaitan ketika kematianku. Aku berlindung dengan-Mu daripada kematian ketika melarikan diri dari jalan-Mu (jihad). Aku berlindung dengan-Mu daripada kematian disebabkan sengatan haiwan berbisa.”

[1] https://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Everest

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H