#1794: Nama HAMKA

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Untuk makluman, saya baru sahaja melahirkan anak keempat. Saya ingin bertanyakan berkenaan nama anak. Saya dan suami saya bercadang memberi nama dengan nama HAMKA sempena mengambil nama dari Buya Hamka. Saya dan suami kurang jelas maknanya dalam Bahasa Arab. Soalan saya, bolehkah saya dan suami saya menamakan anak dengan nama HAMKA sahaja?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Seperti yang saya jawapkan, hendaklah kita menamakan anak kita dengan nama-nama yang baik. Sebolah-bolehnya, pada hari yang ke-7, ada juga mengatakan pada hari yang pertama. Antara nama yang baik dengan cara mengikut Rasulullah SAW.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW telah bersabda:

وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ 

Maksudnya: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim”

Riwayat Muslim (2315)

 Abu Musa al-Asy’ari RA telah berkata:

وُلِدَ لي غُلَامٌ فأتَيْتُ به النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَسَمَّاهُ إبْرَاهِيمَ وَحَنَّكَهُ بتَمْرَةٍ

Maksudnya: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki, maka aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji kurma.”

Riwayat al-Bukhari (5467) dan Muslim (2145)

Berkenaan dengan nama yang saudara inginkan kepada anak saudara iaitu Hamka, sepengetahuan saya ia merujuk kepada Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Hamka (Jawi: ‏حمكا‎‎, 17 Februari 1908 – 24 Julai 1981) ialah seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia. 

Dari segi maknanya pula, jika dibaca dengan al-Hamak ia memberi maksud sesuatu yang kecil pada setiap benda. Asalnya daripada kalimah hamakah. Begitu juga, inilah yang dinyatakan dalam Mu’jam al-‘Arabi. 

Di dalam Mu’jam al-Wasit pula Hamka disebut dengan maksud sebaik-baik hidayah. Justeru, saya katakan, tidaklah menjadi masalah untuk saudara menamakan anak saudara dengan Hamka. Semoga Allah SWT jadikan anak saudara dan zuriat saudara di kalangan orang-orang soleh. Marilah kita doakan mereka:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H