#1809: Kebumikan Mayat Yang Tidak Dituntut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Isunya, seorang warga Indonesia telah meninggal dunia dan mayatnya berada di hospital sudah lebih daripada 63 hari. Masalahnya, banyak urusan yang patut dibuat sedangkan mayat tersebut sukar untuk dikenalpasti. Bagaimanakah sepatutnya kita lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَيْنَمَاتَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ

Maksudnya: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.

Surah al-Nisa’ (78)

Dalam hal ini saya katakan mengurus jenazah sehingga selesai adalah fardhu kifayah. Jika sekiranya tidak diselesaikan, maka hukumnya adalah berdosa. Kami noktahkan di sini beberapa perkara yang mesti diambil prihatin:

  • Hendaklah segera menyelesaikannya sehingga dikebumikan. 

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ كَانَتْ صَالِحَةً قَرَّبْتُمُوهَا إِلَى الْخَيْرِ وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ ذَلِكَ كَانَ شَرًّا تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerekanlah penyelenggaraan jenazah jika ia orang baik, maka kamu dekatkan dia kepada kebajikan, jika jenazah yang tidak baik, bererti kamu mendapat atau menanggung dosanya.

Riwayat Muslim (944)

  • Isu yang dihadapi hendaklah dimudahkannya oleh semua pihak. Dalam hal ini, saya syorkan wakil hospital berhubung dengan kedutaan Indonesia bagi mendapatkan persetujuan untuk dikebumikan. Jika mengetahui kaum keluarga hendaklah memaklumkan terlebih dahulu agar dapat sama-sama diuruskan dengan sebaik mungkin, atau diwakilkan kepada pihak kedutaan Indonesia atau badan-badan yang melaksanakannya untuk menguruskan pengkebumian si mati. Alangkah baiknya, jika kita cuba menyelesaikan isu jenazah tempoh kurang dari 2 minggu sebagai contoh bagi warga asing dan lagi cepat lagi baik. 
  • Pihak hospital dan juga pihak kerajaan boleh membuat satu polisi iaitu mana-mana mayat yang tidak dituntut dalam tempoh 2 minggu, sebagai contoh, maka pihak hospital berhak mengebumikan mayat tersebut dengan mengambil foto sebagai bukti serta catatan lokasi tempat dikebumi agar mudah dirujuk dan juga diziarahi kuburnya oleh sanak-saudara dan kaum keluarganya. 
  • Menggunakan media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook, Tiktok untuk mewar-warkan atau mengiklankan si mati yang tidak dituntut atau dikesan oleh kaum keluarga untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. 
  • Begitu juga, iklan rasmi daripada akhbar berkenaan kes mayat-mayat yang tidak dituntut. Jika sekiranya Melayu dalam akhbar berbahasa Melayu, jika Cina dalam bahasa Cina dan jika India dalam bahasa Tamil, begitulah seterusnya.
  • Isu seperti ini juga boleh diwar-warkan melalui kaca TV dan boleh jadi rakan taulan si mati melihatnya untuk menyampaikan kepada kaum keluarga si mati dengan sesegera mungkin. 
  • Saya dapati banyak NGO yang mampu melaksanakan tugas ini dengan baik dan carilah mereka yang mempunyai amanah yang tinggi serta tanggungjawab yang baik untuk melaksanakan tugasan terakhir kepada si mati sebagai seorang Islam.
  • Begitu juga, disarankan supaya pihak hospital yang diberi tugas untuk mengendalikan penyimpanan mayat agar berhubung kepada pihak yang bertanggungjawab seperti kaum keluarga atau kedutaaan negara masing-masing. Saya yakin dan percaya kita dapat menyelesaikan isu ini dan tidak ada lagi mayat yang terbengkalai di tempat penyimpanan mayat dalam tempoh yang lama sebelum menuju ke perkuburan. Semoga Allah SWT mudahkan urusan tersebut.

Kami mengakhiri perbincangan ini dengan doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk kita sama-sama amalkan iaitu:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah Al-Hasyr (10)

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H