#1818: Memakai Produk Kulit Buaya

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah kita memakai atau menggunakan produk seperti tali pinggang, dompet atau handbag yang diperbuat daripada kulit buaya sebab kita tahu buaya haram dimakan. Jadi macam mana pula kalau guna kulitnya? Kemudian, bolehkah membawa atau memakainya dalam solat? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Buaya

Buaya adalah salah satu reptilia terbesar yang masih hidup. Buaya, aligator, gavial, dan kayman kelihatan serupa, dan kesemuanya dinamakan famili buaya. Buaya dan aligator mempunyai badan yang panjang, rendah, berbentuk seperti cerut, kaki yang pendek, dan ekor yang panjang serta kuat yang dengannya reptilia ini berenang. Kedua-duanya mempunyai kulit yang liat, muncung yang panjang, dan gigi yang tajam untuk mencakup mangsa. Walau bagaimanapun, pada kebanyakan buaya, muncungnya adalah tirus manakala muncung aligator adalah bulat.

Buaya hidup di negara tropika di seluruh dunia. Reptilia ini lebih gemar kawasan berair cetek, sungai yang lembap, dan rawang terbuka dan paya. Kaki renangnya membolehkannya berjalan di tanah yang lembut. Mata dan hidungnya lebih tinggi daripada bahagian lain pada kepalanya. Susunan ini sangat sesuai dengan kehidupan buaya dalam air, kerana buaya suka terapung dengan mata dan hidungnya timbul di permukaan air. Kerongkongnya mempunyai injap terbelah di depan tiub yang menghala ke liang hidungnya. Injap ini tertutup rapat apabila haiwan ini berada dalam air. la menghalang air dari memasuki mulut apabila reptilia ini menangkap mangsanya.

Buaya diburu secara besar-besaran untuk belulangnya yang dijadikan kulit oleh pembuat untuk dibuat kasut dan beg tangan. Perburuan ini menyebabkan tiga spesies buaya Amerika, buaya Cuba dan buaya Nil — menjadi spesies yang terancam. Undang-undang kini melarang perburuan buaya di banyak bahagian di dunia, tetapi sekatan ini sukar dikuatkuasakan. Dari segi pengelasan saintifik, buaya tergolong dalam famili Crocodylidae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 4/298-299).

Berkenaan hukum memakannya, kami berpendapat bahawa buaya termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini disebabkan oleh dua sebab iaitu kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik, dan haiwan yang memburu dengan taringnya. Malah ada sebahagian ulama mengharamkannya kerana ia adalah haiwan yang hidup dua alam. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Sekalipun begitu tidak dinafikan di sana terdapat dalam kalangan ulama yang mengharuskan untuk memakan daging buaya. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. (Lihat Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik, 2/182; al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 27/227).

Penjelasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1123: Memakan Daging Buaya.[1]

Produk Kulit Buaya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, buaya termasuk dalam haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Mengenai hal ini, menurut mazhab Syafi‘i, kesemua kulit bangkai boleh menjadi suci dengan cara disamak, tidak kira kulit itu daripada bangkai yang halal dimakan dagingnya ataupun tidak, melainkan kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 28). Perkara ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas‘ud R.Anhuma. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/217; al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 1/69).

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya:Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”

Riwayat Muslim (838)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang lain, beliau berkata:

وَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةً مَيِّتَةً، أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلَّا انْتَفَعْتُمْ بِجِلْدِهَا؟ قَالُوا: إِنَّهَا مَيْتَةٌ: قَالَ: إِنَّمَا حَرُمَ أَكْلُهَا

Maksudnya:Nabi SAW menemui seekor kambing yang telah mati. Ia disedekahkan kepada maula Maimunah. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memanfaatkan kulitnya?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya ia adalah bangkai.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya yang diharamkan hanyalah memakannya.’

Riwayat al-Bukhari (1492)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa kulit bangkai haiwan sama ada diambil daripada haiwan yang halal dagingnya atau tidak, kecuali kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya, boleh menjadi suci apabila disamak. Justeru, harus memakai dan menggunakan barangan seperti beg, dompet, tali pinggang dan lain-lain, yang diperbuat daripada kulit yang disamak termasuklah kulit buaya (selain kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya) kerana ia telah menjadi suci.

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, jika kulit telah menjadi suci dengan proses samak, maka dibolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya, sama ada dalam keadaan basah mahupun kering berdasarkan hadith di atas. Oleh yang demikian, diharuskan untuk mendirikan solat dengan memakainya atau membawanya bersama — dan solat itu adalah sah. Tambahan lagi, proses samak itu juga telah menyucikan kulit tersebut pada zahir (yakni apa yang dapat dilihat) dan batinnya (yakni apa yang tidak dapat dilihat). Inilah pendapat mazhab Syafi‘i yang tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas daripada Imam al-Syafi‘i, diputuskan mengenainya oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dari Iraq, al-Baghawi dan selainnya dari Khurasan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/227).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1123-memakan-daging-buaya/. Diakses pada 29 Mei 2023.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H