#1819: Berkaki Ayam ke Tempat Wuduk Luar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Baru-baru ini di surau PWTC sempena PBAKL 2023 sangat sesak dengan orang ramai untuk menunaikan solat secara berjemaah. Ada tempat wuduk luar yang disediakan, tetapi masalahnya selipar yang disediakan ke sana tidak banyak. Jadi ada yang terpaksa berkaki ayam untuk ke sana melalui kaki lima, dan ada juga yang memakai selipar ke sana dengan laluan yang sama? Soalan saya, sahkah solat saya tersebut sebab dikhuatiri berkemungkinan adanya najis yang tidak nampak yang dipijak oleh selipar yang turut melalui jalan yang sama? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Begitu juga kita diperintahkan untuk membersihkan diri kita termasuklah badan dan pakaian daripada najis. Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Daud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Tambahan lagi, al-Sa‘di juga ada menyebutkan kaedah:

والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

Asal bagi air kita adalah suci bersih.

            Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. Dalil yang menunjukkan kepada sucinya air adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إنَّ الماءَ طهورٌ لا ينجِّسُهُ شيءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya (hakikat) air itu adalah suci dan mensucikan, tidak ada sesuatu pun yang menajiskannya.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (1505)

Oleh sebab itu, hukum asal bagi air laut, air sungai, air mata air dan seumpamanya adalah suci bersih. Justeru, apabila kamu terkena air daripada saluran dan kamu tidak tahu, adakah air tersebut suci bersih ataupun bernajis? ..Maka, kami katakan kepada kamu: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci bersih dan atas sebab itulah, kamu tidak diwajibkan untuk membersihkan pakaian kamu daripadanya.

Begitu juga jika kamu menjumpai sebuah bekas dan di dalamnya terdapat air, maka kamu boleh berwuduk dan mandi dengan menggunakan air tersebut. Jika dikatakan kepada kamu: “Mungkin ia bernajis?” Maka kita katakan: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci.

Demikianlah juga tanah. Maka kamu boleh mendirikan solat di mana-mana bahagian bumi (tanah) yang tidak diketahui kenajisannya. Oleh sebab itu, Nabi SAW bersabda:

الأرضُ كلُّها مسجِدٌ إلّا المقبرةَ والحمّامَ

Maksudnya:Bumi kesemuanya adalah masjid (tempat sujud) melainkan perkuburan dan tempat mandi.

Riwayat Abu Daud (492); al-Tirmizi (317); Ibn Majah (745); Ahmad (11805)

Rasulullah SAW bersabda:

وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً

Maksudnya:Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci.”

Riwayat al-Bukhari (438)

Begitu juga pakaian. Sekiranya kamu mendapati suatu pakaian yang kamu tidak tahu sama ada ia terkena najis ataupun tidak. Maka, dalam hal ini kamu boleh memakai pakaian tersebut dan mendirikan solat dengan memakainya, sekalipun pakaian itu daripada orang kafir kerana hukum asal bagi pakaian adalah suci bersih.

Begitulah juga, bagi pakaian orang kafir yang telah digunakan, harus untuk kita solat dengan memakainya, selama mana kita tidak mengetahui akan kenajisannya. Walau bagaimanapun, membasuhnya terlebih dahulu adalah lebih baik dan afdhal — kerana keluar daripada khilaf itu adalah lebih dianjurkan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).

Justeru, dapat difahami daripada kaedah di atas bahawa mana-mana pakaian, air, tanah dan sebagainya adalah kekal suci dan bersih selagi mana tiada bukti tentang kenajisannya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan di atas, cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir iaitu laluan tersebut mahupun tapak kaki yang memijaknya, jika tiada bau, warna, dan rasa bagi najis maka hukumnya adalah kembali kepada hukum asal iaitu suci.

Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Oleh yang demikian, solat yang didirikan selepas itu juga adalah dikira sah dan tidak perlu mengulanginya.

Namun, kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mencadangkan, jika pihak surau dapat menyediakan alas khas laluan tanpa selipar ke tempat wuduk luar atau meletakkan tanda bagi membezakan laluan mereka yang berselipar dan tidak berselipar sehingga terangkatnya waswas pada sesetengah orang, maka ia adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H