#1789: Memotong Rambut Sebahagian Nipis Dan Sebahagian Tebal

Soalan :

Assalamualaikum Dr. Adakah boleh jika memotong rambut sebahagian nipis dan sebahagian yang lain pula tebal?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Qaza ialah mencukur sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain.Dikatakan juga Qaza’ ialah mencukur tempat yang berbeza-beza pada bahagian kepala.[1]

Hukum Qaza’

Daripada Ibn Umar R.anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ القَزَعِ

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW melarang melakukan al-qaza’.

Hadis riwayat Imam Bukhari (5921) dalam Sahih-nya dan Imam Imam Muslim (2120) dalam Sahih-nya

Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (14/100) menyatakan bahawa qaza’ itu bererti mencukur sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian secara mutlak. Sebahagian ulama mengatakan qaza’ itu mencukur bahagian-bahagian kepala secara terpecah-pecah. Yang sahih, ialah pendapat pertama berdasarkan penafsiran rawi. Telah ijmak ulama atas hukum makruh tanzih melakukan qaza’ pada bahagian-bahagian kepala secara terpecah-pecah kecuali bagi tujuan perubatan (berbekam dll). Larangan ini termasuk ke atas lelaki dan wanita dan hikmahnya dikatakan ialah kerana memburukkan ciptaan, melambangkan kebodohan, dan menyerupai fesyen agama Yahudi.

Daripada Ibn Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW pernah melihat seorang bayi dicukur sebahagian rambutnya dan dibiarkan bahagian lain. Baginda SAW menegah perbuatan itu dan bersabda:

احْلِقُوهُ كُلَّهُ، أَوِ اتْرُكُوهُ كُلَّهُ

Maksudnya: Cukurlah semuanya, atau tinggalkan semuanya.

Hadis riwayat Imam Abu Daud (4195) dalam Sunan-nya

Merujuk kepada persoalan di atas kami berpandangan bahawa menipiskan sebahagian rambut tidaklah termasuk dalam hukum qaza’.Namun perbuatan yang demikian menyerupai orang kafir, maka ia tidak diperbolehkan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Ibn Abd al-Bar menyebut: Ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka). (Lihat  Al-Tamhid, 6/80)

Suka untuk kami nasihati supaya sentiasa  menjaga keterampilan diri mengikut apa yang telah ditunjukkan oleh syara’ dan jadikanlah Nabi kita Muhammad SAW sebagai ikutan kerana baginda sentiasa menjaga keterampilan dan sentiasa kelihatan kemas, supaya orang ramai tertarik dengan Islam. Diriwayatkan daripada Ibnu Masu’d bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إنّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الجَمالَ

Maksudnya :Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan.

Riwayat Muslim (91)

Wallahua’lam.

[1] https://www.islamweb.net/ar/fatwa/24367/%D8%A7%D9%84%D9%82%D8%B2%D8%B9%D8%AA%D8%B9%D8%B1%D9%8A%D9%81%D9%87%D9%88%D9%85%D9%88%D9%82%D9%81-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B1%D8%B9-%D9%85%D9%86%D9%87#:~:text=%D8%A7%D9%84%D9%82%D8%B2%D8%B9%3A%20%D9%87%D9%88%20%D8%AD%D9%84%D9%82%20%D8%A8%D8%B9%D8%B6%20%D8%A7%D9%84%D8%B1%D8%A3%D8%B3,%D9%88%D8%AA%D8%B4%D8%AF%D9%8A%D8%AF%20%D8%A7%D9%84%D8%B5%D8%A7%D8%AF%20%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%87%D9%85%D9%84%D8%A9%3A%20%D8%B4%D8%B9%D8%B1%20%D8%A7%D9%84%D8%B5%D9%8C%D9%91%D8%AF%D8%BA%D9%8A%D9%86

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H