#1821: Penzina Lelaki Berkahwin Dengan Penzina Perempuan

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri, baru-baru ni tular kes seorang lelaki membunuh teman wanitanya yang sedang hamil. Apakah hukum jikalau seorang lelaki terlanjur dan menyebabkan wanita tersebut hamil. Wajib berkahwin secepat mungkinkah?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Orang yang melakukan zina hendaklah bertaubat, kerana zina adalah salah satu dosa besar yang diharamkan dalam Islam dan yang dikenakan amaran keras kepada orang yang melakukannya. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا ‎﴿٦٨﴾‏ يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا

Maksudnya: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan”

(Surah al-Furqan: 68-69)

Secara umumnya, Allah SWT melarang orang-orang mukmin menikahi orang yang berzina, baik lelaki ataupun perempuan sebagaimana firman-Nya:

الزَّانِي لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nur: 3)

Ibn Kathir menjelaskan berkenaan ayat di atas, ia merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT bahawa lelaki penzina tidaklah berpasangan kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrikah. Iaitu, menuruti kehendaknya untuk berzina kecuali wanita penzina derhaka atau wanita musyrikah yang tidak memandang haram perbuatan zina. Demikian pula (وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ) “dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina,” iaitu derhaka kerana berzina, (أَوْ مُشْرِكٌ) “atau lelaki musyrik,” yang tidak menganggap zina sebagai perbuatan haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/165-166)

Al-Maraghi berkata: Sungguh tepat perumpamaan yang mengatakan, “Burung hanya hinggap di kalangan kumpulan yang sejenis dengannya.” Tidak dapat dinafikan, hukum atau anggapan ini hanya bersikap umum dan tidak terlaksana pada semua keadaan. Ia samalah seperti ungkapan kata-kata, “Kebaikan hanya dilakukan oleh orang yang bertakwa,” sedangkan hakikatnya orang yang tidak bertakwa pun kadang-kadang melakukan kebaikan. Demikian halnya dengan lelaki yang berzina, kadang-kadang lelaki begini mengahwini wanita mukmin yang suci dan terdapat juga perempuan yang berzina dikahwini oleh lelaki mukmin yang suci. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4712)

Jika orang yang melakukan zina bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan seikhlasnya, maka Allah akan mengampuninya dan mengampunkan dosanya. Allah SWT berfirman, setelah menyebutkan peringatan kepada orang yang melakukan zina: 

إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎﴿٧٠﴾‏ وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَابًا 

Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;”

(Surah al-Furqan: 70-71)

Jika orang itu bertaubat dengan ikhlas, maka dibolehkan baginya untuk menikah, setelah mereka meninggalkan dosa ini.  

Syeikh Muhammad bin Ibrahim ditanya tentang hukum menikah dengan wanita yang berzina. Baginda bersabda: “Tidak boleh mengahwini wanita yang berzina sehingga dia bertaubat. jika seorang lelaki ingin mengahwininya, dia hendaklah memastikan bahawa dia tidak hamil, dengan menunggu sehingga dia datang haid sebelum mengahwininya. Jika dia hamil, maka tidak boleh baginya mengahwininya sehingga dia bersalin.” (Lihat al-Fatawa al-Jami’ah li’ al-Mar’ah al-Muslimah, 2/584)

Selain itu, Imam al-Mawardi berkata: “Jika seorang lelaki berzina dengan seorang wanita, maka halal baginya untuk menikahinya. Ini adalah pendapat majoriti para sahabat dan fuqaha’. Dalil kami adalah firman Allah SWT setelah menyebutkan larangan-larangan yang terkait dengan hubungan keluarga dan nasab, ‘Dan dihalalkan bagi kamu apa yang ada di luar itu‘ (Surah al-Nisa’: 24). Ayat ini mencakup baik wanita yang terjaga kehormatannya mahupun wanita yang berzina. Pendapat ini didasarkan pada ijma’ sahabat, dan telah diriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar, Ibn Umar, Ibn Abbas, dan Jabir R.Anhum. Diriwayatkan dari Abu Bakar R.A, beliau berkata:

إِذَا زَنَى رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ لَمْ يَحْرُمْ عَلَيْهِ نِكَاحُهَا

Maksudnya: ‘Jika seorang lelaki berzina dengan seorang wanita, tidaklah diharamkan baginya untuk menikahinya.’ 

Diriwayatkan dari Umar R.A bahawa beliau menghukum dengan hukuman sebat bagi para pelaku zina, dan beliau berupaya untuk menikahkan keduanya. 

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas R.Anhuma ketika ditanya tentang apakah seorang pezina boleh menikahi penzina wanita? Beliau menjawab:

نَعَمْ، وَلَوْ سَرَقَ رَجُلٌ من كرم عنباً لَكَانَ يَحْرُمُ عَلَيْهِ أَنْ يَشْتَرِيَهُ

Maksudnya: ‘Ya, jika seseorang mencuri dari kebun anggur orang mulia, apakah dia diharamkan membelinya?’ 

Inilah pendapat yang telah kami sebutkan, dan tidak ada perbezaan pendapat daripada mereka selain daripada yang telah kami sebutkan, maka ia menjadi ijma’.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/189)

Dairah al-Ifta’ Jordan dalam fatwanya menyebutkan: “Tidak dapat disangkal bahawa hukum ini khusus berlaku jika kedua belah pihak bersetuju, dan itu tidak membebaskan mereka dari hukuman dosa jika telah terbukti dengan bukti atau pengakuan bahawa mereka berzina. Tetapi yang dimaksudkan di sini adalah untuk menjelaskan keabsahan perkahwinan mereka setelah peristiwa tersebut. Tidak bolehlah dosa menjadi alasan untuk menutup pintu yang halal secara mutlak, agar tidak menyebabkan peningkatan perbuatan fasiq dan zina ketika seseorang yang berzina mengetahui bahawa dia tidak dibenarkan berkahwin selepas itu.Dalam setiap keadaan, perkahwinan seorang lelaki dengan wanita yang telah berzina dengannya dilakukan dengan persetujuan dan persetujuan daripada kedua belah pihak dan wali perempuan tersebut, dan tidak dilakukan secara paksa melalui undang-undang untuk membebaskan diri daripada hukuman. Hak bagi keduanya untuk menolak perkahwinan tersebut tetap ada. Adapun hukum syariah, jika syarat-syaratnya terpenuhi, hukuman berlaku bagi pelaku zina, baik mereka berkahwin selepas itu atau tidak. Dan bagi mereka yang menikahi seorang perempuan dan dengan pasti mengetahui adia terlibat dalam perbuatan zina yang jelas setelah menikah, kemudian dia memberitahunya secara jujur dan dia tidak bertaubat atau menyesal, maka wajib baginya untuk menceraikannya. Hal ini dilakukan agar tidak mencemarkan kehormatannya dan keturunannya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa walaupun seseorang itu telah berzina dengan pasangannnya, sekiranya mereka ingin berkahwin, mereka dibolehkan berkahwin dengan syarat mereka redha akan perkahwinan tersebut dan bertaubat dengan taubat yang nasuha atas dosa zina yang telah mereka lakukan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H