#1834: Ilmu Nazari

Soalan:

Benarkah Ilmu Nazari terbahagi kepada empat? Boleh jelaskan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi ilmu Nazari

Menurut Ibn Khaldun dalam kitabnya, Nazari (teori) bermaksud satu pandangan serta meletakkannya dalam pembahagian akal manusia selain tamyiz (perbezaan) dan tajribi (percubaan). (Lihat al-Muqaddimah, 1/290)

Berbalik kepada soalan di atas, guru kami, Dr Mustafa Said al-Khin membahagikan ilmu Nazari ini kepada 4 bahagian:

  1. Ilmu yang didapati melalui pemberitahuan secara mutawatir yakni berita yang dibawa oleh banyak kumpulan manusia, yang tidak memungkinkan mereka berpakat untuk menipu misalnya maklumat tentang Allah mengutuskan seorang Rasul iaitu Muhammad SAW.
  2. Ilmu yang didapati melalui akal fikiran dengan cara membuat perbandingan dan pemerhatian. Misalnya sudut tiga menyamai dua sudut tegak.
  3. Ilmu yang didapati melalui ujian seperti ilmu perubatan tentang kebaikan dan keburukan sesuatu ubat.
  4. Ilmu yang didapati melaui ilham. Abu Mansur al-Baghdadi menyatakan informasi yang didapati melalui ilham adalah suatu yang istimewa.Misalnya merasai keindahan rentak bait-bait sya’ir. Bagi mereka yang tidak mengetahui, mereka akan beranggapan ia tidak ada apa-apa. Namun, bagi seorang yang bijak dalam disiplin teori ilmu mengetahuinya.Hal ini kerana pakar bidang sya’ir telah menghasilkan kaedah-kaedah yang disebut ilmu Arudh (العَرُوضُ). Begitu juga, bagi mereka yang mencipta irama lagu dan seumpamanya. (Lihat Aqidah Islamiyyah, 1/113)

Maka, yang manakah menjadi sumber ilmu dalam Aqidah Islam? Pastinya, ilham tidak boleh dithabitkan sesuatu dalam perkara-perkara berkaitan Aqidah, kecuali ilham yang datang daripada Rasulullah SAW. Di dalam Syarh Jam’il Jawami’ menyatakan bahawa Allah SWT mengurniakan ilham kepada sebahagian mereka yang  menjadi pilihan-Nya. Walau bagaimanapun, ilham tidak boleh dijadikan hujjah bagi mereka yang tidak maksum untuk menthabitkan sesuatu perkara. Adapun, bagi mereka yang maksum seperti Nabi Muhammad SAW, ilhamnya boleh dijadikan hujjah sama ada bagi dirinya mahupun orang lain.

Justeru itu, setelah ilham terkeluar daripada sumber ilmu yang boleh membawa kepada mengetahui hakikat, maka hanya tinggal 3 sumber ilmu sahaja iaitu:

  •  Pemberitahuan yang benar
  •  Akal
  •  Ujian

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama, serta kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, seterusnya menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat.  Ameen.

Kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H