#1825: Menamakan Anak dengan Nama ‘Akbar’

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Zulkifli. Diharap Dr Zul sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT. Saya baru sahaja dikurniakan anak down syndrome. Saya dapat tahu anak saya down syndrome sejak dari awal pregnancy. Sejak dari itu, saya kerap solat hajat dan tahajud untuk bayi.

Sehinggakan saya rasa suka dan senang untuk bangun awal pagi untuk memulakan kehidupan saya. Saya merasakan Allah Maha Besar, ada sebab dia kurniakan saya anak down syndrome.

Allah Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang. Kini saya redha dengan kehadiran anak ini. Oleh itu saya merasakan anak ini adalah anugerah terbesar yang dikurniakan sepanjang hidup saya. Saya nak namakan anak saya Akbar. Akan tetapi ramai yang suruh saya rujuk semula boleh ke namakan sempena nama-nama Allah? Saya tidak tahu sama ada nama Akbar dibenarkan ataupun tidak. Mohon pencerahan. Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, kami nyatakan bahawa nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah nama yang dimulakan dengan Abdul seperti Abdullah atau Abdul Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ .‏

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Dalam menjawab persoalan di atas, pertama, adakah Akbar (الأَكْبَرُ) itu merupakan salah satu daripada nama Allah? 

Setakat pengetahuan kami, tidak terdapat nama Akbar (الأَكْبَرُ) disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai nama Allah, manakala nama-nama Allah adalah bersifat taufiqiyyah (تَوْقِيْفِيَّة). 

Adapun daripada nama-nama Allah itu, salah satunya ialah al-Kabir (الكَبِيْرُ). Kami telah jelaskan sebelum ini dalam siri Ahkam Syar’iyyah sebelum ini bertajuk: Maksud al-Kabir dan Adakah al-Akbar Itu Salah Satu Nama Allah?

Pada asalnya, perkataan Allahu Akbar (الله أكبر) seperti macam sifat. Justeru, kami nyatakan bahawa menamakan anak dengan nama Akbar adalah dibolehkan.

Namun, kami juga mencadangkan, yang lebih sesuai, iaitu dengan memberikan nama seperti Abdul Mun’im, iaitu hamba kepada Yang Maha Mengurniakan, atau Abdul Wadud, iaitu hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Penyayang dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT jadikan anak-anak kita sebagai penawar dan penyejuk mata hati kita. Marilah kita sentiasa berdoa untuk kita dan keluarga kita semua:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H