#1817: Memakan Tenggiling

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf mengganggu. Sebenarnya apakah hukum makan tenggiling? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Tenggiling

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tenggiling ialah sejenis binatang yang bersisik dan yang panjang muncungnya untuk memakan semut dan anai-anai.[1] Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil pangolin. Nama ini diambil sempena maksudnya dalam bahasa Melayu iaitu “berguling-guling,” merujuk kepada tabiat haiwan ini yang melengkung menjadi bola apabila diancam.[2]

Tenggiling yang pemalu dan tidak berbahaya itu semakin dikenali kerana satu sebab iaitu merupakan haiwan mamalia yang paling banyak diperdagangkan di dunia. Berpuluh-puluh ribu tenggiling diburu setiap tahun, dibunuh untuk sisiknya bagi digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan untuk dagingnya sebagai makanan istimewa dalam kalangan orang yang sangat kaya di China dan Vietnam.

Terdapat lapan spesies tenggiling. Empat yang ditemui ialah tenggiling Asia — tenggiling Cina, tenggiling Sunda, tenggiling India dan tenggiling Filipina — dan ia disenaraikan oleh IUCN sebagai haiwan yang sangat terancam. Seterusnya, empat spesies lagi tenggiling Afrika — tenggiling tanah, tenggiling gergasi, tenggiling perut putih, dan tenggiling perut hitam — disenaraikan sebagai haiwan yang terdedah kepada kepupusan. Semua spesies tenggiling menghadapi penurunan populasi kerana perdagangan haram.

Pada 2016, sebanyak 186 negara menyertai Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam (CITES), perjanjian yang mengawal selia perdagangan hidupan liar antarabangsa, mengundi untuk mengharamkan perdagangan komersial tenggiling.[3]

Hukum Memakan Tenggiling

Prinsip asasnya, hukum asal bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Pada masa yang sama, di antara perkara yang juga diambil kira dalam menentukan haiwan yang boleh dimakan sehingga boleh mengangkat keharusan tersebut (yakni hukum asalnya) ialah istikhbath (haiwan yang dianggap jijik dan kotor). Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, tenggiling tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Berkenaan kehalalan hasyarat (hukum memakannya), ringkasnya terdapat dua pendapat ulama. Pendapat pertama menyatakan semua hasyarat adalah haram untuk dimakan kerana dianggap sebagai haiwan yang jijik dan kotor serta tabiat yang sihat menjauhinya. Inilah pendapat ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali. Mereka mengecualikan daripada hasyarat itu belalang kerana umat telah bersepakat mengenai kehalalannya.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali turut mengecualikan dhab kerana ia termasuk dalam jenis haiwan hasyarat yang halal untuk dimakan. Begitu juga ulama mazhab Hanbali mengecualikan jerboa dan wabar (hyrax) dan berpendapat kedua-duanya adalah halal untuk dimakan. Manakala ulama mazhab Syafi‘i menambah lagi (selain daripada jerboa dan wabar) dengan turut mengecualikan ummu hubain (trapelus), landak dan bint ‘irs (weasel), dan berpendapat ia adalah halal untuk dimakan.

Manakala pendapat kedua menyatakan semua jenis hasyarat adalah halal untuk dimakan. Ini merupakan mazhab Maliki, yang pada asalnya terdapat dua riwayat mengenainya. Kemudian mazhab telah bersetuju dengan pendapat ini. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/279).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ketika membahaskan berkenaan hukum memakan hasyarat ada menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya. Manakala Imam Malik pula berpendapat, ia adalah halal untuk dimakan. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”

Riwayat Abu Daud (3798)

Manakala Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut mereka (Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya), makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka yang mengharuskan untuk memakan hasyarat iaitu firman Allah SWT dalam surah al-An‘am ayat 145 dan hadith al-Talib sebahagaimana yang telah disebutkan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan, adapun ayat tersebut, Imam al-Syafi‘i dan ulama selainnya berpendapat, maknanya adalah daripada apa-apa makanan yang kamu makan dan kamu suka (tidak menganggapnya jijik). Imam al-Syafi‘i menambah, inilah maknanya yang lebih aula (utama) berdasarkan dalil al-Sunnah. Wallahu a‘lam. Adapun hadith al-Talib pula, sekalipun ia hadith yang thabit, tetap tidak boleh menjadi dalil. Hal ini kerana perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. Wallahu a‘lam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16-17).

 

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tenggiling haram untuk dimakan. Hal ini disebabkan ia termasuk dalam jenis hasyarat dan hasyarat pula haram untuk dimakan kerana ia dianggap sebagai jijik dan kotor (istikhbath). Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan ihtiyat (berhati-hati) Apatah lagi, tidak sebahagian ulama nusantara seperti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang jelas memasukkannya sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dalam kitabnya. (Lihat Sabil al-Muhtadin, hlm. 258).

Tambahan lagi, Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan tenggiling sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 68(2)(a) Akta 716 iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi menyimpan Pangolin (Manis javanica) iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua [Akta 716] melebihi dua puluh kepala, tanpa permit khas. Jika disabit kesalahan, boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada lima puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Lebih-lebih lagi, spesies tenggiling adalah hidupan yang semakin mengalami kepupusan. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya. Maka, ia bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ yakni menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar iaitu kepupusan tenggiling. Oleh itu, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahat tersebut. Terdapat satu kaedah fiqh yang masyhur menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tenggiling. Diakses pada 29 Mei 2023.

[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/pangolin. Diakses pada 29 Mei 2023.

[3] Lihat https://www.nationalgeographic.com/animals/mammals/facts/pangolins. Diakses pada 29 Mei 2023.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H