Soalan
Apakah nama unta Nabi dan kisah-kisah menarik mengenainya.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Nama Unta Nabi SAW
Nabi SAW mempunyai seekor unta betina yang dinamakan dengan al-Qaswa’ (القصواء) dan unta ini telah dibeli oleh Rasulullah SAW daripada Abu Bakar RA. Unta ini dikatakan hujung bahagian telinga atau hidungnya terpotong dan unta ini Allah SWT telah memberi kelebihan kepadanya seperti kekuatan dan kelajuan berbanding unta-unta yang lain. Tambahan pula, Unta inilah yang digunakan oleh Nabi SAW dalam peristiwa Hijrah ke Madinah dan juga beberapa persitiwa yang lain seperti pemilihan tapak Masjid Nabawi. Kisah pembelian unta ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah RA:
فَخُذْ بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَى رَاحِلَتَيَّ هَاتَيْنِ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِالثَّمَنِ. قَالَتْ: فَجَهَّزْنَاهُمَا أَحَثَّ الجِهَازِ
Maksudnya: “Ambillah dengan nama ayahmu wahai Rasulullah SAW salah satu daripada dua tunggangan (unta) ini. Maka Nabi SAW bersabda: Dengan harga.”[1]
Daripada Muhammad bin Ibrahim al-Taymi, katanya:
كَانَتِ القَصْوَاء مِن نَعَم بنى الحَرِيس ابتاعها أَبُو بُكر وَأُخْرَى مَعَهَا بِثَمَانِمِائَةِ دِرْهَم، فَأَخَذَهَا رَسُولُ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ، مِنْهُ بِأَرْبَعَمِائَةِ دِرْهَم، فَكَانَتْ عِندَهُ حَتَّى نَفَقَتْ، وَهِىَ الَّتِى هَاجَرَ عَلَيْهَا: وَكَانَت حِينَ قَدِمَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ الْمَدِينَة رُبَاعِية وَكَانَ اسمُهَا القَصْوَاء، وَالجدْعَاء، وَالعَضْبَاء
Maksudnya: Al-Qaswa adalah daripada Bani Al-Haris yang dibeli oleh Abu Bakar dan seekor lagi unta bersamanya dengan harga lapan ratus dirham. Kemudian Rasulullah SAW membelinya daripada Abu Bakar dengan harga empat ratus dirham. Al-Qaswa’ bersama dengan Nabi SAW habis umurnya. Dialah unta yang ditunggangi Nabi SAW ketika hijrah. Ketika baginda SAW tiba di Madinah, unta ini merupakan tunggangan yang terbaik. dan namanya Al-Qaswa, Al-Jada`, dan Al-Adba’[2]
Ibn Umar R.Anhuma berkata:
أَرْدَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُسَامَةَ عَلَى القَصْوَاءِ» وَقَالَ المِسْوَرُ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا خَلَأَتِ القَصْوَاءُ
Maksudnya: “Nabi SAW membonceng Usamah di atas al-Qaswa’.” al-Miswar berkata, Nabi SAW bersabda: “Tidaklah al-Qaswa’ melutut atas kehendaknya sendiri.”[3]
Daripada Anas RA, katanya:
كَانَتْ نَاقَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَالُ لَهَا العَضْبَاءُ
Maksudnya: “Nama unta Nabi SAW adalah al-‘Adhba’.”[4]
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan di dalam syarahnya bahawa ulama berbeza pendapat, apakah ‘Adhba’ adalah Qashwa’ ataukah keduanya merupakan nama bagi unta yang berbeza. Al Harbi dengan tegas memilih pendapat pertama, dan dia berkata, “Unta tersebut dinamakan al-‘Adhba’, al-Qaswa’ dan al-Jad’a”‘. Pendapat seperti ini telah dinukilkan oleh Ibn Sa’ad daripada Al Waqidi. [5]
Beliau menyatakan lagi di dalam syarahnya bahawa Imam al-Bukhari meletakkan kata ‘unta’ dalam bentuk tunggal dalam tajuk Bab unta Nabi SAW. Hal ini sebagai isyarat bahawa al-Qaswa’ dan al-‘Adhba’ adalah nama untuk seekor unta.[6]
Ibnu Faris berkata, “sebenarnya kata itu merupakan gelaran untuk unta tersebut berdasarkan lafaz hadith ‘dinamakan al-‘Adhba. ” Sekiranya kata itu menjadi sifat unta, maka tidak dapat dijadikan hujjah”. Manakala al-Zamakhsyari berkata, “Nama ‘Adhba‘ di sini diambil dari ucapan mereka ‘Naqah ‘adbaa’, iaitu yang pendek tangannya”. [7]
Kisah Unta Nabi SAW memilih tapak Masjid Nabawi
Dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW telah tiba di Quba’ pada 8 Rabiul al-Awwal, tahun ke-14 pengutusan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi. Di sana, Baginda tinggal selama empat hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima iaitu hari Jumaat, dengan perintah dari Allah, Baginda berangkat dengan diikuti oleh Abu Bakar untuk menemui Bani al-Najjar. Mereka adalah bapa saudara Rasulullah dari sebelah ibunya. Selepas solat Jumaat, Baginda bergerak memasuki kota Madinah.[8]
Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, baginda menunggang unta al-Qaswa. Nabi SAW turun daripada unta baginda dan membiarkannya berjalan. Baginda SAW bersabda kepada penduduk Madinah:
دَعُوهَا فَإِنَّهَا مَأْمُورَةٌ فَإِنَّمَا أَنْزِلُ حيث أنزلني الله
Maksudnya: Berikan jalan kepadanya (biarkan berjalan jangan dihalangi) kerana dia telah diperintahkan. Sesungguhnya dia akan berhenti ditempat yang Allah telah pilih[9]
Hal ini kerana unta itu berjalan dan berhenti atas arahan Allah SWT. Al-Qaswa pun berhenti berhampiran rumah Abu Ayyub al-Ansariy yang merupakan sebahagian daripada kaum Bani al-Najjar. Disebabkan unta Nabi SAW berhenti di situ, maka Nabi SAW memerintahkan untuk membina sebuah masjid, lalu Baginda bersabda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas RA:
يَا بَنِي النَّجَّارِ ثَامِنُونِي بِحَائِطِكُمْ هَذَا”، قَالُوا: لاَ وَاللهِ لاَ نَطْلُبُ ثَمَنَهُ إِلَّا إِلَى الَّلهِ عَزَّ وَجَلَّ”
Maksudnya: “Wahai Bani al-Najjar, tetapkanlah harga untukku bagi kebunmu ini.” Mereka menjawab: “Tidak, demi Allah, kami tidak meminta harganya kecuali kepada Allah.”
Anas RA berkata:
فَكَانَ فِيهِ مَا أَقُولُ لَكُمْ قُبُورُ المُشْرِكِينَ، وَفِيهِ خَرِبٌ وَفِيهِ نَخْلٌ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقُبُورِ المُشْرِكِينَ، فَنُبِشَتْ، ثُمَّ بِالخَرِبِ فَسُوِّيَتْ، وَبِالنَّخْلِ فَقُطِعَ، فَصَفُّوا النَّخْلَ قِبْلَةَ المَسْجِدِ وَجَعَلُوا عِضَادَتَيْهِ الحِجَارَةَ، وَجَعَلُوا يَنْقُلُونَ الصَّخْرَ وَهُمْ يَرْتَجِزُونَ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَهُمْ، وَهُوَ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ لاَ خَيْرَ إِلَّا خَيْرُ الآخِرَهْ فَاغْفْرِ الْأَنْصَارَ وَالمُهَاجِرَهْ.
Maksudnya: “Di dalam kebun itu, sebagaimana aku katakan kepada kamu semua, terdapat kubur-kubur orang musyrik, runtuhan-runtuhan bangunan dan juga pohon tamar.” Lalu Nabi SAW memerintahkan supaya kubur orang-orang musyrik itu dibongkar, runtuhan-runtuhan diratakan, serta pokok-pokok tamarnya ditebang. Setelah itu, para sahabat menyusun batang-batang pokok tamar di sebelah qiblat masjid, dan batu bata sebagai dindingnya. Mereka mengangkut batu-batu besar dan mereka melaungkan, bersama-sama Nabi SAW: “Ya Allah, tiada kebaikan sejati kecuali kebaikan akhirat. Maka ampunilah golongan Ansar dan Muhajirin.”[10]
Syeikh Mustafa al-Siba’ie menyebut: Apabila sampai di sana, tindakan pertama yang dilakukan ialah memilih tempat unta Baginda berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid. Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. Baginda tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua. Kedua-dua kanak-kanak itu berkata: “Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah.” Namun Baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar. Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka segera melakukannya. Rasulullah SAW turut terlibat bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut.[11]
Kisah Unta Nabi Kalah perlumbaan
Daripada Anas RA, katanya:
كَانَتْ نَاقَةٌ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُسَمَّى: العَضْبَاءَ، وَكَانَتْ لاَ تُسْبَقُ، فَجَاءَ أَعْرَابِيٌّ عَلَى قَعُودٍ لَهُ فَسَبَقَهَا، فَاشْتَدَّ ذَلِكَ عَلَى المُسْلِمِينَ، وَقَالُوا: سُبِقَتِ العَضْبَاءُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ لاَ يَرْفَعَ شَيْئًا مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا وَضَعَهُ
Maksudnya: “Unta Rasulullah SAW diberi nama al-‘Adhba’, dan unta itu tidak pernah bertanding dalam pertandingan perlumbaan. Kemudian seorang Badwi datang menunggang untanya lalu berjaya mengalahkan unta milik Nabi. Maka hal ini membuat kaum muslimin berasa terganggu, dan mereka berkata: “al-‘Adhba’ telah dikalahkan.” Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya adalah menjadi hak ke atas Allah SWT untuk tidak mengangkat sesuatu perkara di dunia kecuali satu masa ia akan berada di bawah (berputar seperti roda).”
Al-Qaswa’ ditunggangi Nabi SAW ketika Tawaf Haji al-Wada’
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, dia berkata:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: طَافَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ عَلَى بَعِيرٍ، يَسْتَلِمُ الرُّكْنَ بِمِحْجَنٍ.
Maksudnya: “Ketika haji Wada’, Nabi SAW mengerjakan tawaf dengan menunggang unta. Baginda menyentuh rukun (Hajarul Aswad) dengan tongkat.” [12]
Al-Qaswa’ kesedihan setelah wafatnya Rasulullah SAW
Al-Qaswa menjadi pelik selepas kewafatan Rasulullah SAW. Dia berada dalam keadaan sedih yang amat sangat disebabkan oleh perpisahannya dengan Rasulullah SAW. Disebabkan kesedihan dan tangisannya, dia kehilangan penglihatannya. Maka para sahabat mengikat matanya dengan pembalut hitam.
Al-Qaswa’ tidak makan atau minum selama sebulan sehingga dia mati pada usia 15 tahun. Kebiasaannya, unta hidup dari 30 hingga 40 tahun. Tetapi al-Qaswa’ tidak dapat dapat bertahan untuk hidup selepas kewafatan Rasulullah SAW. Al-Qaswa’ sempat bersama dengan Rasulullah SAW selama 11 tahun dan mati pada zaman khilafah Abu Bakar RA.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, unta Nabi SAW merupakan unta yang sangat mengasihi Rasulullah SAW sehingga dia mati disebabkan oleh kesedihan menanggung perpisahan dengan baginda SAW. Dia bersama dengan Rasulullah SAW daripada permulaan hijrah Nabi SAW, menemani baginda pergi berperang, menunaikan haji dan sehingga baginda wafat. Begitulah serba ringkas tentang unta Nabi SAW yang bernama al-Qaswa’.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin
Wallahua`lam.
Bertarikh: 18 Februari 2022 bersamaan 16 Rejab 1443H
[1] Riwayat al-Bukhari (5807)
[2] Lihat Tabaqat al-Kubra li Ibn Sa’ad, 1/424
[3] Riwayat al-Bukhari (sebelum hadith no. 2871)
[4] Riwayat al-Bukhari (428)
[5] Lihat Fath al-Bari, 6/74
[6] Ibid, 6/73
[7] Ibid, 6/74
[8] Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 135)
[9] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/243
[10] Riwayat al-Bukhari (2771, 2774) dan Muslim (524)
[11] Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 40)
[12] Riwayat al-Bukhari (1607)