#1810: Bersanding dalam Majlis Perkahwinan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Sebenarnya, boleh atau tidak untuk untuk pasangan suami isteri bersanding dalam majlis perkahwinan mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan secara ringkas takrif dan pengenalan amalan bersanding ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bersanding ialah duduk bersebelah-sebelahan (berjajar, berdamping, seperti pengantin di atas pelamin dan lain-lain).[1]

Dalam erti kata lain, bersanding ialah duduk bersebelah-sebelahan di satu tempat yang istimewa. Amalan ini dianggap sebagai kemuncak majlis perkahwinan dalam adat resam kahwin Melayu. Bersanding adalah acara terpenting dan sekali seumur hidup bagi sepasang pengantin. Majlis perkahwinan tidak dikira lengkap jika kedua-dua mempelai tidak disandingkan di atas pelamin. Di atas pelamin itu ada kerusi yang dihias cantik. Jika tiada acara bersanding, majlis perkahwinan dianggap tidak akan sempurna dan tidak ramai yang sudi menghulurkan wang sumbangan. Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk menghebahkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat untuk menjadi bukti jalinan hubungan yang halal dan untuk dijadikan nostalgia manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-menurun.[2]

Sebelum kami menjawab soalan yang diajukan, kami katakan bahawa dalam menentukan hukumnya ia hendaklah dilihat kepada adat setempat dan bergantung kepada sebab persandingan itu diadakan serta ia berbeza mengikut situasi. Sebenarnya kami pernah menjawab soalan seumpamanya, iaitu berkenaan bersanding ini dalam artikel kami Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Bersanding dalam Majlis Persaraan.”

Kami katakan bahawa berkenaan soal adat, terdapat kaedah menyebutkan:

الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya:Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”

Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan.

Begitu juga sebahagian orang (ketika berjumpa) cukup dengan hanya berjabat tangan, manakala sebahagian yang lain pula saling berpelukan. Begitu juga sebahagian orang (ketika berjumpa) saling melagakan hidup antara satu sama lain, dan sebahagian yang lain pula saling melagakan pipi antara satu sama lain. Semua ini adalah adat yang mana hukumnya adalah diharuskan melainkan terdapatnya dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya. Misalnya, jika adat itu adanya penyerupaan dengan kaum wanita, maka kita katakan bahawa ia adalah tidak boleh untuk kaum lelaki kerana Nabi SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan juga kaum wanita yang menyerupai lelaki. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).

Selain daripada itu, Muhammad Husain al-Jizani dalam kitabnya, Dirasah wa Tahqiq Qa’idah: al-Aslu fi al-‘Ibadat al-Man‘u (hlm. 47) ada menukilkan perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menyatakan, hukum asal dalam perkara ibadat ialah al-Tauqif. Oleh itu, tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Jika tidak, kita akan termasuk dalam makna firman Allah SWT:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ

Maksudnya:Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

(Surah al-Syura: 21)

Manakala bagi perkara adat pula, hukum asalnya adalah dimaafkan, maka janganlah dilarang daripadnya melainkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Jika tidak, kita akan termasuk dalam makna firman Allah SWT:

قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا

Maksudnya:Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): ‘Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?’

(Surah Yunus: 59)

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat persandingan yang diadakan dalam Majlis Perkahwinan di mana kedua-dua mempelai akan duduk bersebelah-sebelahan di satu tempat yang istimewa seperti pelamin yang dihias adalah diharuskan. Hal ini kerana ia termasuk dalam perkara-perkara adat dalam masyarakat kita bagi tujuan menghebahkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat untuk menjadi bukti jalinan hubungan yang halal dan untuk dijadikan nostalgia manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut. Akan tetapi keharusan tersebut terikat dengan dhawabit dan syarat-syarat sebagaimana berikut:

  • Tidak mengandungi amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak seperti amalan khurafat dan syirik atau amalan-amalan agama lain yang jelas bertentangan dengan agama Islam.
  • Tidak mengandungi perkara yang dilarang seperti pendedahan aurat, pencampuran antara lelaki dan perempuan secara tidak terkawal, tabarruj bagi perempuan dan seumpamanya.
  • Menjaga kesopanan.
  • Bersederhana dan tidak berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran.
  • Seelok-eloknya bukan menjadi bahan tontonan semua pihak. Sementelahan pada zaman kini yang terdedah kepada mengambil foto kemudian diupload di dalam Instagram, Twitter, Facebook atau Tiktok masing-masing yang sudah tentu akan diberi komen oleh netizen. Sesungguhnya, seperti ini amatlah tidak sesuai dan kadang-kadang boleh melukakan perasaan pelbagai pihak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bersanding. Diakses pada 29 Mei 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bersanding. Diakses pada 29 Mei 2023.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H