#1814: Guna Wang Pinjaman Amanah Ikhtiar untuk Tujuan Lain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang melakukan pinjaman daripada badan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk menjalankan suatu perniagaan. Namun, kemudian wang yang diterima itu digunakan untuk membeli kereta atau kenderaan lain, yang tidak berkaitan dengan perniagaan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan dahulu definisi Amanah Ikhtiar Malaysia dan objektif penubuhannya.

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merupakan sebuah badan Amanah persendirian yang diperbadankan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] melalui permeteraian Surat Ikatan Amanah AIM bertarikh 17 September 1987 oleh pengasas-pengasas AIM bersama penyumbang dana dan juga Lembaga Pemegang Amanah AIM yang dilantik.

Penubuhan AIM dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat Pembangunan Asia Pasifik. Sejarah perkembangan AIM berkait rapat dengan penubuhan Bank Grameen di Bangladesh. Kejayaan bank ini mendorong penubuhan Projek Ikhtiar oleh Prof. David Gibbons dan Prof. Madya Sukor Kasim dari USM pada 1986, yang akhirnya berkembang menjadi AIM.

Antara objektif penubuhannya adalah seperti berikut:

  • Mengurangkan kemiskinan di kalangan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah di Malaysia dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro untuk membiayai kegiatan-kegiatan yang boleh menambah dan meningkatkan pendapatan.
  • Menyediakan kemudahan kewangan, bimbingan dan latihan berterusan kepada usahawan-usahawan dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.
  • Melahirkan usahawan daripada kalangan miskin dan berpendapatan rendah.

Untuk mencapai objektif, AIM menyediakan produk-produk seperti Skim Pembiayaan Mikro dan Tabung Kebajikan & Kesejahteraan Sahabat.

Dalam menjawab persoalan di atas, perbuatan mengambil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia dan kemudiannya dibelanjakan dalam bentuk yang bertentangan dengan perjanjian asal, di mana ia sepatutnya digunakan untuk berniaga adalah berdosa kerana bercanggah dengan akhlak Islam yang antaranya tidak memungkiri janji dan tidak menipu orang lain. Dalam hal ini, terdapat unsur penipuan terhadap pihak berkuasa yang menyediakan pinjaman tersebut demi membantu golongan miskin untuk berjaya dan memajukan diri mereka.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”

Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/26)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (102), Abu Daud (3452), Ibn Majah (2224), Ahmad (7292) dan al-Tirmizi (1315)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, katanya: “Hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda.”

Kata beliau lagi: Hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur maka ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta maka akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Imam al-Nawawi menghuraikan hadith ini bahawa ia galakan bagi setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan juga bersikap mudah-mudah dengannya, kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, maka lama kelamaan terbiasalah ia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 16/160)

Semoga kita menjadi orang yang jujur pada diri sendiri begitu juga dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk perjanjian yang kita persetujui. Ini sudah tentu menjadikan kita seseorang yang mempunyai prinsip dan integriti yang tinggi. Amin.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H