#1816: Mengimport Daging dari Negara Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mengimport daging dari negara bukan Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Fatwa daripada ramai ulama’ kontemporari menyatakan bahawa daging yang diimport dari negara yang penganutnya Kristian atau Yahudi  – selain daripada daging haiwan yang haram seperti khinzir, anjing dan sebagainya – adalah boleh dimakan. Ini berdasarkan dalil yang membenarkan sembelihan Ahli Kitab. Firman Allah SWT:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

Maksudnya: “Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).”

Surah al-Maidah (5)

Makanan Ahli Kitab yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah sembelihan Ahli Kitab. Ini adalah suatu perkara yang telah disepakati oleh para ulama’ bahawa sembelihan mereka halal bagi umat Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/40)

Dalam isu di atas, kami nukilkan pandangan daripada Syeikh Dr Muhammad Fathi al-Duraini yang menyebut, Lajnah Fatwa al-Azhar berfatwa atas pendapat majoriti ulama (jumhur) bahawa daging-daging yang diimport daripada negara Ahlul Kitab (Kristian dan Yahudi) halal dimakan dengan syarat kita tidak tahu ia disembelih atas nama selain Allah, kita tidak tahu ia disembelih cara sembelihan yang salah menurut syariat Islam dan kita tidak tahu ia daging binatang yang diharamkan. Al-Duraini menyokong fatwa ini dengan syarat-syarat tadi. (Lihat Buhuth Maqaranah fi al-Fiqh al-Islami wa Usulihi, 2/341)

Syeikh ‘Atiyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar turut menyebut pandangan yang sama. Beliau berkata: “Daging-daging yang disimpan dan diimport jika kita ketahui daripada maklumat yang dipercayai bahawa ia disembelih dengan bukan cara islamik, maka tidak harus dimakan sama sekali. Adapun jika kita ketahui ia disembelih dengan cara islamik, maka harus memakannya tanpa sebarang masalah. Jika kita tidak tahu cara ia disembelih tapi terdapat tanda-tanda yang menyokong ia disembelih secara islamik maka harus memakannya. Antara tanda-tanda tersebut; ditulis atasnya ‘disembelih dengan cara islamik’, atau daging-daging itu diimport dari negara-negara yang beragama Yahudi atau Kristian. Ini berdasarkan nas yang menghalalkan sembelihan mereka dalam firman Allah: “وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ” (bermaksud: “Dan makanan mereka yang diberikan kitab (Ahli Kitab) adalah halal bagi kamu dan makanan kamu halal bagi mereka.” (Surah al-Maidah ayat 5). (Lihat Mausu’ah Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 6/306)

Justeru, daripada sini dapat difahami bahawa daging haiwan yang diimport dari negara Yahudi atau Kristian adalah boleh dimakan dengan syarat kita tidak mempunyai bukti dan maklumat bahawa ia disembelih dengan cara yang salah di sisi Islam. Sekiranya terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa binatang tersebut disembelih dengan cara yang bercanggah di sisi syariat Islam seperti mati dicekik atau dipukul atau lemas atau dihempap atau disembelih untuk berhala dan sebagainya, maka dalam keadaan itu, daging tersebut adalah haram untuk dimakan.

Dalam kes pengimportan daging dari luar negara yang telah melalui proses dan prosedur ketat yang telah ditetapkan oleh kerajaan, maka ia sudah tentu tidak perlu diragui kehalalannya.

Alhamdulillah, di Malaysia kita mempunyai pelbagai badan yang bertanggungjawab untuk memastikan sembelihan mengikut syarak seperti JAKIM, MAQIS dan lain-lain. Semoga pemantauan terhadap makanan seperti ini termasuk sembelihan sentiasa menjadi kecaknaan dan keprihatinan kita semua. Amin.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H