#1830: Mengambil Benih Pokok Dari Tanaman Orang Lain

Soalan :

Assalamualaikum ustaz, nak tanya  boleh atau tidak kita ambil benih pokok-pokok dari tanah orang contoh macam benih pinang? Kita sedia maklum yang tuan tanah memang tidak pedulikan benih-benih yang tumbuh sendiri itu.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

 (Surah Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Al-Sa’di menyatakan : Allah melarang hamba-hamba yang  beriman memakan harta sesama mereka secara zalim.Memakan harta secara batil iaitu memakan harta itu dengan cara penindasan dan pencurian, serta mengambilnya melalui perjudian dan keuntungan yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan,hlm. 175)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit. Aisyah R.Anha meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya: “Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, Allah akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat”.

Riwayat Muslim (1610)

 Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadis ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.( Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

Menjawab persoalan di atas,mengambil benih dari tanah atau tanaman orang lain tanpa keiizinanya adalah termasuk dalam memakan harta secara batil, maka perbuatan tersebut diharamkan oleh syara’.Oleh yang demikian,cara yang terbaik adalah dengan meminta izin daripada tuan tanah tersebut.Ini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti  pergaduhan atau permusuhan antara satu sama lain.Justeru, Islam amat mementingkan hubungan silaturrahim antara manusia. Sewajarnya bagi kita menjaga keharmonian dan kesejahteraan dalam hidup bermasyarakat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ،

Maksudnya :Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H